Tuesday, 19 January 2016

Rasulullah Model Kepimpinan Berintegriti

Pada prinsipnya setiap manusia adalah pemimpin. Pemimpin yang berjaya adalah seseorang yang mengetuai dirinya sendiri, keluarga, organisasi atau pertubuhan, meneraju membuat perubahan ke arah mencapai matlamat yang ditentukan. Tanggungjawab ini bukan mudah kerana banyak cabaran dan ujian yang akan dihadapi. Peranan penting seorang pemimpin ini pernah dijelaskan oleh Nabi SAW dalam sabda baginda yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari:
 
 
 

Mafhumnya: “Ingatlah! Setiap orang daripada kamu adalah pemimpin dan setiap kamu bertanggungjawab terhadap apa  yang dipimpinnya”.
 

 
Junjungan mulia Nabi Muhammad SAW merupakan model terunggul dalam kepimpinan. Rasulullah SAW adalah pemimpin yang memenuhi fitrah manusia sejagat melalui sifat-sifat mulia seperti amanah, siddiq, tabligh dan fatanah. Menurut sirah, sebelum dari kerasulannya, pemimpin Arab Quraish pernah memberikan gelaran 'al-Amin' kepada Baginda kerana ketinggian sifat integriti dan akauntabiliti dalam memberi perkhidmatan cemerlang kepada masyarakat. Gelaran 'al-Amin' ini telah membangkitkan rasa kasih sayang berterusan sebahagian besar masyarakat Quraish kepada Rasulullah SAW.

 
Walau bagaimanapun cabaran yang dihadapi oleh baginda juga cukup hebat. Abu Jahal seorang pemimpin kanan Quraish, pernah menawarkan jawatan Raja, perempuan cantik, dan harta kekayaan, supaya Rasulullah SAW tidak meneruskan perjuangan Islam. Namun, berdasarkan kekuatan integriti dan maruah kepimpinan Islam, maka Rasulullah SAW menolak semua tawaran itu.

 
Selain Abu Jahal, al-Qur'an juga merakamkan beberapa watak kepimpinan korup yang tidak berintegriti sehingga merosakkan negara, memecah belahkan masyarakat dan membawa kesengsaraan kepada keluarga, bangsa dan agama. Watak tersebut ialah Fir'aun, Haman, dan Qarun. Hinanya mereka hingga kezaliman mereka dikecam sehingga kini.

 
Dr Sheikh Yusuf al-Qaradhawi menjelaskan bahawa Fir'aun adalah pemerintah diktator, mempunyai bidang kuasa mutlak menghukum musuhnya sesuka hati dan mendakwa dirinya tuhan kerana meyakini tidak ada kuasa lain boleh menggugat pemerintahannya; Haman pula seorang yang sentiasa berlegar mengelilingi Fir'aun menjalankan tugas ampu-mengampu untuk memperkukuhkan kekuasaan Fir'aun; manakala Qarun pula seorang tokoh korporat yang mengambil manfaat daripada pemerintah. Dia membantu pemerintah dengan kewangannya dengan harapan akan mengaut habuan lebih besar tanpa mempedulikan penderitaan orang lain.

 
Integriti seorang pemimpin berkait rapat dengan imej agama Islam dan nasib keluarga serta umatnya di dunia hingga akhirat. Lihat sahaja bukti kepimpinan Rasulullah SAW yang mengasihi umatnya, sehinggakan di waktu sakaratulmaut pun baginda masih terkenang mengenai nasib umatnya di dunia ini dengan keluhan yang berat. Berulang kali baginda menyebut umatku! umatku! umatku!.


 
Hasil kepimpinan yang ditunjukkan oleh Baginda SAW telah diterjemahkan dalam kepimpinan Khalifah Umar Al-Khatab RA. Khalifah Umar RA adalah salah seorang pemimpin yang sangat disayangi rakyat kerana tanggungjawabnya yang luar biasa terhadap rakyat jelata. Dalam suatu peristiwa ketika beliau sedang meronda di sekeliling kota pada waktu malam untuk meninjau kehidupan rakyatnya, beliau terdengar tangisan kanak-kanak yang sedang kelaparan, sedangkan ibunya tidak mempunyai apa-apa untuk dimasak. Ibu tersebut terpaksa berpura-pura memasak dengan memasukkan beberapa ketul batu kedalam periuk supaya anak itu berhenti menangis. Melihat suasana yang menyayat hati itu, maka Khalifah Umar al-Khatab RA telah membawa beberapa guni gandum dan memasak sendiri untuk ibu dan anak yang kelaparan tadi. Perbuatan Khalifah Umar RA mendapat pujian dari wanita tersebut tanpa mengetahui bahawa orang yang menolongnya tadi adalah Khalifah Islam yang sebenarnya sedang memimpin negara ketika itu. Semoga kisah tauladan ini memberi manfaat dan pengajaran yang berguna kepada kita.

 

Sebagai kesimpulannya, semua pihak hendaklah menginsafi diri dengan mempertingkatkan kualiti jati diri dan integriti yang telah dicontohi Rasulullah SAW dan para sahabat melalui langkah berikut:

 
A)  Memantapkan urus tadbir negara, masyarakat, dan keluarga berpandukan syariat Islam,

B)  Menjauhi daripada mencontohi watak tokoh pemimpin yang korup,

C)  HArus diingat bahawa, golongan yang tidak berintegriti walaupun terlepas hukuman di dunia tetapi mereka tidak terlepas daripada hukuman Allah SWT pada hari akhirat, dan

D)  Pemimpin yang berintegriti akan lebih dihormati, dikagumi dan disayangi oleh keluarga dan masyarakat.

 

 
Suntingan: Ahmad Shahrom bin Zamri

 

 




No comments:

Post a Comment