Sunday, 17 January 2016

Teladan INTEGRITI


Khalifah Umar bin Abdul Aziz : Integriti di Persada Keagungan

Pengajaran serta iktibar yang sering dikaitkan adalah kisah Khalifah Umar bin Abdul Aziz yang bertemu dengan puteranya. Pada suatu malam, tatkala baginda sedang tekun bekerja di biliknya, tiba-tiba seorang puteranya masuk untuk membincangkan sesuatu hal. Baginda bertanya, “urusan kerajaankah? Atau urusan keluarga yang hendak kamu bincangkan?” Jawab anakandanya, “urusan keluarga, ayahanda.”

Tiba-tiba baginda memadamkan lampu yang terletak di mejanya yang digunakan untuk menerangi bilik kerjanya itu. Puteranya merasa hairan melihat sikap ayahnya itu seraya bertanya: “Kenapa ayah padamkan lampu itu?”

Maka jawab ayahnya: “Benar kata kau wahai anakku, tetapi kau harus ingat lampu yang sedang ayah gunakan untuk bekerja ini kepunyaan kerajaan. Minyak yang digunakan itu dibeli dengan menggunakan wang kerajaan, sedang perkara yang hendak anakanda perbincangkan dengan ayahanda adalah perkara keluarga.” Lantas baginda meminta pembantunya membawa lampu lampu dari bilik dalam.

Kemudian baginda pun berkata kepada puteranya: “Sekarang lampu yang baru kita nyalakan ini adalah kepunyaan keluarga kita, minyak pun kita beli dengan wang kita sendiri. Sila kemukakan apa masalah yang anakanda perbincangkan dengan ayahanda.”

Demikianlah besarnya sifat amanah dari seorang pemimpin berkaliber selaku seorang raja yang berjiwa besar.





 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
Disunting : Norlihana Mohammad Husaini




Ramadhan—Bulan Tarbiyyah Diri


Ramadhan adalah bulan yang paling istimewa dalam kalendar Islam. Pada bulan ini umat Islam diwajibkan berpuasa. Objektif pengsyariatan puasa adalah untuk melahirkan hamba Allah yang bertaqwa. Firman Allah s.w.t:


“Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang yang terdahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa”.(Al-Baqarah:183)

Memasuki fasa Ramadhan dengan penuh keinsafan mampu melahirkan manusia terbaik, manusia unggul dan berkualiti. Ramadhan boleh dikatakan sebagai bulan ‘recharge’ semula semangat jihad. Di tengah kesibukan manusia dengan dunia, Ramadhan merupakan anugerah Ilahi yang harus kita dapatkan, sehingga kita keluar dari bulan Ramadhan ini benar-benar menjadi manusia terbaik.


Puasa bukan sahaja bulan untuk kita hanya menahan makan dan minum pada siang hari, tetapi ianya lebih dari itu. Puasa adalah perisai yang ampuh untuk menghadapi serangan-serangan yang mendatang.

Serangan nafsu shahwat yang menggila, cintakan pangkat, harta dan kedudukan, panjang angan-angan dan tamak haloba, semuanya akan dapat dikawal jika amalan puasa dibuat mengikut peraturan yang telah ditetapkan oleh Allah s.w.t. Dalam suasana kehidupan masyarakat kita yang masih amat jauh dari nilai-nilai Islam, peranan puasa Ramadhan menjadi sesuatu yang amat mendasar dalam membentengi jiwa umat dalam menghadapi godaan-godaan syaitan yang tiada henti sehinggalah hari kiamat.


Tarbiah dalam bulan Ramadhan

Bulan Ramadhan selalu disebut sebagai “madrasah Ramadhan”. Madrasah ialah tempat seorang murid mendapat didikan dan tarbiyyah. Di sini murid akan belajar ilmu, peradaban, menyemai akhlak-akhlak mahmudah dan lain-lain pelajaran. Madrasah Ramadhan adalah satu institusi tarbiyyah yang direncanakan oleh Allah s.w.t. kepada hamba-Nya. Sebab itu amat rugi dan tercela jika seseorang memasuki Ramadhan kemudian keluar daripada Ramadhan dalam keadaan noda dan dosa belum terampun bahkan semakin bertimbun. Orang ini gagal dalam madrasah Ramadhan.


