Sesungguhnya matlamat utama Allah SWT mencipta manusia hidup di atas muka bumi ini adalah untuk beribadah kepada-Nya, di samping diberi tanggungjawab dan amanah untuk memakmurkan bumi ini mengikut acuan dan panduan yang telah ditetapkan . Sesungguhnya Allah SWT tidak mendapat apa-apa faedah atau keuntungan daripada apa yang dilakukan oleh manusia melainkan semua amalan tersebut kembali untuk diri mereka sendiri .
Perkara ini Jelas dinyatakan didalam Al-Quran surah al-Zhariyat ayat : 56 - 58
Maksudnya: " dan (ingatlah) aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk menyembah dan beribadah kepadaKu, Aku tidak sekali-sekali menghendaki sebarang rezeki pemberian daripada mereka dan aku tidak menghendaki supaya mereka memberi makan kepadaKu. Sesunggunhya Allah dialah sahaja yang memberi rezeki (kepada sekalian makhluk-nya dan dialah sahaja) yang mempunyai kekuasaan yang tidak terhingga, lagi yang Maha kuat kukuh kekuasaan-Nya . "
Dalam Islam ibadah tidak hanya terbatas kepada sembahyang, berzikir dan bertasbih sahaja, dimana semua pekerjaan baik yang dilakukan oleh manusia dengan hati yang ikhlas dan tidak bercanggah dengan prinsip ajaran Islam, ia adalah satu tuntutan dan dikira sebagai ibadah serta mendapat pahala.
Kerana itu, Islam sangat menitikberatkan unsur kecemerlangan dan kualiti dalam sesuatu pekerjaan. Pekerja yang cemerlang merupakan aset yang bernilai dan membawa imej yang baik kepada sesebuah organisasi . Antara ciri-ciri pekerja yang cemerlang ialah rajin, tekun, berdisiplin, amanah sabar , penyayang, bertanggungjawab, dan sebagainya. Bukanlah dikatakan pekerja yang cemerlang sekiranya melakukan tugas secara sambil lewa, cuai, tidak memberikan perkhidmatan yang memuaskan kepada pelanggan dan sebagainya . Lebih-lebih lagi mereka yang bersikap suka membuang masa, menyalahgunakan kuasa dan kedudukan, tidak menyimpan rahsia, pecah amanah, melakukan rasuah dan sebagainya . Ini semua melambangkan sikap pekerja yang tidak berintegriti dalam menjalankan tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan.
Sesungguhnya agama Islam menggalakkan umatnya supaya bekerja dengan bersungguh-sungguh bagi meningkatkan kesejahteraan kualiti diri, keluarga, masyarakat dan negara . Islam melarang dan memandang rendah kepada orang yang malas bekerja dan hanya bergantung nasib kepada pertolongan orang lain .
Oleh itu, marilah kita sama-sama bermuhasabah diri menilai kerja-kerja yang telah kita lakukan selama ini . Adakah kerja yang kita lakukan itu bertepatan dengan kehendak ajaran Islam dan dikira sebagai amal ibadah serta amal Saleh di sisi Allah s.w.t., Sesungguhnya amat malang dan rugi sekali sekiranya apa yang kita lakukan selama ini tidak mendapat apa-apa balasan dari Allah SWT.
Islam menetapkan bahawa pekerjaan adalah sebahagian daripada ibadah jika selari dengan etika kerja Islam. Etika Kerja Islam itu ialah meletakkan niat bekerja kerana Allah SWT, ikhlas, melaksanakan dengan amanah dan tekun serta tidak mengabaikan ibadah khusus yang lain.
Oleh itu, Islam menggalakkan umatnya bekerja kuat dan mencari kekayaan. Dengan demikian umat Islam berpeluang membayar zakat dan bersedekah bagi tujuan memakmurkan agama Islam serta meringankan penderitaan manusia sejagat. Nabi Muhammad SAW bersabda yang mafhumnya: " Tangan Yang Memberi Lebih Baik Daripada Tangan Yang Menerima ". Dengan demikian kita gunakanlah sepenuhnya organisasi kita samada dalam kerajaan atau swasta sebagai tempat yang mempunyai integriti, mampu memartabat kesucian agama, menjaga kesejahteraan negara dan masyarakat.
Dalam usaha mencari kekayaan itu Islam telah meletakkan garis panduan yang jelas supaya umat Islam tidak terjebak dengan amalan budaya berdosa. Firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 188:
Bermaksud: " Dan janganlah kamu makan harta orang lain di antara kamu dengan jalan yang salah, dan jangan pula kamu menghulurkan harta kamu (memberi rasuah) kepada hakim-hakim kerana hendak memakan (atau mengambil) harta manusia dengan (berbuat) dosa, pada hal kamu mengetahui (salahnya) " .
Ketika mengulas bahaya najis rasuah ini Rasulullah SAW bersabda:
Maksudnya: " Rasulullah SAW telah melaknat pemberi rasuah, penerima rasuah dan orang yang menjadi orang perantaraan " .
(Riwayat Ahmad)
Mereka yang terlibat dalam amalan najis rasuah ini dikutuk Allah SWT dan dihumban ke dalam api neraka. Satu lagi timbul persoalan, apakah mereka yang terlibat dengan najis rasuah ini akan diwarisi pula oleh baka atau keturunan mereka?.
Jabir bin Zaid meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda
Berdasarkan hadith ini, nyata terdapat perkaitan kuat bahawa mereka yang bergelumang dengan najis rasuah ini berkemungkinan besar akan diwarisi pula oleh anak pinak mereka.
Sayugia diingatkan bahawa, mereka yang menolak amalan najis rasuah adalah manusia hebat dan cemerlang kerana:
Pertama : Menjamin kesinambungan nasab atau keturunannya kekal dalam keadaan insan yang beriman dan berintegriti;
Kedua : Meningkatkan martabat dan integriti organisasi serta warga pengurusan;
Ketiga : Meningkatkan keyakinan masyarakat terhadap pemimpin yang berani memerangi najis rasuah; dan
Keempat : Membuktikan bahawa amalan ibadah-ibadah khusus seperti sembahyang, puasa, berzakat dan haji yang diamalkan telah berjaya mencegah dirinya terlibat dengan najis rasuah.
Firman Allah SWT dalam Surah Al-A’Raf ayat 96.
Maksudnya : " Dan sekiranya penduduk negeri itu beriman serta bertaqwa, tentulah kami bukakan kepada mereka keberkatan dari langit dan bumi. Tetapi mereka mendustakan (Rasul Kami), lalu kami timpakan mereka azab seksa disebabkan apa yang mereka telah usahakan " .
Disunting oleh: Ahmad Shahrom Bin Zamri
No comments:
Post a Comment