Saluran Aduan

SISTEM ADUAN RASUAH DAN TATAKELAKUAN

PENGENALAN
Sistem Aduan Rasuah Dan Tatakelakuan (SART) Unit Integriti, Kementerian Pertanian Dan Industri Asas Tani merupakan saluran untuk warga Kementerian/ Agensi dan orang awam menyalurkan maklumat atau aduan berkaitan perlakuan jenayah rasuah atau pelanggaran tatakelakuan. SART akan memproses, meneliti dan menilai maklumat atau aduan diterima sebelum tindakan selanjutnya. Sekiranya berunsur jenayah rasuah akan disalurkan segera ke sistem teras operasi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk tujuan siasatan atau risikan selanjutnya. Sekiranya berunsur pelanggaran tatakelakuan akan diambil tindakan oleh Unit Integriti.

PANDUAN MENYALURKAN ADUAN RASUAH DAN PELANGGARAN TATAKELAKUAN

1. Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 6 Tahun 2013 berkaitan penubuhan Unit Integriti di semua Agensi Awam memperuntukkan salah satu fungsi Unit Integriti ialah menerima dan mengambil tindakan ke atas semua aduan atau maklumat mengenai salahlaku jenayah serta pelanggaran tatakelakuan dan etika organisasi.

2. Bagi maksud tersebut, aduan atau maklumat rasuah dan pelanggaran tatakelakuan boleh diklasifikasikan seperti berikut:

Salah laku iaitu apa-apa perbuatan yang melanggar tatakelakuan di bawah Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan Dan Tatatertib) 1993 dan peraturanperaturan lain yang berkuatkuasa;

Salahguna kuasa iaitu apa-apa ketidakpatuhan kepada peraturan semasa menjalankan kuasa di bawah undang-undang atau peraturan yang berkuatkuasa di bawah Kementerian dan agensi-agensi di bawah kementerian;

Jenayah Rasuah iaitu termasuk apa-apa kesalahan meminta, menawarkan atau menerima suapan rasuah, kesalahan tuntutan palsu, kesalahan salahguna jawatan atau kedudukan untuk mendapat suapan rasuah seperti diperuntukkan di bawah Seksyen 16, 17, 18 dan 23, Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan lain-lain kesalahan ditetapkan dalam Akta yang sama.

KAEDAH PENYALURAN ADUAN

Mana-mana warga kementerian/ agensi atau orang awam boleh menyalurkan aduan atau maklumat rasuah dan pelanggaran tatakelakuan kepada Unit Integriti melalui saluran berikut:
(a) Portal Rasmi : www. moa.gov.my
(b) E-Mel: integriti@moa.gov.my
(c) Menghadirkan diri di pejabat Unit Integriti atau menulis surat di alamat:
                 Unit Integriti
                 Kementerian Pertanian Dan Industri Asas Tani
                 Aras 4, Blok Podium 1B-4G1 Wisma Tani,
                 Presint 4, 62624 Putrajaya

PANDUAN MEMBERI MAKLUMAT BERKUALITI

1. Sila pastikan aduan atau maklumat itu tidak terlalu umum untuk membolehkan pihak Unit Integriti atau SPRM bertindak sewajarnya. Kumpulkan maklumat diperolehi dan sampaikan isi penting seperti:
o Bila kejadian berlaku (When)
o Dimana kesalahan dilakukan (Where)
o Siapa yang terlibat dan yang boleh membantu (Who)
o Apa kesalahan yang dilakukan (What)
o Kenapa kesalahan dilakukan (Why)
o Bagaimana transaksi rasuah atau pelanggaran tatakelakuan tersebut dilakukan sekiranya ada (How)

2. Sila sertakan nama dan maklumat perhubungan anda. Unit Integriti boleh menerima aduan atau maklumat daripada pemberi maklumat yang tidak dikenali, tetapi adalah lebih baik sekiranya kami dapat menghubungi semula anda bagi membantu kami bertindak dengan cepat dan lancar. Unit Integriti tidak dapat bertindak ke atas maklumat tidak lengkap atau terlalu umum dan tiada maklumat perhubungan untuk mendapatkan maklumat lanjut.

3. Anda juga boleh mengetahui status aduan atau maklumat anda melalui SART sekiranya anda menyertakan nama dan maklumat seperti emel atau nombor telefon mudah alih.

4. Pemberi maklumat akan dilindungi mengikut Seksyen 65(1)(2), Akta SPRM 2009 dan Seksyen 7,8 dan 9, Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010.

BAGAIMANA SART BERFUNGSI

1. Aduan atau Maklumat akan melalui proses saringan bagi mengenalpasti: o Aduan/ Maklumat yang berunsur rasuah atau tidak. o Aduan/ Maklumat yang boleh diambil tindakan atau tidak. o Orang yang ditohmah boleh dikesan/ dikenalpasti atau tidak.