Antara didikan dan tarbiyyah daripada Ramadhan ialah puasa mendidik manusia supaya pandai menjaga diri. Keistimewaan ibadat puasa ialah ianya sangat berkait dengan keimanan seseorang. Seseorang boleh saja mengaku dirinya sedang berpuasa, walaupun sebenarnya tidak. Puasa mendidik kita agar kita menumpukan kehidupan akhirat lebih daripada kehidupan dunia. Sebab itu seseorang yang betul-betul berpuasa rela meninggalkan nikmat dunia yang sementara untuk merebut balasan di akhirat. Jiwa yang terdidik dengan iman akan mendambakan kehidupan akhirat.



 
Bulan muhasabah diri
Tarbiyyah Islamiyah bukan sekadar membentuk seseorang itu menjadi mukmin untuk dirinya, beramal dan bertaqwa seorang diri sahaja. Bahkan ia bertujuan melahirkan mukmin yang sedia berkhidmat, memberi sumbangan kepada Islam dan berjihad pada jalan Allah s.w.t. Ada banyak nilai tarbiyyah Ramadhan yang akan kita peroleh, khususnya dari ibadah puasa. Pemahaman tentang masalah ini perlu kita ingat dan segarkan kembali agar ibadah puasa Ramadhan pada tahun ini boleh kita manfaatkannya secara optimum.
Ramadhan dianggap sebagai bulan yang terbaik untuk muhasabah diri khususnya dari segi akhlak dan tingkah laku. Sebagai contohnya, jika kita seorang penjawat awam, sudah tentulah bulan Ramadhan menjadi bulan yang tepat untuk kita meningkatkan integriti. Amalan dan perbuatan yang merupakan kesalahan yang pernah dilakukan seperti ponteng kerja, menggunakan peralatan pejabat untuk kepentingan peribadi, menyuruh rakan mengetik kad perakam waktu dan banyak lagi kesalahan yang mana bukan sahaja salah di sisi undang-undang malah akan mengundang dosa. Apatah lagi kesalahan yang besar seperti rasuah, palsu dokumen, menyalahgunakan kuasa dan sebagainya yang terang-terang berdosa. Oleh itu, sewajarnya diinsafi jika perbuatan ini pernah dilakukan dan hendaklah menyemai dalam diri supaya amalan ini tidak sekali-kali akan dilakukan. Jika kita boleh meninggalkan makan dan minum pada siang hari kerana perintah Allah, maka begitulah juga kita hendaklah meninggalkan dosa ini bukan sahaja pada siang hari, tetapi malamnya bahkan sampai bila-bila pun dosa hendaklah ditinggalkan dan dijauhi kerana ianya juga merupakan perintah Allah.

Hikmah ujian integriti ini akan mendidik kita supaya ikhlas dalam mengerjakan ibadah ini tanpa pengawasan oleh individu yang lain dan tanpa perlu ada orang lain untuk menyempurnakan ibadah puasa kerana individu muslim yang taat akan berpuasa kerana Allah S.W.T. Ini adalah satu didikan rohani selama 30 hari dalam setahun untuk membentuk jiwa yang ikhlas dan hati yang telus. Didikan ini dapat menjadikan individu muslim ini beretika dalam urusan duniawi. Andainya dia boleh melakukan ibadah puasa dengan ada sebarang pengawasan, sudah pasti dia juga boleh melakukan tugasan lain dalam tahap yang sama. Dan jika ini dapat dicapai, insya-Allah semoga kita tergolong dalam orang yang bertakwa pada Allah S.W.T.
Dengan demikian jika kita gagal mengambil kesempatan untuk membuat perubahan dan transformasi akhlak dalam bulan yang mulia ini, maka puasa yang diamalkan silih berganti pada setiap tahun tidak memberi apa-apa kesan kepada diri sendiri, keluarga, masyarakat bahkan Negara. Kita juga adalah insan yang rugi jika hanya bertungkus lumus berjuang pada bulan bulan Ramadhan sahaja akan tetapi kembali semula kepada tabiat lama ababila tamatnya Ramadhan. Oleh itu, marilah kita menjadikan bulan Ramadhan sebagai platform untuk kita meningkatkan ketaqwaan sebagai hamba Allah untuk kesejahteraan hidup di dunia dan akhirat.
Disunting : Luqman Mahadi



Dapatkah Zakat, Haji ‘BERSIHKAN’ Harta Hasil Rasuah?

