Thursday, 4 February 2016

Integriti Kerja Dari Perspektif Islam


Integriti merupakan satu perkataan yang sinonim dan biasa kita dengar saban hari. Maksud Integriti mengikut Kamus Dewan edisi Ketiga ialah kejujuran; keadaan sempurna dan utuh, mempunyai atau menunjukkan komitmen terhadap sesuatu.
Dalam Islam, Integriti merupakan satu perkara yang sangat penting terutamanya Integriti dalam pekerjaan. Al-Syahid Imam Hasan al-Banna berkata : “ Islam menggalakkan manusia bekerja dan mencari rezeki. Malah Islam menetapkan orang yang berkemampuan wajib bekerja. Islam amat memuji pekerja-pekerja yang mahir lagi professional.  Islam juga mengharamkan manusia meminta-minta.
Islam menjelaskan bahawa ibadat yang terbaik ialah bekerja. Bekerja adalah sunnah para Nabi. Hasil usaha yang terbaik adalah dengan hasil usaha tangan sendiri. Islam mengecam mereka yang menganggur dan juga mengecam mereka yang menjadi beban kepada masyarakat walau dengan alasan apa sekalipun untuk mereka menganggur, untuk memberi tumpuan kepada ibadat. Islam tidak pernah mengenal erti pengangguran sebegini.  Bertawakal kepada Allah swt adalah dengan cara melakukan sesuatu dan yang boleh mendatangkan hasil. Jika salah satu perkara ini tidak dilakukan, ia bukanlah tawakal. Rezeki yang ditentukan dikaitkan dengan uaha yang berterusan. Allah swt berfirman dalam surah at-Taubah ayat 105 yang bermaksud :
“ Dan katakanlah (wahai Muhammad): Bekerjalah kamu, maka Allah akan melihat pekerjaanmu, begitu juga Rasul-Nya dan orang-orang mukmin, dan kamu akan dikembalikan kepada (Allah) yang mengetahui yang ghaib dan nyata . Lalu diberitakan-Nya kepada kamu apa yang telah kamu kerjakan.”

Al-Qurtubi berkata: “ kalaulah seseorang melakukan sesuatu perkara dalam tembok batu, tiada pintu dan tingkap sekalipun, nescaya keluar amalannya itu kepada manusia”.  Ibn kathir pula menyebut dengan menaqalkan pendapat Mujahid: “ ini merupakan ancaman yakni daripada Allah swt kepada orang yang melanggar arahan-Nya di mana segala amalannya dibentangkan kepada Allah swt, Rasul dan orang yang beriman”.
Manusia diciptakan oleh Allah swt dengan unsur kerohanian dan fizikal yang merupakan potensi bagi membolehkan manusia mengurus tadbir dunia berbanding makhluk Allah swt yang lain. Proses pemantapan fungsi manusia akan menjadi sempurna apabila kedua-dua unsur tersebut berkembang secara sepadu dan seimbang. Unsur kerohanian adalah unsur abstrak yqng terdiri dari roh, akal dan  nafsu perlu dididik dengan nilai-nilai yang bersifat kerohanian yang memerlukan mekanisme pemantauan yang dikenali sebagai muhasabah diri. Tanpa didikan dan kawalan akan menyebabkan nafsu menguasai tindakan individu dan seringkali juga akal tidak dapat melaksanakan fungsinya yang sebenar  Apabila situasi ini berlaku akan mendorong individu melakukan sesuatu yang bertentangan dengan norma kehidupan, peraturan dan undang-undang .
Dalam konteks pengurusan dan tadbir urus organisasi, pembudayaan integriti memerlukan kefahaman dan kesedaran bahawa etika tersebut mesti diamalkan dan pengabaiannya akan membawa kerosakan bukan sahaja kepada diri sendiri tetapi juga kepada orang lain dan organisasi. integriti dapat dipupuk dan dimantapkan melalui peringatan bahawa tugas adalah amanah, tindak tanduk individu dipantau melalui konsep ihsan, konsep pengetahuan dan penyaksian Allah swt tidak ada batasan waktu dan tempat. Manakala konsep-konsep lain yang berteraskan nilai ajaran Islam yang akan menambah kekuatan dalaman penjawat awam untuk menghadapi tugas yang semakin mencabar.

Seorang yang soleh merumuskan cara menewaskan musuh ketatnya sama ada hasutan syaitan atau hawa nafsu hendaklah merenung dan mimikirkan cara-cara dari pintu manakah syaitan masuk ke dalam diri manusia. Antara cara ia masuk ke dalam diri manusia ialah melalui sepuluh pintu dan hendaklah dihindari dengan:

Pertama: Tamak dan buruk sangka. Hadapilah dengan sifat manaruh kepercayaan kepada apa yang ada.
Kedua: Cintakan kehidupan dunia dan panjang angan-angan. Hadapilah dengan perasaan takut terhadap kedatangan maut yang boleh berlaku saban hari.
Ketiga: Cintakan kemewahan. Hadapilah dengan kayakian bahawa kenikmatan itu akan hilang dan balasan buruk pasti menanti.
Keempat: Kagum terhadap diri sendiri (‘ujub). Hadapilah dengan rasa terhutang budi kepada  Allah.
Kelima: Memandang rendah terhadap orang lain dan tidak menghormati mereka. Hadapilah dengan mengenali hak-hak serta menghormati mereka secara wajar.
Keenam: Hasad dengki. Hadapilah dengan sifat berpada (qanaah) dan redha terhadap kerniaan Allah swt kepada makhluk-Nya.
 Ketujuh; Riya’ dan sukakan pujian. Hadapilah dengan sifat keikhlasan.
 Kelapan: (Bakhil) Kedekut. Hadapilah dengan menyedari bahawa apa yang ada pada makhluk akan binasa manakala yang kekal itu berada di sisi Allah swt.

Kesembilan: (Takabbur) membesar diri. Hadapilah dengan rasa tawadhu’ (rendah diri)

Kesepuluh: Tamak Haloba. Hadapilah dengan kepercayaan ganjaran yang disediakan di sisi Allah swt dan tidak tamak terhadap apa yang ada di sisi manusia.




Disunting oleh Luqman bin Mahadi

 
 

No comments:

Post a Comment