2. Selepas proses saringan, aduan atau maklumat yang terpilih iaitu yang mencukupi berkaitan tatakelauan melibatkan salah laku dan salahguna kuasa di bawah Peraturan Pegawai Awam (Tatakelakuan Dan Tatatertib) 1993 atau undang- undang atau peraturan berkuatkuasa di kementerian dan agensinya akan diambil tindakan oleh Seksyen Penyiasatan, Unit Integriti.

3. Sekiranya maklumat itu mencukupi berkaitan jenayah rasuah akan dirujuk segera kepada SPRM untuk tindakan lanjut.

PERLINDUNGAN KEPADA PEMBERI MAKLUMAT

Seksyen 65(1)(2), Akta SPRM 2009 memperuntukan perlindungan kepada pemberi maklumat dan kandungan maklumat tidak boleh didedahkan oleh mana-mana orang termasuk tidak boleh didedahkan atau diperintahkan supaya didedahkan dalam manamana prosiding mahkamah, tribunal atau pihak berkuasa lain.


Seksyen 7,8 dan 9, Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 memperuntukkan seseorang pemberi maklumat yang telah mendedahkan perlakuan tidak wajar termasuk rasuah atau salahguna jawatan kepada SPRM atau penguatkuasa lain hendaklah diberi perlindungan maklumat sulit, kekebalan dari tindakan sivil atau jenayah atau tindakan tatatertib dan perlindungan terhadap tindakan memudaratkan.

KEWAJIPAN ANDA MELAPOR RASUAH

Jika Anda Penjawat Awam - Adalah menjadi kewajipan anda melaporkan pemberian, janji atau tawaran suapan rasuah oleh mana-mana orang. Anda bersalah jika tidak melaporkan sogokan rasuah. Jika disabitkan, anda boleh didenda tidak melebihi RM100,000.00 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya – Sek. 25(1), Akta SPRM 2009.

Jika Anda Orang Awam - Adalah menjadi kewajipan melaporkan segera daripadanya suapan rasuah diminta atau diperoleh secepat mungkin. Anda bersalah jika tidak melaporkan segera suapan rasuah itu. Jika disabitkan anda boleh dihukum penjara tidak lebih 2 tahun atau denda tidak lebih RM10,000.00 atau kedua-duanya - Sek. 25(3) Akta SPRM 2009.





AKTA PERLINDUNGAN PEMBERI MAKLUMAT 2010

Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 (Akta PPM 2010) merupakan satu akta untuk menggalakkan pendedahan maklumat mengenai sebarang jenayah rasuah atau salah laku lain. Akta ini akan memberi perlindungan kepada pemberi maklumat daripada sebarang tindakan memudaratkan akibat daripada pendedahan yang telah dibuat.

Syarat-Syarat Perlindungan
·         Pemberi maklumat bersedia untuk dikenali oleh SPRM.
·    Pemberi maklumat hadiri sendiri dan berjumpa dengan pengawai SPRM termasuk  pegawai SPRM ditempatkan di Unit Integriti MOA  samada di pejabat  atau  di mana-mana tempat.
·   Sekiranya pendedahan Kelakuan Tidak Wajar dibuat melalui surat/emel/panggilan telefon/khidmat pesanan ringkas, pemberi maklumat perlu menyatakan identiti dan alamat atau cara bagaimana beliau boleh dihubungi.

·        Kelakuan Tidak Wajar  ertinya apa-apa kelakuan yang jika terbukti menjadi suatu kesalahan tatatertib atau kesalahan jenayah. Kesalahan Tatatertib merujuk kepada apa-apa tindakan  yang menjadi suatu pelanggaran tatatertib dalam badan awam atau badan swasta sebagaimana diperuntukkan oleh undang-undang atau tatakelakuan, kod etika atau pekeliling atau suatu kontrak kerja mengikut mana-mana berkenaan. Manakala Kesalahan Jenayah termasuk rasuah, tipu, pecah amanah jenayah, mencuri, kekerasan dan sebagainya seperti ditetapkan di bawah Akta SPRM 2009 atau Kanun Keseksaan.

Jenis-Jenis Perlindungan
  • Identiti pemberi maklumat serta maklumat yang diberikan adalah dirahsiakan dan tidak boleh didedahkan kepada sesiapa pun termasuk semasa perbicaraan di mahkamah (Sekyen 7(1)(a) Akta PPM 2010) atau prosiding tatatertib jabatan.

  • Pemberi maklumat tidak boleh dikenakan apa-apa tindakan sivil, jenayah atau tatatertib akibat daripada pendedahan tersebut. (Sekyen 7(1)(b) Akta PPM 2010)
  • Pemberi maklumat dilindungi daripada sebarang tindakan yang memudaratkan hasil tindak balas pendedahan yang telah dibuat. (Sekyen 7(1)(c) Akta PPM 2010)
  • Perlindungan turut diberikan kepada mereka yang mempunyai kaitan/hubungan dengan pemberi maklumat. (Sekyen 7(3) Akta PPM 2010)

No comments:

Post a Comment