ADAPUN dimaksudkan ‘dosa beruntun’ adalah melakukan perbuatan mengandungi dosa dan kemudian daripada dosa yang satu, lahir pula dosa lain secara beranak-pinak. Hal ini paling dahsyat apabila orang yang terbabit adalah isteri, anak dan ahli keluarga lain dalam perbuatan dosa besar yang dilakukan seseorang manusia.
         Gejala rasuah contoh paling tepat dalam hal dosa beruntun dan bertali arus ini. Anehnya perasuah selalu menggunakan dalih dan muslihat jika ada pihak mencurigai dan selalunya akan menyembunyikannya ialah bekerjasama dengan pihak tertentu. Lebih menghairankan perasuah itu membohongi orang ramai atau keluarga harta diperoleh itu hasil keringatnya.

Akibat daripada nafkah haram ini juga menjadi tanggungjawab perasuah apabila muncul kelakuan buruk daripada penerima nafkah terutama di kalangan anak-anak. Sama ada disedari atau tidak, nafkah haram yang diberikan itu memiliki pengaruh signifikan terhadap perilaku seseorang.
 

Perasuah selalu menggunakan helah bela diri dengan menganggap bahawa jika wang rasuah dikeluarkan zakat kepada fakir miskin atau institusi kebajikan atau menyimpan wang rasuah di Tabung Haji dengan harapan zakat yang dikeluarkan oleh Tabung Haji menjadikan harta rasuah itu bersih satu kesilapan amat besar. Perasuah juga beranggapan bahawa wang hasil rasuah akan bersih jika wang itu digunakan untuk tunaikan haji atau umrah dan di sana nanti wang rasuah digunakan untuk tujuan derma dan zakat. Ibadat dilakukan perasuah khususnya berkaitan zakat dan haji tetap mengandungi dosa walaupun mereka cuba mengaburi mata masyarakat dan negara, apa lagi mengaburi mata Allah SWT. Mereka sebenarnya telah menipu diri mereka sendiri.

Mereka beranggapan dengan melakukan ibadah seperti itu maka dosa mereka akan terhapus. Dalam al-Quran disebutkan, tujuan asasi zakat ialah membersihkan harta dan jiwa. Begitu juga haji, harta yang bersih dan halal saja diterima Allah. Bahkan amalan zakat dan haji mereka itu sebaliknya dikutuk dan mendapatkan dosa pula daripada Allah S.W.T.

Perintah Allah S.W.T agar manusia mencari harta secara halal dan menggunakannya kepada hal yang halal serta memakan makanan halal dapat dijadikan isyarat dan langkah awal membangun generasi soleh. Bagi manusia yang menolak pelakuan rasuah, Allah akan memberikan imbalan pahala ketika di akhirat dan memberikan imbalan ketenangan ketika hidup di dunia. Sebaliknya orang yang mendapatkan dan menggunakan harta secara haram serta mengingkari perintah Allah S.W.T, pelakunya akan berhadapan dengan pelbagai akibat di dunia dan akhirat.

Berikutan banyaknya implikasi dosa daripada hasil rasuah, khususnya bagi pelakunya, sudah sewajarnya jika perbuatan ini dianggap musuh, malah boleh memutuskan persaudaraan dengan mereka yang memakan rasuah.Seorang perasuah menjadi penyebab kepada dosa beruntun yang menjejaskan reputasi peribadinya dan tidak boleh dipercayai di kalangan masyarakat, lebih-lebih lagi di sisi Tuhan. Firman Allah S.W.T bermaksud:
 
 
Pengamal rasuah yang tertutup mata hatinya baik di kalangan penjawat awam atau S.W.Asta atau orang awam di kalangan masyarakat kita, tidak akan segan silu melakukan perbuatan jahat itu sama ada secara tersembunyi atau terang-terangan. Ini menunjukkan mereka tidak memiliki beban moral dan akhlak jika kejahatannya akan ditiru generasi seterusnya.

