Walau apa pun yang ingin kita jadi, sama ada pemimpin, pengurus, pentadbir, peniaga, ahli politik, pekerja, peladang atau apa pun kita, jadilah seorang yang berintegriti. Orang yang berintegriti akan sentiasa mengamalkan dan menghayati nilai-nilai moral seperti kepercayaan kepada Tuhan, amanah dan jujur.
Integriti berkait dengan akhlak. Ia sesuatu yang sempurna yang mendukung sifat-sifat amanah, jujur, ikhlas, tulus dan telus. Berkelakuan mulia juga merupakan sikap berintegriti.
Kebanyakan kita mengaitkan kelemahan integriti hanya dalam soal rasuah, penipuan, penyelewengan, salah guna kuasa atau yang berkait dengan wang ringgit, walhal integriti merangkumi seluruh urusan kehidupan. Apa juga yang kita lakukan semestinya yang sentiasa mencerminkan integriti.
Seseorang penjawat awam yang menjaga amanah majikannya, tidak menyalahgunakan aset pejabat, tidak membuang masa, datang dan pulang mengikut masa yang ditetapkan, tidak meminta orang lain tolong punchcard disebabkan selalu sampai lewat, adalah contoh elemen integriti yang dituntut dalam kehidupan kita.
Sentiasa menjaga tatasusila, berakhlak dan berkelakuan mulia juga merupakan satu sikap berintegriti.
Integriti suatu sifat murni yang sering dikaitkan dengan kejujuran dan kejituan. Seseorang yang sentiasa menghormati undang-undang, gemar membantu orang lain, tidak rasuah, tidak menyeleweng harta yang diamanahkan, cenderung kepada keadilan dan menghormati hak-hak asasi kemanusian akan menyumbang kepada sahsiah yang berintegriti.
Nilai integriti perlu diamalkan oleh semua peringkat dalam organisasi atau komuniti tanpa mengira kedudukan atau pangkat. jika semua orang di dalam sesebuah organisasi itu berintegriti, maka mudahlah bagi kita membentuk sebuah komuniti nasional yang bersatu padu.
Jika ini dapat dilakukan, dengan sendirinya gejala rasuah, penyelewengan, salah guna kuasa, rompak, cabul, langgar lampu merah atau apa juga yang menjurus kepada salahlaku negatif tidak akan berleluasa. Dalam pentadbiran pula, sistem penyampaian perkhidmatan bertambah cekap, tadbir urus dan etika perniagaan dapat dipertahankan manakala institusi keluarga, komuniti dan kualiti hidup masyarakat akan lebih sejahtera.
Masalahnya, untuk membina sebuah masyarakat yang beretika dan berintegriti dimana warganya mempunyai nilai-nilai keagamaan dan kerohanian yang utuh dan ditunjangi budi perkerti yang mulia bukanlah semudah kata-kata.
Seperti mana sukarnya membanteras rasuah dalam masa singkat, Membina masyarakat berintegriti juga memerlukan kesabaran dan semangat kental dengan setiap individu harus ada kecenderungan untuk menjadikan integriti sebagai cara hidup.
Menerapkan integriti di kalangan orang dewasa pula jauh lebih sukar berbanding memupuk nilai-nilai baik ini kepada kanak-kanak yang belum boleh berfikir. Justeru, membina integriti perlu dilakukan bersama dan berlandaskan asas yang kukuh dimana melibatkan institusi keluarga, komuniti seterusnya masyarakat sivil.
Malah di tengah masyarakat yang semakin rakus dan mementingkan kebendaan, selain usaha yang sentiasa dilakukan Institut Integriti Malaysia melalui Pelan Integriti Nasional, pelbagai institusi lain dan badan-badan bukan kerajaan harus bersama menyumbang tenaga dan idea dalam membantu memantapkan integriti, khususnya di kalangan kepemimpinan politik, pengurus, pentadbir, kakitangan awam dan swasta seterusnya orang ramai.
Mutakhir ini, saban hari kita dihidangkan dengan berita yang mengaitkan skandal koporat, rasuah skala besar, penyelewengan dana, ketirisan bantuan, pecah amanah, penipuan peruntukan dan pembelian malah banyak lagi jenayah moden yang menggambarkan wujudnya ciri-ciri masyarakat maju, tetapi tidak berintegriiti.
Apakah ini petanda elemen integriti di kalangan kita semakin lemah. Orang tidak lagi merasa malu melakukan rasuah. Malah melakukannya secara terbuka. Tidak takut dengan hukuman. Bahkan sesetengahnya merasa bangga jika perlakuan buruknya tidak dapat dibuktikan.
Disesetengah sempadan dan pelabuhan negara. Diesel, petrol, beras, minyak masak, gula dan pelbagai barangan bersubsidi kelihatan sangat mudah keluar dari negara ini angkara wujudnya manusia tidak berintegriti.
Malah seorang Pegawai Pendakwa dari sebuah Jabatan Agama Islam di sebuah negeri tergamak meminta dan menerima rasuah RM5,000 dari seorang anggota polis yang disyaki berkhalwat dengan pasangannya.
Itu sekadar beberapa contoh jenayah yang dilakukan oleh manusia yang tidak berintegriti. Bunyinya seperti tidak ada apa-apa dan tidak memudaratkan, tetapi memberi kesan sangat buruk kepada orang lain, menjejas kesejahteraan hidup, menggugat keselamatan, keharmmonian dan pertumbuhan ekonomi.
Orang yang tidak berintegriti sebenarnya tidak boleh dipercayai. Orang yang tidak berintegriti sentiasa berkemungkinan melanggar peraturan dan undang-undang, mengkhianati amanah, mungkir janji, mementingkan diri sendiri, bersikap kurang ajar, tidak menghormati orang lain dan sebagainya.
Sebab itu integriti penting bagi kita. Ia bukan sekadar persoalan akademik. Ia berkait dengan nilai murni, ketelusan, akauntabiliti, etika dan sebagainya. Ia perlu ada pada setiap orang. Ia patut menjadi amalan hidup. Integriti adalah tunjang penting dalam kehidupan seharian terutamanya dalam melakukan tanggungjawab.
INTEGRITI
adalah melakukan perbuatan yang baik dan betul,
walaupun tiada mata yang memandang.
adalah melakukan perbuatan yang baik dan betul,
walaupun tiada mata yang memandang.
Jadilah orang yang sentiasa berintegriti.
Tidak rugi jadi orang yang berintergriti
Oleh: Muhammad Yusof Bahir
No comments:
Post a Comment