Showing posts with label Adz-Dzariyat. Show all posts
Showing posts with label Adz-Dzariyat. Show all posts

Tuesday, 19 January 2016

BEKERJALAH SEOLAH-OLAH KAMU SEDANG BERIBADAH

Sesungguhnya matlamat utama Allah SWT mencipta manusia hidup di atas muka bumi ini adalah untuk beribadah kepada-Nya,  di samping diberi tanggungjawab dan amanah untuk memakmurkan bumi ini mengikut acuan dan panduan yang telah ditetapkan . Sesungguhnya Allah SWT tidak mendapat apa-apa faedah atau keuntungan daripada apa yang dilakukan oleh manusia melainkan semua amalan tersebut kembali untuk diri mereka sendiri .
Perkara ini Jelas dinyatakan didalam Al-Quran surah al-Zhariyat ayat : 56 - 58
Maksudnya: " dan (ingatlah) aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk menyembah dan beribadah kepadaKu, Aku tidak sekali-sekali menghendaki sebarang rezeki pemberian daripada mereka dan aku tidak menghendaki supaya mereka memberi makan kepadaKu. Sesunggunhya Allah dialah sahaja yang memberi rezeki (kepada sekalian makhluk-nya dan dialah sahaja) yang mempunyai kekuasaan yang tidak terhingga, lagi yang Maha kuat kukuh kekuasaan-Nya . "
Dalam Islam ibadah tidak hanya terbatas kepada sembahyang, berzikir dan bertasbih sahaja, dimana semua pekerjaan baik yang dilakukan oleh manusia  dengan hati yang ikhlas dan tidak bercanggah dengan prinsip ajaran Islam, ia adalah satu tuntutan dan dikira sebagai ibadah serta mendapat pahala.
Kerana itu, Islam sangat menitikberatkan unsur kecemerlangan dan kualiti dalam sesuatu pekerjaan. Pekerja yang cemerlang merupakan aset yang bernilai dan membawa imej yang baik kepada sesebuah organisasi . Antara ciri-ciri pekerja yang cemerlang ialah rajin, tekun, berdisiplin, amanah  sabar , penyayang, bertanggungjawab, dan sebagainya. Bukanlah dikatakan pekerja yang cemerlang sekiranya melakukan tugas secara sambil lewa, cuai, tidak memberikan perkhidmatan yang memuaskan kepada pelanggan dan sebagainya . Lebih-lebih lagi mereka yang bersikap suka membuang masa, menyalahgunakan kuasa dan kedudukan, tidak menyimpan rahsia, pecah amanah, melakukan rasuah dan sebagainya . Ini semua melambangkan sikap pekerja yang tidak  berintegriti  dalam menjalankan tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan.
Sesungguhnya agama Islam menggalakkan umatnya supaya bekerja dengan bersungguh-sungguh bagi meningkatkan kesejahteraan kualiti diri, keluarga, masyarakat dan negara . Islam melarang dan memandang rendah kepada orang yang malas bekerja dan hanya bergantung nasib kepada pertolongan orang lain .
Oleh itu, marilah  kita sama-sama bermuhasabah diri menilai kerja-kerja yang telah kita lakukan selama ini . Adakah kerja yang kita lakukan itu bertepatan dengan kehendak ajaran Islam dan dikira sebagai amal ibadah serta amal Saleh di sisi Allah s.w.t., Sesungguhnya amat malang dan rugi sekali sekiranya apa yang kita lakukan selama ini tidak mendapat apa-apa balasan dari Allah SWT.
Islam menetapkan bahawa pekerjaan adalah sebahagian daripada ibadah jika selari dengan etika kerja Islam. Etika Kerja Islam itu ialah meletakkan niat bekerja kerana Allah SWT, ikhlas, melaksanakan dengan amanah dan tekun serta tidak mengabaikan ibadah khusus yang lain.


  Oleh itu, Islam menggalakkan umatnya bekerja kuat dan mencari kekayaan. Dengan demikian umat Islam berpeluang membayar zakat dan bersedekah bagi tujuan memakmurkan agama Islam serta meringankan penderitaan manusia sejagat. Nabi Muhammad SAW bersabda yang mafhumnya: " Tangan Yang Memberi Lebih Baik Daripada Tangan Yang Menerima ". Dengan demikian kita gunakanlah sepenuhnya organisasi kita samada dalam kerajaan atau swasta sebagai tempat yang mempunyai integriti, mampu memartabat kesucian agama, menjaga kesejahteraan negara dan masyarakat.
  Dalam usaha mencari kekayaan itu Islam telah meletakkan garis panduan yang jelas supaya umat Islam tidak terjebak dengan amalan budaya berdosa. Firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 188:
Bermaksud: " Dan janganlah kamu makan harta orang lain di antara kamu dengan jalan yang salah, dan jangan pula kamu menghulurkan harta kamu (memberi rasuah) kepada hakim-hakim kerana hendak memakan (atau mengambil) harta manusia dengan (berbuat) dosa, pada hal kamu mengetahui (salahnya) " .
Ketika mengulas bahaya najis rasuah ini Rasulullah SAW bersabda:
Maksudnya: " Rasulullah SAW telah melaknat pemberi rasuah, penerima rasuah dan orang yang menjadi orang perantaraan " .
(Riwayat Ahmad)
               