Balasan yang akan diterima oleh orang yang menjajakan kejahatan seperti ini ialah Allah akan menyungkurkan muka mereka ke dalam api neraka. Firman Allah S.W.T bermaksud: 
 
 
Hasil haram diperolehi oleh perasuah tetap haram walaupun dilakukan pelbagai amal kebaikan, sehingga perbuatan rasuah itu memikul beban kepada zuriat dan keturunannya pula dengan terus menerus memakan benda haram. Perkara haram tetap haram walaupun dibungkus dengan kebaikan. Selain itu, jika perbuatannya ditiru atau dinikmati sebahagian orang, selama itu pengamal rasuah tetap bergelumang dengan dosa mereka.
Renung-renungkan...

 
 
Disunting : Mohamad Fauzi Husin

JENAYAH RASUAH : PILIHAN ATAU KEINGINAN

PILIHAN ATAU  KEINGINAN

Amalan rasuah bukan merupakan perkara baru kepada masyarakat. Pada zaman Rasulullah S.A.W lagi amalan ini telah wujud. Baginda S.A.W sendiri telah diuji dengan pelbagai ujian dalam usaha untuk menyebarkan risalah Islam. Salah satu daripada ujian tersebut ialah Baginda S.A.W ditawarkan dengan harta kekayaan oleh kaum Quraish supaya berhenti menyebarkan risalah Islam kepada penduduk Makkah, meninggalkan jihad dan meninggalkan perjuangan untuk membina masyarakat Rabbani. Walaupun pelbagai ujian dan sogokan yang ditawarkan kepada Rasulullah S.A.W, Baginda tetap dengan pendiriannya berdasarkan sabdanya: 


"Sekiranya bulan diletakkan di tangan kananku dan matahari di tangan kiriku nescaya aku tidak akan sekali-kali meninggalkan tugas menyebarkan Islam ini."


Pilihan dan Keinginan dalam Isu Rasuah

Amalan rasuah memerlukan dua atau tiga pihak untuk menjayakannya. Oleh itu, setiap pihak mempunyai pilihan sama ada menerima atau menolak amalan tersebut. Islam memberi ruang kepada penganutnya untuk membuat pilihan selagi mana tidak bertentangan dengan syariat. Pilihan merupakan hak seseorang untuk melakukan sesuatu, sekuat mana tekanan yang diterima untuk menerima atau memberi rasuah jika seseorang memilih untuk menolaknya kerana lebih takutkan pilihan yang diberikan Allah S.W.T di akhirat kelak maka perkara tersebut dapat menjauhkan mereka daripada amalan rasuah. Terdapat dua pilihan dalam isu rasuah iaitu pilihan yang baik (menolak) dan buruk (menerima). Manakala keinginan pula melihat kepada kehendak seseorang dalam melakukan sesuatu sama ada berpandukan hukum atau mengikut hawa nafsu.


Kesedaran terhadap konsep amanah dan jujur dalam melaksanakan sesuatu menjadi kekuatan kepada mereka untuk menolak unsur-unsur negatif yang datang kepada mereka. Rasulullah  S.A.W memberi penekanan dosa rasuah adalah sama dengan dosa-dosa besar yang lain seperti berzina dan meminum arak. Selain itu, dosa rasuah bukan hanya kepada penerima rasuah malah kepada pemberi dan perantara yang melakukan perbuatan tersebut juga diberikan.
 


Memilih menerima amalan rasuah?

Tanggapan  bahawa amalan rasuah perlu diterima dalam keadaan-keadaan tertentu. Orang yang melakukan amalan rasuah sering kali menyatakan masyarakat perlu menerima amalan-amalan ini dalam sesetengah perkara. Jika tidak melakukannya sesuatu keputusan dan biroksasi yang harmoni tidak dapat diwujudkan. Hal ini kerana, rasuah memerlukan persetujuan bersama dan janji setia kedua pihak untuk melaksanakannya. 

Berdasarkan tanggapan-tanggapan tersebut, timbul persoalan adakah benar amalan rasuah mempunyai perkara positif?  Walaupun terdapat sesetengah pihak menyatakan terdapat kesan positif dalam amalan rasuah namun sebagai umat Islam kita perlu berpegang teguh kepada hukum yang telah ditetapkan iaitu sejauh mana kepentingan seseorang untuk menerima rasuah syarak telah menetapkan “sesuatu matlamat tidak menghalalkan cara”. Walaupun matlamat melakukan rasuah adalah baik, jika jalan yang ditempuh untuk mendapatkannya adalah salah dan dilarang keras oleh agama maka perbuatan tersebut hendaklah ditinggalkan.
 
