Showing posts with label Rasuah. Show all posts
Showing posts with label Rasuah. Show all posts

Tuesday, 8 March 2016

SOALAN LAZIM BERKAITAN RASUAH


(Sebarang pertanyaan lanjut sila hubungi talian 03-8886 7000 / 1-800-88-6000)

1. Apakah SPRM dan bagaimanakah SPRM ditubuhkan?

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia atau SPRM adalah sebuah badan tunggal dan bebas yang mengendalikan kes-kes yang berkaitan dengan rasuah serta merupakan tunggak utama dalam inisiatif anti-rasuah di Malaysia. SPRM telah ditubuhkan pada Januari 2009, menggantikan agensi sebelumnya - Badan Pencegah Rasuah (BPR) mengikut akta yang baru digubal iaitu Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.          
Peranan SPRM secara umumnya adalah untuk membasmi rasuah merangkumi menerima/menberi rasuah, tuntutan palsu dan salahguna jawatan atau kedudukan untuk mendapatkan suapan rasuah di Malaysia dengan fungsi yang berdasarkan kepada prinsip Bebas, Telus dan Profesional dalam melaksanakan tugasnya.

2. Apakah itu rasuah?

Secara umumnya, rasuah merupakan suatu perbuatan sama ada memberi atau menerima sesuatu suapan yang berbentuk wang tunai atau barangan berharga sebagai upah bagi melakukan suatu perbuatan yang mempunyai kaitan dengan bidang tugas seseorang itu.

Sebagai contoh, 
seorang kontraktor memberikan hadiah berbentuk jam tangan berharga kepada seorang pegawai Kerajaan bagi meluluskan projek kepada syarikatnya.    

3. Jenis-jenis kesalahan rasuah mengikut Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009?

Berdasarkan ASPRM 2009 (Akta 694), terdapat empat kesalahan rasuah yang utama iaitu:
a.    Meminta/Menerima rasuah [seksyen 16 & 17(a) ASPRM 2009]
b.    Memberi suapan [seksyen 17(b) ASPRM 2009]
c.    Mengemukakan tuntutan palsu [Seksyen 18 ASPRM 2009]
d.    Salah guna kuasa [Seksyen 23 ASPRM 2009]

4. Apakah kesalahan Meminta/Menerima rasuah? Meminta/Menerima rasuah [seksyen 16 & 17(a) ASPRM 2009]

Mana-mana orang atau ejen secara rasuah meminta/menerima satu suapan sebagai balasan untuk melakukan atau tidak melakukan sesuatu perkara.

CONTOH: 
YDP Majlis Perbandaran dituduh meminta dan menerima rasuah daripada kontraktor berkaitan projek pembangunan perumahan di Padang Besar, Perlis seluas lebih kurang 10 ekar. Sebagai balasan, beliau menjanjikan proses kelulusan dan bantuan dalam kelicinan perjalanan projek tersebut.
Rasuah berupa wang tunai sebanyak RM30,000.00, cek tunai bernilai RM30,000.00, dan satu golf set jenis ”Mizuno” berharga RM2,500.00 yang diterima daripada kontraktor.
Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 4 tahun dan denda berjumlah RM1.925 juta

5. Apakah kesalahan Memberi suapan?

Mana-mana orang secara rasuah menawar/memberi satu suapan kepada pegawai awam sebagai balasan untuk melakukan atau tidak melakukan sesuatu perkara berkaitan hal ehwal pegawai awam tersebut. 

CONTOH: 
Sibu - Seorang kontraktor dijatuhkan hukuman lapan bulan penjara dan denda RM25,000 kerana memberi rasuah berjumlah RM1,500 kepada Pegawai Pengurusan Perhutanan, Sandum Hitam. Rasuah itu diberi supaya Sandum mempercepatkan proses permohonan “Permit To Enter Coupe”. Kesalahan dilakukan di pejabat Perhutanan Kawasan Daerah Sibu.        

6. Apakah kesalahan mengemukakan tuntutan palsu [Seksyen 18 ASPRM 2009]

Mana-mana orang mengemukakan dokumen tuntutan (resit, invoice) yang mempunyai butiran matan palsu dengan niat untuk memperdayakan prinsipal (pejabatnya).