           Mereka yang terlibat dalam amalan najis rasuah ini dikutuk Allah SWT dan dihumban ke dalam api neraka. Satu lagi timbul persoalan, apakah mereka yang terlibat dengan najis rasuah ini akan diwarisi pula oleh baka atau keturunan mereka?.
Jabir bin Zaid meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda



Maksudnya: " Setiap daging yang tumbuh dari sumber yang diusahakan dengan jalan yang haram,  maka nerakalah yang selayak baginya ".
             Berdasarkan hadith ini, nyata terdapat perkaitan kuat bahawa mereka yang bergelumang dengan najis rasuah ini berkemungkinan besar akan diwarisi pula oleh anak pinak mereka.
              Sayugia diingatkan bahawa, mereka yang menolak amalan najis rasuah adalah manusia hebat dan cemerlang kerana:
Pertama : Menjamin kesinambungan nasab atau keturunannya kekal dalam keadaan insan yang beriman dan berintegriti;
Kedua : Meningkatkan martabat dan integriti organisasi serta warga pengurusan;
Ketiga : Meningkatkan keyakinan masyarakat terhadap pemimpin yang berani memerangi najis rasuah; dan
Keempat : Membuktikan bahawa amalan ibadah-ibadah khusus seperti sembahyang, puasa, berzakat dan haji yang diamalkan telah berjaya mencegah dirinya terlibat dengan najis rasuah.
Firman Allah SWT dalam Surah Al-A’Raf ayat 96.
Maksudnya : " Dan sekiranya penduduk negeri itu beriman serta bertaqwa, tentulah kami bukakan kepada mereka keberkatan dari langit dan bumi. Tetapi mereka mendustakan (Rasul Kami), lalu kami timpakan mereka azab seksa disebabkan apa yang mereka telah usahakan " .
Disunting oleh: Ahmad Shahrom Bin Zamri

Sunday, 17 January 2016

JENAYAH RASUAH : PILIHAN ATAU KEINGINAN

PILIHAN ATAU  KEINGINAN

Amalan rasuah bukan merupakan perkara baru kepada masyarakat. Pada zaman Rasulullah S.A.W lagi amalan ini telah wujud. Baginda S.A.W sendiri telah diuji dengan pelbagai ujian dalam usaha untuk menyebarkan risalah Islam. Salah satu daripada ujian tersebut ialah Baginda S.A.W ditawarkan dengan harta kekayaan oleh kaum Quraish supaya berhenti menyebarkan risalah Islam kepada penduduk Makkah, meninggalkan jihad dan meninggalkan perjuangan untuk membina masyarakat Rabbani. Walaupun pelbagai ujian dan sogokan yang ditawarkan kepada Rasulullah S.A.W, Baginda tetap dengan pendiriannya berdasarkan sabdanya: 


"Sekiranya bulan diletakkan di tangan kananku dan matahari di tangan kiriku nescaya aku tidak akan sekali-kali meninggalkan tugas menyebarkan Islam ini."


Pilihan dan Keinginan dalam Isu Rasuah

Amalan rasuah memerlukan dua atau tiga pihak untuk menjayakannya. Oleh itu, setiap pihak mempunyai pilihan sama ada menerima atau menolak amalan tersebut. Islam memberi ruang kepada penganutnya untuk membuat pilihan selagi mana tidak bertentangan dengan syariat. Pilihan merupakan hak seseorang untuk melakukan sesuatu, sekuat mana tekanan yang diterima untuk menerima atau memberi rasuah jika seseorang memilih untuk menolaknya kerana lebih takutkan pilihan yang diberikan Allah S.W.T di akhirat kelak maka perkara tersebut dapat menjauhkan mereka daripada amalan rasuah. Terdapat dua pilihan dalam isu rasuah iaitu pilihan yang baik (menolak) dan buruk (menerima). Manakala keinginan pula melihat kepada kehendak seseorang dalam melakukan sesuatu sama ada berpandukan hukum atau mengikut hawa nafsu.