 
Memilih untuk menolak?
 
Terdapat pihak yang menolak rasuah dalam bentuk wang tetapi menerima hadiah dan upah. Adakah hadiah juga boleh dikira sebagai rasuah? Hadiah adalah pemberian yang tidak mengharapkan kepada sebarang balasan malah Rasulullah S.A.W juga menerima hadiah. Dalam kes Ibnul Utbiah yang dihantar oleh Rasulullah S.A.W kepada satu kabilah untuk mengutip zakat dan beliau membawa balik kutipan zakat berserta pemberian hadiah daripada kabilah tersebut dan ditegur oleh Rasulullah S.A.W. Rasulullah S.A.W bersabda:
 
 
"Mengapa kamu tidak tinggal dirumah bersama ayah dan ibu kamu menantikan hadiah itu sampai kepada kamu, sekiranya kamu memang benar orang yang jujur."
 
 
Amalan rasuah ditolak apabila seseorang individu mempunyai sikap amanah dan jujur dalam melaksanakan tanggungjawab. Setiap tanggungjawab yang diberikan terutamanya melibatkan pihak pengurusan atau organisasi telah disediakan gaji untuk pekerjaan mereka, pemberian atau pengharapan kepada upah-upah sampingan sepatutnya tidak berlaku.  Penerimaan lain setelah menerima gaji adalah dilarang, ini berdasarkan sabda Rasulullah S.A.W:
 
 
Barangsiapa yang telah kami ambil untuk melakukan sesuatu kerja, dan telah ditetapkan baginya sesuatu rezeki (gaji atau upah), maka apa yang diambilnya selepas itu adalah ghulul (pengkhianatan)
(Riwayat Abu Daud)
 
 
 Keinginan individu
 
Keinginan adalah sesuatu yang berasal daripada hasrat (nafsu) atau harapan seseorang untuk mencapai sesuatu dan memenuhi kepuasan dalam hidupnya. Timbul persoalan adakah semua keinginan boleh diikuti? Keinginan manusia adalah tidak terbatas, namun manusia bukan hanya hidup secara individu dalam dunia ini. Kehidupan manusia melibatkan masyarakat, alam dan yang lebih utama adalah sebagai hamba kepada Allah S.W.T. Perkara ini berdasarkan firman Allah S.W.T:
 
 
Tidaklah Aku ciptakan jin dan manusia kecuali agar mereka beribadah kepada-Ku.”
(Adz-Dzariyat,51: 56).
 
 
Kesimpulan
 
Oleh demikian, tanggungjawab yang diberikan bukan sahaja melibatkan amanah yang diberikan oleh majikan atau pihak kerajaan, malah melibatkan amanah yang diberikan oleh Allah S.W.T.  Oleh itu, kekuatan iman sahaja yang mampu mencegah seseorang daripada amalan ini. 
 
 
Disunting  : Mohamad Fauzi Husin



ISU INTEGRITI PENJAWAT AWAM :

PENYAKIT ROHANI PERLU
DITANGANI SEGERA

Secara umumnya, Integriti adalah berhubungkait dengan kejujuran, sifat amanah, berdisiplin dan bertanggungjawab.  Integriti adalah bersangkut paut dengan sikap, nilai dan keimanan. Sebagai contoh, isu-isu rasuah, pecah amanah, tipu, ponteng kerja, salahguna harta kerajaan dan pelbagai lagi pelanggaran tatatertib.  Ini sebahagian dari contoh masalah integriti yang wujud dalam kalangan penjawat awam sejak dari dulu lagi.  Bukan setakat itu sahaja, di luar tugas rasmi penjawat awam pula mereka terdedah dengan gejala sosial seperti  maksiat, berfoya-foya,  penyalahgunaan dadah,  krisis rumah tangga dan sebagainya yang membawa masuk imej buruk kepada perkhidmatan awam.