CONTOH: 
SHAH ALAM - Bekas Dekan di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Tertuduh dihukum penjara tiga tahun dan denda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen di atas tuduhan memperakui invois pembekalan peralatan sukan palsu bernilai RM138,600 pada sekitar tahun 1999. 
Tertuduh didakwa membuat perakuan penerimaan barangan bertarikh 24 Mac 1999 dengan memperakui bahawa Multi Joint 2 AP berharga RM138,600 telah diterima dalam keadaan memuaskan sedangkan ianya tidak dibekalkan.       
Hakim turut menjatuhkan hukuman yang sama ke atas pemilik syarikat pembekal peralatan sukan,  atas kesalahan bersubahat mengeluarkan invois tersebut.        

7. Apakah kesalahan Salah guna kuasa [Seksyen 23 ASPRM 2009]

Pegawai Badan Awam atau anggota Pentadbiran kerajaan menggunakan kedudukannya dalam membuat keputusan atau mengambil apa-apa tindakan berhubung dengan sesuatu perkara di mana dia, saudara atau sekutunya mempunyai kepentingan.

8. Apakah hukuman bagi kesalahan rasuah?

Secara umumnya, hukuman bagi kesalahan rasuah ialah dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua puluh tahun dan didenda tidak kurang dari lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.         

CONTOH: 
Jika A menerima rasuah sebanyak RM5,000. Maka hukumannya penjara dan dendan sebanyak RM25,000 (RM5,000 x 5).          
Jika B menerima rasuah sebanyak RM1,000. Maka hukumannya adalah penjara dan denda RM10,000 (Ini kerana RM1,000 x 5 hanya bersamaan RM5,000. Oleh itu, diambil nilai RM10,000 iaitu nilai minimum bagi denda)

9. Adakah suapan rasuah hanya berbentuk wang sahaja?

Suapan rasuah boleh jadi dalam bentuk wang tunai, hadiah, bonus, undi, perkhidmatan (seperti seks), jawatan, upah, diskaun, pinjaman dan sebagainya.

10. Di dalam pemilihan melalui tender, adalah jelas tentang peraturan pengisytiharan dan keluar daripada mesyuarat pemilihan jika seseorang pegawai yang terlibat itu mempunyai kepentingan. Bagaimana pula dengan masalah pemilihan melalui proses sebutharga?

Di dalam pemilihan melalui sebutharga, peraturan-peraturan seperti dalam pemilihan tender juga perlu dipatuhi. Sekiranya seseorang pegawai itu mengetahui bahawa ada sebutharga yang dikemukakan kepadanya adalah terdiri dari orang yang mempunyai kepentingan dengannya, maka hendaklah beliau mengisytiharkan diri dan membiarkan keputusan pemilihan dilakukan oleh orang lain.

11. Apakah punca utama penjawat awam mengambil rasuah? Adakah disebabkan gaji yang kecil atau sebaliknya.

Pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sememangnya ada menjalankan kajian terhadap perlakuan rasuah di kalangan penjawat awam. Kajian mendapati punca pendapatan atau penetapan tangga gaji yang kecil dan rendah bukannya punca utama atau satu-satunya punca mengapa penjawat awam mengambil rasuah.
Di antara punca utama yang menyebabkan berlakunya rasuah di kalangan penjawat awam adalah kecenderungan mereka untuk:-       

a.    mempunyai gaya hidup di luar kemampuan,   
b.    sikap tamak dan haloba,
c.    wujudnya ruang dan peluang untuk melakukan perbuatan rasuah,    
d.    tahap integriti yang rendah di kalangan pegawai terbabit.       

Tuesday, 19 January 2016

Persepsi Negatif Penghalang Usaha Membanteras Rasuah

Dimana-mana negara pun di dunia ini, menegakkaan kebenaran dan melaksanakan undang-undang khasnya yang berkaitan dengan  jenayah, akan sentiasa berhadapan dengan cabaran dan kesukaran.
 
Bagi pelbagai agensi penguatkuasa yang diberi kuasa menguatkuasakan undang-undang, senarionya adalah sama. Anggotanya bukan sahaja berhadapan dengan pelbagai kesukaran dalam membuktikan berlakunya sesuatu jenayah, bahkan berdepan dengan cercaan, ugutan dan ancaman.
 
Begitu juga halnya dalam menangani jenayah rasuah, selain cercaan dan ketidakyakinan khalayak terhadap kemampuan agensi yang menjalankan tanggungjawab, persepsi negatif menjadi satu lagi musuh kepada misi memerangi jenayah itu.
 
