Tuesday, 16 February 2016

Tanggungjawab Menjadi Pekerja Yang Berintegriti

Kejayaan atau kecemerlangan seseorang penjawat awam diukur dengan sejauh mana integriti dalam melaksanakan kerja yang diamanahkan serta kesempurnaan hasil kerja yang dilakukannya. Dalam Al-Quran menyebut bahawa: “pekerja yang baik ialah seorang yang kuat (al-qawiyy) dan beramanah” (Surah Al-Qasas, Ayat 26). Rasulullah S.A.W. juga bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah S.W.T. suka apabila seseorang itu membuat satu perkara (pekerjaan) dia melakukannya dengan tekun”.(Hadis Riwayat al-Baihaqi).
Ada 3 ciri utama untuk menjadi seorang penjawat awam berintegriti. Pertamanya memiliki kekuatan fizikal dan akal termasuk ilmu pengetahuan, kepakaran dan kemampuan dalam bidang tugas diamanahkan. Keduanya memiliki sifat amanah. Iaitu tidak terlibat dalam salahlaku jenayah rasuah, penipuan, salahguna kuasa dan pelanggaran tatatertib. Pembentukan sifat amanah memerlukankepada pendidikan rohani yang menjurus kepada ian dan taqwa kepada Allah kerana seseorang yang memiliki kedua-dua sifat ini tidak akan mengabaikan atau mengkhianati amanah yang diberikan majikan kepadanya. Ketiganya cekap dalam melaksanakan tugasnya dengan sempurna, tekun dan menepati masa ditetapkan.
Sebagai penjawat awam, kita adalah modal insan yang sentiasa perlu dijana dan memerlukan setiap kerja dilakukan sentiasa berusaha untuk mendapat keredhaan dan keberkatan daripada Allah S.W.T. Penjawat awam bukan sahaja perlu menilai potensi diri dalam kemajuan kerjaya dan ganjaran pendapatan bulanan sahaja tetapi perlu memandang ke depan tentang janji-janji Allah S.W.T. terhadap setiap amalan dan pekerjaan dilakukan akan diperhitungkan tentang pahala dan dosa serta balasan syurga dan neraka. Perhitungan ini akan tetap datang kepada kita di Akhirat nanti walaupun sewaktu hidup tidak mahu dan tidak suka memikirkannya.
Allah S.W.T. memberi ganjaran pahal dan keberkatan hidup kepada setiap penjawat awam yang meletakkan integriti dalam melaksanakan amanah. Sabda Rasulullah S.A.W: “Sesungguhnya Allah Taala mengasihi hamba-Nya berusaha berpenat lelah mencari rezeki yang halal” (Hadis Riwayat Ad-Dailami)
Walau bagaimanapun Rasulullah S.A.W. memberi peringatan kepada majikan agar memastikan kebolehan atau kepakaran seseorang pekerja sebelum dia dilantik ke sesuatu jawatan berasaskan kelayakan dan kebolehan penjawat awam itu bukan atas dasar keakraban dan kepentingan lain sebaliknya. Sabdanya yang bermaksud: “Apabila sesuatu jawatan diserahkan kepada orang-orang yang bukan ahlinya, maka tunggulah saat kehancurannya” (Hadis Riwayat al-Bukhari). “Sebaik-baik kamu ialah orang yang tidak meninggalkan akhiratnya kerana dunianya dan tidak meninggalkan dunianya kerana akhiratnya serta tidak berpenat lelah kerana manusia” (Hadis Riwayat Al-Khatib).
Disunting Oleh : MOHAMAD FAUZI BIN HUSIN

No comments:

Post a Comment