Apabila diteliti masalah-masalah yang dikaitkan dengan integriti, dapatlah dibuat kesimpulan bahawa ia adalah masalah yang boleh diklasifikasikan sebagai masalah iman. Masalah “penyakit rohani” dalam kalangan orang dewasa yang ada kuasa. Tidak mengira berpangkat besar atau kecil dalam sesebuah organisasinya. Iman yang lemah, hati yang sakit dan kefahaman yang kurang tentang matlamat hidup sebenar, Allah S.W.T mencipta manusia menjadi antara faktor kewujudan masalah integriti dalam kalangan manusia, khususnya penjawat awam beragama Islam.

Saya sebenarnya cuba kaitkan dengan masalah dan cabaran yang berlaku dalam proses perjalanan tugas dan tanggungjawab harian penjawat awam itu sendiri.  Apa masalah yang dimaksudkan?  Apabila  diberi taklifan sebagai penjawat awam sama ada sebagai ketua jabatan atau pegawai bawahan, salah satu elemen penting selain tugas hakiki sebagai penjawat awam ialah sekiranya beliau seorang muslim,  tugas penting beliau ialah memikul tanggungjawab sebagai  khalifah Allah S.W.T  menegakkan amanah dan kebenaran perintah Allah S.W.T yang bersifat adil dan saksama serta sesuai pengaplikasiannya kepada semua manusia tanpa mengira agama, kaum dan bangsa. Allah S.W.T berfirman bermaksud;
 
 

Proses melahirkan penjawat awam  yang mampu memikul amanah dengan penuh integriti amat sulit dan merumitkan sekiranya tiada mekanisme yang kukuh dan terancang. Proses ke arah melahirkan penjawat awam yang berintegriti sukar  dicapai jika konflik dalaman diri penjawat awam seperti rendah akhlaknya dan lemah pegangan agama  sukar dikikis serta  masih berlaku dalam kalangan penjawat awam itu sendiri.  Dalam hal ini, konsep pengorbanan dan tentang kesedaran tanggungjawab kerja sebagai ibadah, menegakkan hubungan antara sesama manusia dan hubungan manusia dengan Allah S.W.T amat penting untuk meletakkan maruah penjawat awam begitu tinggi di sisi Allah S.W.T dan kaca mata masyarakat.

Saya menimbulkan isu ini kerana saya bimbang sekiranya suatu hari nanti, perkhidmatan awam di negara ini bakal  melahirkan penjawat awam  yang tandus integritinya  walaupun mempunyai tahap pendidikan tinggi dan  kemahiran profesional dalam bidang pengkhususan masing-masing yang dicanangkan sesuai untuk meningkatkan mutu perkhidmatan awam keseluruhannya
 
Anjakan paradigma perlu berlaku dalam kalangan penjawat awam dalam pemantapan integriti sama ada disukai atau tidak. Sama ada penjawat awam itu benci mendengar perkataan “integriti” atau apa-apa polisi atau peraturan untuk memantapkan intgeriti dalam organisasi masing-masing. Itu tidak sepatutnya menjadi halangan. Sebaliknya jika penjawat awam tidak bersedia atau tidak mahu berubah, pintu sentiasa terbuka untuk beliau keluar dari perkhidmatan awam. Sebetulnya tiada siapa yang memaksa beliau memasuki atau keluar dari perkhidmatan awam di negara ini.   Saya amat yakin bahawa masih  ramai lagi bakal calon-calon yang sanggup memikul tanggungjawab yang akan ditinggalnya itu.
 
Ada ketikanya ketua jabatan perlu bertegas ke atas mana-mana penjawat awam yang melakukan pelanggaran tatatertib serius dan melakukan jenayah rasuah atau fraud.  Ada masanya sebagai ketua kita perlu menggunakan ubat paling mujarab walaupun menyakitkan iaitu “ buang kerja” sekiranya penjawat awam itu termasuk dalam golongan mereka yang layak diambil tindakan sedemikian itu. Demi untuk kemaslahatan umum iaitu menjaga maruah perkhidmatan awam keseluruhannya.
 