Kecanggihan teknologi dan kepantasan maklumat yang disebarkan melalui pelbagai media, menjadikan perkara yang paling sukar untuk diurus kini ialah persepsi. Apatah lagi yang berkait secara langsung dengan kepentingan awam.
 
Segelintir masyarakat kita amat mudah percaya kepada khabar angin dan fitnah yang disebarkan. Malah cepat  membuat kesimpulan, dengan apa yang didengar sering disalah tafsir dan dianggap sebagai benar yang akhirnya sebati dalam ruang persepsi walau pun tanpa asas yang kukuh.
 
Akhirnya, persepsi berupaya membentuk pemikiran, pegangan dan keputusan terutamanya ketika berhadapan dengan sesuatu krisis. Maka jadilah ia penjajahan minda yang menjadi punca masyarakat sukar mengubah persepsi negatif terhadap sesuatu perkara. Penjajahan minda yang menjadikan masyarakat menerima dan mempercayai apa sahaja cerita yang disogok kepada mereka.
 
Kegilaan memutarbelitkan fakta, mengkritik, membuat kecaman dan sewenang-wenangnya mengeluarkan kenyataan terhadap usaha membanteras rasuah atau jenayah lain oleh mereka yang ingin mengaut keuntungan politik, menjadikan masyarakat mempunyai persepsi pelbagai dan bercelaru mengikut fahaman politik masing-masing.
 
Persepsi negatif sebenarnya merugikan semua pihak. Ia menjadi penghalang kepada usaha membanteras rasuah. Persepsi sedemikian menyebabkan anggota masyarakat lebih suka berdiam diri. Orang ramai akan beranggapan melaporkan kes rasuah hanya sia-sia kerana tidak ada tindakan selanjutnya. Ini menjadikan proses memerangi rasuah menjadi lebih sukar.
 
Walaupun sukar tetapi bukan mustahil untuk dicapai. Persepsi boleh tangani dan diurus dengan baik. Secara berhemah dan sabar. Rakyat akan menerima sekiranya mereka faham dan mengetahui perkara yang sebenar.
 
Hari ini tanda-tanda positif itu sudah mula dirasai. Komitmen kerajaan membanteras rasuah semakin menjadi perhatian umum. Parti-parti politik baik kerajaan mahupun pembangkang, agensi kerajaan, swasta dan pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan mula memperlihatkan kesungguhan untuk bersama memerangi rasuah.
 
Bahkan sudah sampai masanya masyarakat juga berpersepsi baik. Bijak untuk menilai antara yang benar dengan yang palsu, menyelidik setiap fakta yang diberi dan tidak menerima begitu sahaja setiap berita yang diterima, terutamanya dari mereka yang licik memanipulasi sesuatu isu demi kepentingan peribadi.
 
 
Bebaskan minda kita dari penjajahan persepsi negatif dan penipuan. Sebaliknya warga Malaysia tidak kira siapa pun kita perlu bersatu dan bangkit memerangi rasuah. Beri sokongan kuat supaya rasuah boleh dikawal walau pun tidak dapat dihapuskan seratus peratus.
 
Rasuah adalah racun dan barah yang menjejas pembangunan dan kesetabilan negara. Ibu kepada segala jenayah. Rasuah menggalakan aktiviti kongsi gelap, penyelewengan diesel, penipuan bekalan, pengedaran dadah, pelacuran, dan pemerdagangan manusia, kebanjiran pendatang tanpa izin dan seribu macam lagi jenayah yang menyebabkan ketidakselesaan, ketakutan, kebimbangan dan rasa tidak selamat dalam kalangan rakyat.
 
Membanteras rasuah bukan sesuatu yang sukar sekiranya wujud kesungguhan semua pihak terutamanya orang awam, ahli perniagaan, kalangan industri, pertubuhan bukan kerajaan dan ahli politik. Rasuah sifar dapat dicapai sekiranya setiap rakyat Malaysia menolak, membenci dan tidak
 
 
 
Disunting:Mohamad Ridzuan Suhaimi

Monday, 18 January 2016

JENAYAH RASUAH DARI SUDUT ISLAM

Apabila kita becakap mengenai rasuah, sudah tentulah kita mengetahui dan memahami bahawa ia merupakan satu perbuatan jenayah yang salah, kotor, hina dan jijik. Bagi orang Islam yang mengaku beriman kepada Allah dan Rasulnya sudah pasti meyakini bahawa perbuatan ini merupakan satu dosa. Perkataan rasuah tidak di sebut secara langsung dalam al-Quran, akan tetapi Allah s.w.t menerangkan kepada kita mengenai dosa amalan memakan harta orang lain secara batil (salah) menerusi firman-Nya dalam Surah Al-Baqarah ayat 188 yang bermaksud :

