Thursday, 4 February 2016

'Ada Kes' vs 'Ada Keterangan'

Masyarakat  sering  tersalah anggap bahawa SPRM boleh mendakwa mana-mana individu yang terlibat dalam jenayah rasuah. Hakikatnya prinsip Perlembagaan Malaysia ada pemisahan kuasa antara eksekutif, perundangan dan kehakiman. Mengikut Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan, Peguam Negara ada kuasa budibicara untuk memulakan menjalankan atau memberhentikan apa-apa prosiding bagi sesuatu kesalahan jenayah termasuk rasuah. Ini bermakna perlembagaan  tidak membenarkan pihak yang menjalankan siasatan membuat keputusan sendiri untuk menuduh seseorang suspek di mahkamah.

Pendakwaan kes rasuah
SPRM adalah agensi penguatkuasa undang-undang yang bebas  menjalankan siasatan mengikut Akta SPRM 2009.  Manakala keputusan  menuduh atau tidak kes siasatan dibuat oleh Jabatan Peguam Negara (JPN).  SPRM akan mengemukakan Kertas Siasatan (KS)  kepada Bahagian Perundangan dan Pendakwaan SPRM (pegawai JPN ditempatkan di SPRM) untuk keputusan tuduh atau sebaliknya di mahkamah.   Keputusan sama ada tertuduh bersalah atau tidak akan ditentukan oleh mahkamah.

Harus diingat bahawa bukan semua kes yang disiasat akan berakhir dengan pendakwaan di mahkamah.  Sesuatu aduan dibuka KS, apabila ada asas disyaki pelakuan rasuah itu telah berlaku.  Kes yang selesai disiasat yang dikemukakan kepada Bahagian itu akan putuskan sama ada akan didakwa di mahkamah atau Laporan SPRM kepada jabatan (untuk tindakan tatatertib jabatan) atau tiada tindakan ke atas suspek kerana tiada keterangan atau bukti.

Seseorang suspek akan didakwa di mahkamah setelah wujud segala keterangan dan bukti yang mencukupi hasil daripada siasatan yang dijalankan. Pendakwaan tidak akan dibuat akibat tekanan mana-mana pihak atau atas dasar ‘dendam peribadi’ terhadap suspek
Ada kes tidak semestinya ada keterangan
“Mengapa si polan tidak dituduh di mahkamah?  Kerap kali kita dengar atau terbaca dalam media sosial atau percakapan umum mempersoalkan kenapa suspek yang telah ditangkap dan disiasat SPRM tidak didakwa di mahkamah.

             Sebenarnya, terdapat perbezaan yang besar di antara ada kes dan ada keterangan. Tidak semestinya kes yang kita anggap ‘ada kes’, individu terbabit mesti dihadapkan ke mahkamah. Tetapi, kes yang mempunyai keterangan yang cukup, sudah pasti akan dituduh dan dibicarakan.   Dengan kata lain, pendakwaan terhadap pelaku rasuah hanya akan dibuat apabila ‘ada keterangan’ yang kukuh mengenai jenayah rasuah yang dilakukan.   Contohnya, seorang penjawat awam disyaki menerima suapan rasuah RM5000.00 daripada syarikat sebagai balasan untuk mendapatkan kontrak pembekalan input pertanian.   Maklumat diterima oleh SPRM ialah daripada pekerja syarikat itu di mana pekerja itu dimaklumkan  oleh pengurus syarikat itu yang dia berikan suapan rasuah itu kepada penjawat awam berkenaan.

Dalam konteks ini, memang jelas ‘ada kes’ rasuah berlaku.   Namun persoalannya, adakah dengan hanya bergantung kepada keterangan pekerja syarikat itu sudah mencukupi untuk mendakwa penjawat awam terbabit di mahkamah?  Untuk membuat pertuduhan, SPRM memerlukan keterangan dan bukti yang mencukupi seperti pengakuan pengurus syarikat itu, saksi yang nampak  transaksi rasuah itu, penemuan wang rasuah itu atau apa-apa keterangan yang menyokong. Jika ini  tiada atau sebahagian keterangan tiada, sekuat mana pun kita menganggap ‘ada kes’, amat sukar untuk pertuduhan dibuat, apatah lagi untuk menyabitkan tertuduh di mahkamah.