Walaupun masalah jenayah rasuah  hanya sebahagian kecil daripada bepuluh-puluh isu  integriti yang wujud dalam kalangan penjawat awam, masalah ini  perlu diubati segera;  kerana usaha meningkatkan integriti adalah ramuan mujarab walaupun  pahit ditelan,  perlu diperhebatkan dan diterima oleh setiap penjawat awam  bermula dari teladan oleh pegawai atasan kepada pegawai bawahan. Ada ketikanya pegawai bawahan perlu memainkan peranan melaporkan isu integriti melibatkan pihak atasan kepada pihak berkuasa.  Biarlah ada elemen “ check and balance” dalam perkhidmatan awam.  Ungkapan menyatakan ketua sentiasa betul sudah berlalu. Oleh itu bersedialah, banyak lagi ilmu pengetahuan dan kemahiran membina keyakinan diri dan kekuatan keimanan yang perlu dicari dan dihadam oleh penjawat awam sebagai persediaan untuk membina nilai integriti penjawat awam agar sentiasa mendapat keredhaan Allah S.W.T dalam setiap pekerjaannya,  meningkatkan keyakinan masyarakat ke atas perkhidmatan  awam dan membina sebuah negara yang bertamadun tinggi dan disegani.




Oleh : Mohamad Fauzi  Bin Husin


 

Apa Itu Integriti?

APA ITU INTEGRITI?

Sering kali kita mendengar orang menyebut integriti dan boleh dikatakan saban hari juga ungkapan ini terbit dari bibir si penutur atau paling tidak, kita akan menemuinya ketika sedang membaca surat khabar, majalah, buku dan bahan bacaan ilmiah lain.  Malah di mana-mana sahaja sering dibualkan tentang kurangnya integriti dalam kalangan orang ramai, pekerja di sektor awam, swasta atau dalam kalangan ahli politik.

Apakah yang dimaksudkan atau boleh difahami dengan integriti?. Apakah istilah ini mencerminkan sifat atau berkait rapat dengan keperibadian seseorang?. Mengikut kamus dwibahasa Dewan Bahasa Dan Pustaka (DBP) 1985 ialah “kejujuran dan ketulusan”, kesempurnaan, ‘keutuhan’. Ini bermaksud integriti adalah sifat “jati diri” yang merangkumi  juga keikhlasan, keterbukaan, ketelusan, amanah, benar, berpegang  kepada prinsip, tidak mudah dipengaruhi, boleh dipercayai, boleh pegang cakapnya dan lain-lain.

Secara ringkasnya, integriti ada dua bahagian iaitu integriti individu dan integriti  organisasi. Integriti individu  merujuk kepada himpunan kualiti unggul yang wujud dalam kalangan individu dan kualiti ini berteraskan kepada prinsip berpegang teguh kepada kejujuran dan amalan bermoral tinggi. Ini bermakna, integriti ialah keselarasan di antara tindakan dengan prinsip moral, etika dan undang-undang serta keselarasan di antara kepentingan diri dengan kepentingan umum.

Integriti organisasi pula tercermin dalam perumusan dan perlaksanaan kod etika, piagam pelanggan atau sistem dan proses kerja serta pematuhan kepada amalan terbaik. Kod etika berkenaan ditegaskan, diulangi dan dihayati oleh anggota organisasi berkenaan sehingga menjadi kebiasaan dan akhirnya menjadi budaya organisasi (corporate culture).

Mengapa integriti ini sukar dicapai? Bagaimanakah pula seseorang dikatakan berintegriti dan tidak berintegriti?. Perlukah integriti dicari atau membiarkannya datang bergolek sendiri dan bagaimana ia meresap ke dalam diri serta membentuk sifat jati diri yang teguh?. Lazimnya kita mudah membuat pengukuran mengenai tahap integriti seseorang berdasarkan perwatakan dan apa yang dilakukannya sama ada bersifat baik yang menyenangkan atau buruk lagi menjengkelkan.

Di kesempatan yang terhad ini, saya ingin kongsikan bersama isu-isu mengapa integriti sukar dicapai malah masalah tiada integriti masih menjadi masalah utama kepada penjawat awam di negara ini.  Kita sering mendengar bagaimana segelintir penjawat awam meminta atau  menerima rasuah untuk memudahkan sesuatu proses yang melibatkan kepentingan umum. Rasuah untuk mendapatkan tender atau sebut harga, rasuah untuk memotong giliran, rasuah untuk mengelak dari dikenakan hukuman dan macam-macam lagi. Pada satu tahap amalan tidak berintegriti seperti memberi dan menerima rasuah ini, seakan-akan sudah menjadi sebahagian dari budaya yang diamalkan oleh sebilangan ahli masyarakat.

