Tuesday, 19 January 2016

Ikan Bilis vs Ikan Jerung

Rasuah merupakan jenayah keji. Salah satu ciri perasuah ialah mementingkan diri sendiri, dia tidak peduli hak orang lain. Dia sanggup melakukan apa sahaja demi mendapatkan suapan rasuah walaupun terpaksa merampas hak orang lain. Tiada lagi keadilan apabila rasuah membayangi sesebuah institusi, sifat amanah juga semakin luntur dalam diri apabila kemewahan daripada duit haram rasuah mula menjadi darah daging. Tidak hairanlah sesebuah negara akhirnya runtuh dilanda badai rasuah bagaikan “tsunami” yang datang sekali sekala memusnahkan rumah kediaman.
 
Rasuah  bermula dengan suapan yang kecil, penjenayah rasuah lama-kelamaan akan lebih berani untuk terlibat dengan rasuah lebih besar. Andainya hari ini kita membiarkan atau melepaskan perasuah-perasuah kecil berleluasa, umpama bermain dengan api yang kecil. Sewaktu kecil mungkin menjadi kawan, namun apabila ia semakin besar dan merebak, ia bertukar menjadi lawan yang ganas dan sukar untuk dibendung lagi.   Seperti api dalam sekam, ia mungkin bermula dari percikan api sebesar biji sawi. Jika dibiarkan, maka ia boleh merebak dan memusnahkan segunung sekam.
 
Begitulah juga rasuah. Jika rasuah-rasuah kecil tidak dikawal, lama-kelamaan ia menjadi suatu kebiasaan  atau amalan dalam masyarakat, institusi kerajaan, sektor swasta atau institusi politik dan akhirnya boleh merebak menjadi rasuah besar dan berleluasa. Apabila rasuah sudah menjadi kebiasaan dan bersekala besar, maka sangat sukar untuk mengawalnya pada waktu itu.
 
 
Istilah 'ikan bilis' dan 'ikan jerung' bukan lagi sesuatu yang asing bagi masyarakat di negara kita. Tambah pula ia sering ditiup oleh angin dari arah songsang melalui media-media sosial yang diposkan melalui internet oleh segelintir pihak yang ada kepentingan dan berniat jahat. Maka tidak hairanlah jika istilah ini cepat benar menerjah masuk keseluruh urat nadi masyarakat khususnya kepada jenerasi muda atau orang yang hanya mendengar sebelah pihak sahaja.
 
'Ikan bilis' merujuk kepada individu yang tidak berkedudukan dan tidak berpangkat. Orang awam, malah penjawat awam atau swasta  selalu memberi persepsi negatif menyatakan pihak yang bertanggungjawab gemar menangkap golongan ini daripada menangkap 'ikan jerung' yang merujuk golongan berkedudukan dan berpangkat. Namun sedarkah anda bahawa adakalanya rasuah yang dilakukan 'ikan bilis'  ini lebih berbahaya kepada negara?
                
Contohnya, kes di jeti Pulau Ketam umpamanya berlaku dalam kalangan pegawai- pegawai bawahan Jabatan Imigresen yang boleh dikategorikan 'ikan bilis'. Namun impaknya amatbesar terhadap kedaulatan negara. Warga asing yang mendarat di jeti ini dengan mudah masuk ke negara kita tanpa perlu memiliki
dokumen sah.
 
Hanya berbekalkan 'duit kopi' mereka bebas menyelinap masuk ke negara ini untuk melakukan apa sahaja  termasuk jenayah atau aktiviti persundalan.
 

Contoh kes diatas hanya sebahagian kecil kes-kes melibatkan individu bukan dari  golongan berprofil tinggi.  Itu tidak termasuk lagi segelintir penjawat awam dari jabatan lain seperti Kastam atau Polis yang terlibat dengan kes-kes pengedaran dadah, penyeludupan dan lain-lain jenayah. Mereka tidak mempunyai pangkat dan kedudukan mahupun pengaruh dalam masyarakat, namun impak dari perbuatan mereka adalah besar terhadap negara. Jika dibiarkan 'ikan bilis’ bebas, maka sudah pasti jumlah kes- kes Jenayah dan kebanjiran  pendatang asing tanpa izin meningkat dan berleluasa.
     
Begitu juga dengan kes-kes jenayah rasuah melibatkan “ikan jerung” walaupun tidak melibatkan ramai orang besar tetapi memberi impak yang teruk kepada keselamatan dan ekonomi negara.  Jenayah rasuah di kalangan golongan ini lebih teratur dan terancang yang menyukarkan pihak berkuasa mengesannya. Dengan kecanggihan teknologi hari ini,  rasuah yang melibatkan 'ikan jerung' tidak berlaku secara terang-terangan atau bersemuka seperti kebiasaannya berlaku di kalangan 'ikan bilis'. Mereka sangat Iicik dan bijak mengatur strategi untuk mengelakkan perbuatan keji mereka dikesan dan dibuktikan.
 
“Oleh itu, jihad memerangi jenayah rasuah bukan sahaja terletak di baru SPRM semata-mata, malah memerlukan iltizam dan kerjasama semua pihak  khususnya pemimpin politik atau anggota pentadbiran termasuk juga setiap penjawat awam di agensi kerajaan, swasta, NGO, media dan masyarakat dan perlu memainkan peranan masing-masing agar rasuah dapat dihapuskan. Usaha memerangi jenayah rasuah ibarat kita memerangi komunis dan menangani isu perkauman sebelum dan selepas merdeka. Sebagai contoh, kejayaan menghapuskan kegiatan komunis di negara ini bukan sahaja terletak di bahu pasukan keselamatan semata-mata sebaliknya komitmen semua pihak termasuk semua pemimpin politik,  tokoh-tokoh agama, pemimpin masyarakat pelbagai kaum,  NGO, pegawai kerajaan, swasta dan orang awam.
 
"Pihak berkuasa, tidak pernah selektif atau membezakan antara satu pihak dengan yang lain dalam melaksanakan tugas-tugasnya. Sekiranya seseorang itu melakukan kesalahan rasuah atau penyalahgunaan kuasa, akan dikenakan tindakan undang-undang keatas mereka tanpa mengira pangkat atau taraf kedudukan seseorang itu.
 
"Penjenayah-penjenayah rasuah sebenarnya yang harus dijadikan sebagai musuh. Tidak kira dia perasuah berstatus ikan bilis atau ikan jerung. Sama-sama bahaya, sama-sama dilaknati Allah SWT. Mereka inilah yang akan menghancurkan masa depan negara dan menjadi petualang agama dan bangsa.”
 
 
Disunting Oleh: Mohamad Fauzi Bin Husin
 
 

No comments:

Post a Comment