Kenapa ada keterangan masih belum menjamin kes sabitan
Keberkesanan kes pendakwaan dapat dilihat menerusi sabitan kes-kes rasuah di mahkamah. Sejak SPRM ditubuhkan sebagai suruhanjaya pada tahun 2009, kadar sabitan telah meningkat iaitu tahun 2009 adalah 54% dan tahun 2014 ialah 78.3 %.
 Apabila mengambil kira kes-kes rasuah adalah jenayah kompleks dan kesukaran  dihadapi untuk pendakwaan dan pembuktian kes di mahkamah,  kadar sabitan melebihi 75 peratus boleh dianggap amat baik.  SPRM tidak boleh memberi jaminan sabitan 100% bagi setiap kes yang dituduh di mahkamah.  Kekalahan kes di mahkamah adalah sesuatu yang tidak dapat dielakkan. Ada beberapa sebab, antaranya:
1) Kes rasuah, “tiada mangsa” yang benar-benar menjadi mangsa kepada pesalah rasuah. Jenayah rasuah melibatkan dua pihak yang saling mendapat keuntungan.  Contohnya syarikat pemborong beras terpaksa beri rasuah diminta oleh pegawai kerajaan jika mahu kontrak bekalan beras subsidi ST15%. Walaupun “terpaksa beri rasuah”, dia masih untung kerana dapat kontrak dan pegawai kerajaan itu “untung” kerana dapat wang rasuah.
2) Keterangan saksi tidak konsisten - oleh kerana saksi kes rasuah ini berbeza berbanding saksi bagi jenayah yang lain, maka keinginan saksi untuk menghukum penjenayah rasuah juga dilihat tidak begitu bersungguh-sungguh. Akibatnya, mereka cenderung memberi keterangan yang tidak konsisten dan seringkali berubah-ubah. 

3) Saksi berpaling tadah atau enggan beri kerjasama semasa perbicaraan kes -keterangan  diberikan semasa di mahkamah  bercanggah dengan keterangan dibuat kepada pegawai SPRM semasa peringkat siasatan. Contohnya, saksi tidak hadir atau menghilangkan diri apabila dikehendaki memberi keterangan di mahkamah.

4) Ada pengadu  membuat aduan rasuah kerana berasa marah terhadap tertuduh. Lama-kelamaan perasaan marah itu semakin pudar dan diganti dengan perasaan kasihan terhadap tertuduh  Contohnya, apabila tertuduh telah meminta wang rasuah lebih banyak daripada sepatutnya. Ataupun, setelah tertuduh menerima wang Ataupun, setelah tertuduh menerima wang Ataupun, setelah tertuduh menerima wangMaka aduan dibuat terhadap tindakan tertuduh.

 5) Apabila saksi dipujuk rayu oleh keluarga dan rakan-rakan tertuduh. Faktor kemanusiaan menyebabkan saksi enggan memberi kerjasama dalam perbicaraan.Ada juga kes pengadu dibayar wang rasuah oleh keluarga tertuduh.
6) Saksi juga adalah rakan sekerja, pegawai bawahan atau rakan perniagaan kepada tertuduh.
7) Saksi mungkin berasa takut kerana keterangannya boleh mendatangkan implikasi negatif terhadap diri dan mata pencariannya.
8) Saksi memberi keterangan tidak benar di mahkamah akibat dipengaruhi atau diajar oleh peguam bela tertuduh sendiri.

Masyarakat khususnya penjawat awam wajib menolak rasuah dan perlu  memainkan peranan penting dalam memastikan mereka yang melakukan rasuah dihukum. Peranan masyarakat bermula dengan membuat laporan berhubung sesuatu pelakuan rasuah. Seterusnya membantu dalam siasatan dan seterusnya semasa kes dibicarakan di mahkamah.  Masyarakat juga tidak perlu takut kerana SPRM akan sedaya upaya melindungi saksi dan pemberi maklumat di bawah Seksyen 53, Akta SPRM 2009, Akta Perlindungan Pemberi maklumat 2010 dan  Akta Perlindungan Saksi 2009.    


Disunting oleh Muhamad Fauzi Bin Husin

No comments:

Post a Comment