Sebenarnya, isu integriti bukan sahaja masalah rasuah sebaliknya tatakelakuan melibatkan isu-isu  nilai, etika dan pegangan agama seseorang.  Kita tidak perlu melihat terlalu jauh atau besar tentang masalah lemahnya integriti. Tidak perlu untuk kita bincang bagaimana rasuah telah menjadi barah kepada si polan itu atau si polan ini atau di jabatan tertentu. Sebelum kita membincangkan tentang masalah integriti dalam kalangan orang lain, elok kita halusi diri kita sendiri.

Dalam tempoh waktu pejabat, berapa jam kita gunakan untuk urusan peribadi seperti bersembang di kantin, di pejabat atau keluar pejabat untuk urusan peribadi seperti ke bank, pasar tani, menggunakan telefon pejabat untuk urusan peribadi, membawa balik kertas atau pen pejabat, mengambil anak dari tadika dan pelbagai lagi. Ada ketikanya sewaktu di pejabat pula hampir setiap hari kita leka dengan urusan peribadi seperti bersembang di kantin, di pejabat atau keluar pejabat untuk urusan peribadi seperti ke bank, pasar tani, menggunakan telefon pejabat untuk urusan peribadi, membawa balik kertas atau pen pejabat, mengambil anak dari tadika dan pelbagai lagi. Ada ketikanya sewaktu di pejabat pula hampir setiap hari kita leka dengan telefon bimbit ditangan dengan WhatsApp atau layari internet dalam waktu pejabat.  Seolah-olah duduk di atas kerusi sedang buat kerja tetapi sebaliknya buat kerja peribadi yang melalaikan. Lebih ketara jika ketua pejabat bercuti atau ada tugasan di luar. Malah kita cukup berkira atau merunggut jika ketua mengarahkan kerja perlu disiapkan segera atau kerja lebih masa selepas tamat waktu bertugas, walaupun sekadar lebih 30 minit atau sejam sahaja. Ada ketikanya kita membuat kerja secara sambil lewa, cincai, kerja sepatutnya disiapkan pada hari sama, kita tangguh dan sambung keesokan harinya.

Begitu juga dengan gelagat segelintir ketua jabatan atau pegawai kanan yang tidak kurang hebatnya dengan alasan bertugas rasmi di luar tetapi urusan peribadi,  tidak menyelia tugas pegawai bawahan atau bersikap lepas tangan, tidak mengambil tindakan tegas ke atas pegawai bermasalah, salahguna kemudahan pejabat dan kenderaan jabatan, mengambil kesempatan mengarahkan pegawai bawahan untuk urusan peribadi dan sebagainya.

 Walau bagaimanapun, sekiranya beliau seorang Muslim, ia tidak dapat lari daripada penghayatan dan ketaatan kepada ajaran islam. Kepatuhan demikian menjadikannya seorang insan yang beriman dan bertakwa kepada Allah S.W.T dan RasulNya serta sentiasa bersyukur dan berhati-hati di dalam sebarang tindak-tanduk. Keimanan dan ketakwaan di dalam diri menjadi benteng dan jati diri yang kukuh daripada melakukan sesuatu perkara yang bertentangan dengan integriti. Hatta bagi mereka yang bukan Muslim sekalipun, setiap agama dianuti tidak pernah membenarkan penganutnya melakukan perkara yang bertentangan dengan norma-norma kehidupan atau di luar peradaban manusia.

Tidak keterlaluan mengatakan bahawa integriti sebenarnya boleh dicari malah dicapai melalui  ketinggian integriti seseorang seiring dengan keimanan di jiwa menjadi tonik paling mujarab bagi membentengi kita daripada terjebak dengan perkara-perkara yang merugikan diri sendiri, agama, organisasi dan negara. Marilah kita sama-sama menanamkan azam dan sematkan tekad untuk menjadi manusia yang hanya ingin menegakkan kebaikan dan mencegah kemungkaran di muka bumi Allah SWT ini kerana itulah antara kewajipan kita sebagai hamba-Nya.


Disunting : Mohamad Fauzi Husin 
 

Integriti Bermula Dari Diri Saya