Tuesday, 19 January 2016

Apabila Amanah Diabaikan

Setiap manusia yang dicipta Allah SWT  perlu memikul amanah. Tidak kira yang kecil, besar,muda,  tua, wanita atau lelaki sedang memikul amanah masing-masing.  Rasulullah SAW bersabda  bermaksud; Setiap kamu adalah pemimpin dan kamu akan ditanya tentang kepimpinanmu - Hadis riwayat Bukhari dan Muslim.
 
Amanah memang tidak nampak dan tidak boleh dipegang dengan tangan. Ibarat asap rokok, nampak tetapi tidak boleh dipegang.   Amanah  jelas kelihatan pada hasilnya.
Sebagai penjawat awam, tidak kira berpangkat rendah, pertenggahan atau atasan, juga memikul amanah yang berat. Mengabaikan amanah, boleh membawa ke neraka. Amanah yang paling berat adalah “ memikul” masa. Jika ada lapan jam waktu berkerja sehari.  Adakah kita menggunakan sepenuhnya masa berkerja kita? Jika tidak cukup kerana ada urusan peribadi yang tidak dapat dielakkan, adakah kita sanggup menggantikannya dengan balik lewat, kerja lebih masa? Jika tidak sanggup, jadilah kita di kalangan orang yang paling rugi di dunia dan akhirat kerana telah gagal memikul amanah yang diberikan.
 
Firman Allah SWT dalam Surah Al-Anfal ayat 27 yang bermaksud; Wahai orang yang beriman, janganlah kamu mengkhianati (amanah) Allah dan Rasul-Nya, dan (janganlah) kamu mengkhianati amanah-amanah kamu sedang kamu mengetahui salahnya
 
Dalam konteks perkhidmatan awam,  jika seseorang pemimpin atau ketua jabatan   tidak amanah, organisasi diketuainya  akan  pincang pengurusannya, terhina atau diperlekehkan oleh pegawai bawahan dan orang awam. Apatah lagi jika ketua sendiri terlibat dengan jenayah rasuah  atau menyalahguna jawatan untuk kepentingan peribadi atau keluarganya.
 
Rasulullah SAW bersabda bermaksud; Tidak sempurna iman bagi orang yang tidak beramanah dan tidak sempurna agama bagi orang yang tidak menepati janji”- Hadis riwayat Ahmad.
Semoga kita semua tidak tergolong di kalangan orang-orang yang gagal memikul amanah Allah SWT dan semoga setiap kerja yang diamanahkan kepada kita sentiasa diberkati Allah SWT
 
 
 
(MOHAMAD FAUZI BIN HUSIN) KPKPj
Ketua Pegawai Integriti

Kementerian Pertanian Dan Industri Asas Tani

 



No comments:

Post a Comment