 “Dan janganlah sebahagian dari kamu memakan harta sebahagian yang lain di antara kamu dengan jalan yang batil dan janganlah kamu menghulurkan harta kamu (memberi rasuah) kepada hakim-hakim kerana hendak (mengambil) sebahagian dari harta orang lain itu dengan jalan berbuat dosa, padahal kamu mengetahui (salahnya).    


Perkataan ‘memakan harta’ bermaksud mendapatkan harta dengan menyalahgunakan kuasa dan kedudukan untuk mendapatkan keuntungan dengan melakukan perbuatan rasuah, menipu, merompak, memeras ugut dan sebagainya. Dalam ayat tersebut juga melarang kita memberi wang atau sogokan kepada penguasa atau pegawai  supaya tidak menjatuhkan hukuman atas kesalahan yang dilakukan atau hukuman tersebut mendatangkan keuntungan kepada pesalah.


Dari sudut as-Sunnah pula, terdapat beberapa hadith Nabi yang berkaitan dengan jenayah rasuah ini. Antaranya ialah hadith yang diriwayatkan oleh Ibn Ahmad, Rasulullah s.a.w bersabda:


“ Allah melaknat orang yang memberi dan menerima rasuah serta orang yang memberi jalan terhadap kedua-duanya (perantara)”.


Manakala di dalam hadith yang diriwayatkan oleh Ibn Mas’ud, Rasulullah s.a.w bersabda:

“ rasuah dalam pentadbiran adalah kufur, rasuah dalam kalangan manusia adalah haram”.


Berdasarkan dalil daripada al-Quran dan hadith tersebut jelaslah bahawa rasuah bukan sahaja perbuatan jenayah malah merupakan satu dosa. Allah s.w.t mengharamkan perbuatan rasuah kerana ia menjadi penyebab kezaliman kepada masyarakat, orang yang tidak bersalah dihukum bersalah, menghapuskan peluang kepada mereka yang layak melakukan sesuatu tugas atau pekerjaan, berleluasanya amalan penipuan dan juga sebagai permulaan kepada perbuatan jenayah lain yang lebih dasyat.

Dalam konteks sebagai penjawat awam, secara umumnya dapatlah dirumuskan bahawa pelakuan jenayah rasuah adalah satu bentuk penyalahgunaan kuasa atau jawatan yang diamanahkan untuk kepentingan peribadi atau saudaranya atau sekutunya. Jenayah rasuah juga merangkumi kesalahan mengemukakan tuntutan palsu, memberi atau menerima suapan rasuah sama ada berbentuk wang, hadiah, komisen, diskaun, apa-apa harta atau perkhidmatan sebagai balasan untuk mendapatkan sesuatu di luar saluran yang sah dari segi undang-undang dan moral. Semua kesalahan yang dinyatakan ini adalah haram dan berdosa.

Mereka yang terlibat dengan perbuatan rasuah ini selain daripada mendapat laknat Allah, juga akan menerima azab yang pedih di akhirat kelak sebagaimana disebutkan dalam hadith yang diriwayatkan oleh At-Tabrani dari Ibnu Umar, Rasulullah s.a.w bersabda :


 “Pemberi rasuah dan penerima rasuah akan masuk kedalam neraka”.


 
Oleh kerana perbuatan rasuah ini haram dan berdosa besar, maka wajib taubat nasuha dengan segera sama ada pemberi, penerima mahupun sesiapa sahaja yang berkaitan dalam interaksi rasuah tersebut. Jika sampai melibatkan individu tertentu yang teraniaya, tidak memadai hanya dengan taubat nasuha sahaja tanpa memohon kemaafan atau membayar gantirugi kepada mereka seperti orang yang mencuri yang mana tidak memadai hanya memohon ampun atas kesalahan yang dilakukan tanpa memulangkan kembali barang yang dicuri tersebut. Perlu diingat bahawa hasil dari rasuah tidak akan mendapat keberkatan dan setiap daging yang tumbuh dari sumber yang haram maka nerakalah yang layak untuknya.
Adalah jelas menunjukkan betapa Islam melarang keras perbuatan rasuah.  Perbuatan rasuah bukan sahaja bertentangan dengan ajaran Islam serta nilai-nilai dan tatasusila murni kemanusiaan, tetapi juga boleh menjejaskan imej negara dan integriti Perkhidmatan Awam.
 