Kesedaran terhadap konsep amanah dan jujur dalam melaksanakan sesuatu menjadi kekuatan kepada mereka untuk menolak unsur-unsur negatif yang datang kepada mereka. Rasulullah  S.A.W memberi penekanan dosa rasuah adalah sama dengan dosa-dosa besar yang lain seperti berzina dan meminum arak. Selain itu, dosa rasuah bukan hanya kepada penerima rasuah malah kepada pemberi dan perantara yang melakukan perbuatan tersebut juga diberikan.
 


Memilih menerima amalan rasuah?

Tanggapan  bahawa amalan rasuah perlu diterima dalam keadaan-keadaan tertentu. Orang yang melakukan amalan rasuah sering kali menyatakan masyarakat perlu menerima amalan-amalan ini dalam sesetengah perkara. Jika tidak melakukannya sesuatu keputusan dan biroksasi yang harmoni tidak dapat diwujudkan. Hal ini kerana, rasuah memerlukan persetujuan bersama dan janji setia kedua pihak untuk melaksanakannya. 

Berdasarkan tanggapan-tanggapan tersebut, timbul persoalan adakah benar amalan rasuah mempunyai perkara positif?  Walaupun terdapat sesetengah pihak menyatakan terdapat kesan positif dalam amalan rasuah namun sebagai umat Islam kita perlu berpegang teguh kepada hukum yang telah ditetapkan iaitu sejauh mana kepentingan seseorang untuk menerima rasuah syarak telah menetapkan “sesuatu matlamat tidak menghalalkan cara”. Walaupun matlamat melakukan rasuah adalah baik, jika jalan yang ditempuh untuk mendapatkannya adalah salah dan dilarang keras oleh agama maka perbuatan tersebut hendaklah ditinggalkan.
 
 
Memilih untuk menolak?
 
Terdapat pihak yang menolak rasuah dalam bentuk wang tetapi menerima hadiah dan upah. Adakah hadiah juga boleh dikira sebagai rasuah? Hadiah adalah pemberian yang tidak mengharapkan kepada sebarang balasan malah Rasulullah S.A.W juga menerima hadiah. Dalam kes Ibnul Utbiah yang dihantar oleh Rasulullah S.A.W kepada satu kabilah untuk mengutip zakat dan beliau membawa balik kutipan zakat berserta pemberian hadiah daripada kabilah tersebut dan ditegur oleh Rasulullah S.A.W. Rasulullah S.A.W bersabda:
 
 
"Mengapa kamu tidak tinggal dirumah bersama ayah dan ibu kamu menantikan hadiah itu sampai kepada kamu, sekiranya kamu memang benar orang yang jujur."
 
 
Amalan rasuah ditolak apabila seseorang individu mempunyai sikap amanah dan jujur dalam melaksanakan tanggungjawab. Setiap tanggungjawab yang diberikan terutamanya melibatkan pihak pengurusan atau organisasi telah disediakan gaji untuk pekerjaan mereka, pemberian atau pengharapan kepada upah-upah sampingan sepatutnya tidak berlaku.  Penerimaan lain setelah menerima gaji adalah dilarang, ini berdasarkan sabda Rasulullah S.A.W:
 
 
Barangsiapa yang telah kami ambil untuk melakukan sesuatu kerja, dan telah ditetapkan baginya sesuatu rezeki (gaji atau upah), maka apa yang diambilnya selepas itu adalah ghulul (pengkhianatan)
(Riwayat Abu Daud)
 
 
 Keinginan individu
 
Keinginan adalah sesuatu yang berasal daripada hasrat (nafsu) atau harapan seseorang untuk mencapai sesuatu dan memenuhi kepuasan dalam hidupnya. Timbul persoalan adakah semua keinginan boleh diikuti? Keinginan manusia adalah tidak terbatas, namun manusia bukan hanya hidup secara individu dalam dunia ini. Kehidupan manusia melibatkan masyarakat, alam dan yang lebih utama adalah sebagai hamba kepada Allah S.W.T. Perkara ini berdasarkan firman Allah S.W.T:
 
 
Tidaklah Aku ciptakan jin dan manusia kecuali agar mereka beribadah kepada-Ku.”
(Adz-Dzariyat,51: 56).
 
 
Kesimpulan
 
Oleh demikian, tanggungjawab yang diberikan bukan sahaja melibatkan amanah yang diberikan oleh majikan atau pihak kerajaan, malah melibatkan amanah yang diberikan oleh Allah S.W.T.  Oleh itu, kekuatan iman sahaja yang mampu mencegah seseorang daripada amalan ini. 
 
 
Disunting  : Mohamad Fauzi Husin