Tuesday, 19 January 2016

APABILA LEMBU TERLEPAS………

Di kampung, apabila seekor lembu terlepas, merayau di halaman rumah atau ceroboh kebun sayur,  ramai orang kampung yang sakit hati, geram dan sumpah seranah binatang itu atau dengan tuannya sekali disumpahnya.  Bayangkan jika di pusat bandaraya  seperti Kuala Lumpur,  jika ada lembu terlepas berada di jalan raya,  ramai juga orang yang sakit hati.  Bayangkan waktu tengah puncak pergi atau balik kerja, kenderaan sibuk, lembu berehat di tengah jalan.   Menyumpah semua pemandu kenderaan.   Hendak dilanggar lembu di tengah jalan, nanti orang kata “ siapa yang bodoh, lembu atau orang yang melanggar lembu itu?... Peliknya, tiada pula pemilik lembu yang mengaku dia yang punya lembu itu.     Tetapi apabila hampir Raya Korban, ada pula yang mengaku lembu itu, dia punya.    Pendek kata lembu lebih kebal daripada orang dari segi undang-undang.

Begitu juga,  jika ada lembu terlepas masuk ke kawasan sawah padi atau kebun pisang, ramai yang sakit hati, ramai yang menghunus parang panjang.  Bayangkan anak padi yang tumbuh subur, diragut dengan lahapnya oleh lembu. Bayangkan pokok pisang yang baru berbuah subur diranduk dan dipijak oleh lembu. Pagar yang baru dipasang dirempuh begitu sahaja oleh lembu. Sakit hati!!  Memang tidak ada otak!! . Lembu tidak salah. Yang salah pemiliknya.  Mungkin otaknya sama dengan otak lembu. Ataupun lebih kurang sama.

Lembu terlepas itu, adalah kiasan untuk diri kita sebagai penjawat awam baik pangkat besar atau kecil, kalau  lepas bebas sesuka hati langgar undang-undang atau peraturan jabatan.  Suka makan suap di sana sini. Tidak kira di pejabat, di hotel atau sambil makan angin di luar negara ambil rasuah daripada kontraktor atau peniaga.   Lepas bebas sesuka hati ambil rasuah  tanpa takut kepada undang-undang dan ‘Yang Maha Melihat’.  Lepas bebas keluar pejabat sesuka hati ke Pasar Tani atau salahguna harta pejabat sewenang-wenangnya tanpa kawalan atau pengetahuan  majikan.  Atau majikan dengan anak buah sama-sama berpakat jahat macam ‘lembu terlepas’,  merayau cari makan di kedai mamak langgar peraturan jabatan.

Jika ada penjawat awam yang makan rasuah atau langgar peraturan sesuka hatinya.  Bukan sedikit penjawat awam lain  yang jujur dan amanah akan sakit hati dan meluat.   Bukan sedikit orang awam yang berurusan dengan perasuah itu  sakit hati.  Bayangkan apa jadi dengan penjawat awam itu yang sering kali disumpah seranah oleh orang lain di atas perbuatan jahatnya itu. Nasib tidak baik, penjawat awam itu  ada yang tertangkap oleh pihak berkuasa atau diambil tindakan tatatertib.

Penjawat awam yang perasuah,  tidak peduli atau pekak badak dengan teguran orang bahawa rasuah itu haram, rasuah itu salah di sisi undang-undang.  Walaupun dia pernah dengar ceramah agama atau ceramah rasuah atau setiap bulan dia hadir perhimpunan bulanan jabatan,  kena angkat tangan kanan lafaz ” Ikrar Integriti Perkhidmatan Awam” , dia peduli apa, sekadar ikrar!  Sekadar ceramah!.  Orang bukan tahu, dia kata boleh taubat nanti.  Janji poket penuh, perut kenyang. Orang perasuah ini, kalau ada orang kata dia makan suap macam lembu kenyang, dia marah. Itulah perangai penjawat awam yang rasuah atau melanggar peraturan jabatan,  ibarat seperti  lembu terlepas. Hinanya dia. 


 

Oleh: Mohamad Fauzi Bin Husin





No comments:

Post a Comment