 



Disunting:Luqman Bin Mahadi



Jenayah Rasuah Dari Perspektif Undang-Undang

Perkataan rasuah berasal dari bahasa Arab yang bermaksud ‘Al-Risywah’. Ia dikaitkan dengan perkataan ‘batil‘ yang disebutkan dalam Al-Quran, bermaksud perbuatan memperolehi harta dengan cara yang tidak halal seperti mencuri, merompak, rasuah dan menipu. Selain itu, menurut kamus Arab Al-Nihayat (1963:234), rasuah ialah suatu tujuan untuk mencapai matlamat dengan segala cara, asalkan tujuan tersebut tercapai. Ianya mempunyai perkaitan dengan ‘Ar-Rasyi’ [orang yang memberi sesuatu(perasuah)],  ‘Raisy’ [pihak kedua(penerima rasuah)] dan ‘Al-Murtasyi’ (perantara di antara pemberi dan penerima rasuah).

Dalam kamus bahasa Inggeris, Cambridge International Dictionary (1997:308) memberi makna ‘corruption’ iaitu ‘dishonesty using your position or power to your own advantage especially for money’.

Menurut kamus Dewan Bahasa (1984:409), perkataan rasuah bermaksud pemberian untuk menumbuk rusuk iaitu dengan menyogok atau menyuap; wang tumbuk rusuk ialah sogok atau suap dengan wang atau benda berharga. Manakala perkataan ‘suap’ bermaksud wang sogok atau rasuah.

Tokoh ilmuan Islam seperti Syeikh Abdul Aziz (1987:56) mendefinisikan jenayah rasuah sebagai; “Memberi harta kepada seseorang sebagai imbalan atau upah kerana perlaksanaan maslahat iaitu tugas atau kewajipan yang mana tugas itu harus dilaksanakan tanpa menunggu imbalan atau wang komisen”.

Manakala Yusof Al-Qardawi (1991:123) mendefinisikan jenayah rasuah sebagai; “ Sesuatu yang diberikan kepada seseorang yang mempunyai kekuasaan atau jawatan untuk  memenangkan kesnya dengan menewaskan lawan-lawannya sesuai dengan apa yang ia inginkan atau memberikan peluang kepadanya atau menyingkirkan saingannya”.

Pengertian rasuah dari segi undang-undang di Malaysia tidak dinyatakan secara khusus. Perbuatan rasuah merangkumi perspektif yang lebih luas dan tidak hanya memberi makna ‘memberi’ atau ‘menerima’ suapan wang rasuah sahaja. Mengikut undang-undang di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta SPRM 2009 telah mendefinisikan pengertian  ‘suapan’  merangkumi :

a) wang, derma, alang, pinjaman, hadiah, cagaran berharga, harta atau kepentingan mengenai harta, iaitu apa-apa jenis harta, sama ada harta alih atau tidak alih atau apa-apa manfaat seumpama itu yang lain;
b) apa-apa  jawatan, kebesaran, pekerjaan, kontrak, perkhidmatan dan apa-apa perjanjian untuk memberi pekerjaan atau memberikan perkhidmatan atas apa-apa sifat;
c)  apa-apa bayaran, pelepasan, penunaian atau penyelesaian pinjaman, obligasi atau liabiliti lain,
sama ada keseluruhannya atau sebahagian daripadanya;
d) apa-apa balasan berharga, apa-apa diskaun, komisen, rebat, potongan atau peratusan;
e) apa-apa   perbuatan menahan diri  daripada menuntut apa-apa wang atau nilai wang atau benda berharga;
f) apa-apa jenis perkhidmatan atau pertolongan lain seperti perlindungan dari apa-apa penalti atau tindakan mahkamah;
g) apa-apa tawaran, aku janji atau janji, sama ada bersyarat atau tidak mengikut pengertian mana-mana perenggan (a) hingga (f) di atas.
 
 
Di dalam Akta SPRM 2009 turut menjelaskan empat jenis kesalahan utama suapan  rasuah.  Pertamanya ialah suapan rasuah melibatkan kesalahan di bawah Seksyen 16(a)(A) dan 17(a) Akta SPRM 2009 secara umum menjelaskan mengenai mana-mana orang atau ejen secara rasuah meminta atau menerima atau bersetuju menerima suapan rasuah  seperti wang,  barang berharga atau apa-apa perkhidmatan sebagai dorongan atau upah untuk melakukan atau tidak melakukan apa-apa berkaitan dengan transaksi tersebut atau berkaitan urusan rasmi majikan atau prinsipal berkenaan adalah suatu kesalahan.

Contoh kesalahan seperti Pegawai awam meminta atau menerima suapan rasuah dari orang awam berupa wang, tiket kapal terbang atau barang kemas sebagai balasan atau upah meluluskan kontrak pembinaan atau pembekalan peralatan,  mengelak dari disaman atau ditahan.

Manakala keduanya ialah suapan rasuah di bawah Seksyen 16(b)(B) dan 17(b) Akta SPRM 2009 pula secara umumnya menyatakan mana-mana orang atau ejen secara rasuah menawar atau memberi atau bersetuju memberi suapan seperti wang, barang berharga atau apa-apa perkhidmatan sebagai dorongan atau upah untuk melakukan atau tidak melakukan apa-apa berkaitan dengan transaksi tersebut atau berkaitan urusan rasmi majikan atau prinsipal berkenaan adalah melakukan suatu kesalahan. Contohnya pegawai awam menawarkan atau memberi suapan rasuah kepada pengawai penguatkuasa sebagai balasan untuk tidak ditahan atau disaman kerana kesalahan jenayah.

Ketiganya di bawah Seksyen 18, Akta SPRM 2009  yang menjelaskan perbuatan mana-mana orang memberikan kepada ejen atau ejen memberi kepada prinsipal atau majikannya, suatu  dokumen yang diketahuinya mengandungi butir-butir matan yang palsu yang mana prinsipal atau majikannya mempunyai kepentingan dengan  niat hendak memperdayakan/mengelirukan  majikannya adalah melakukan suatu kesalahan. Sebagai contoh, pegawai awam bersubahat dengan kontraktor mengemukakan tuntutan palsu dengan mengesahkan kerja ubahsuai pejabat atau pembekalan peralatan disiapkan atau dibekalkan sepenuhnya sedang bekalan atau kerja belum siap. Pegawai awam terlibat membuat tuntutan palsu elaun perjalanan, kerja lebih masa atau penginapan hotel.

Akhir sekali, suapan rasuah di bawah Seksyen 23, Akta SPRM 2009 menjelaskan mana-mana pegawai badan awam menggunakan jawatan atau kedudukan untuk mendapatkan suapan rasuah dengan membuat apa-apa keputusan atau mengambil tindakan berkaitan dengan apa-apa keputusan atau mengambil tindakan berkaitan dengan apa-apa perkara mengenainya di mana pegawai itu, saudara maranya atau sekutunya ada kepentingan secara langsung atau tidak langsung adalah melakukan kesalahan. Contohnya pegawai awam mempengerusikan atau mengambil bahagian dalam meluluskan kontrak tender, sebutharga atau pembelian peralatan kepada syarikatnya sendiri atau isterinya atau kroninya yang dia ada kepentingan.

Hukuman bagi kesalahan suapan rasuah di bawah Seksyen 16, 17, 18 dan 23 Akta SPRM 2009 ini memperuntukkan hukuman penjara selama tempoh tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali nilai suapan atau RM10,000.00 yang mana lebih tinggi. Harta hasil dari  perbuatan jenayah rasuah boleh dilucuthakkan.

Berdasarkan kepada pelbagai definisi yang diberikan kepada jenayah rasuah, secara umumnya dapatlah dirumuskan bahawa perlakuan jenayah rasuah adalah suatu bentuk penyalahgunaan kuasa atau jawatan yang diamanahkan untuk kepentingan peribadi atau saudaranya atau sekutunya. Jenayah rasuah juga merangkumi kesalahan mengemukakan dokumen atau tuntutan palsu, memberi atau menawarkan suapan rasuah dan menerima atau meminta suapan rasuah sama ada berbentuk wang, hadiah, komisen, diskaun, apa-apa harta atau perkhidmatan sebagai balasan untuk mendapatkan sesuatu di luar saluran yang sah dari segi undang-undang atau moral.



Oleh: Mohamad Fauzi Bin Husin