Tuesday, 19 January 2016

Persepsi Negatif Penghalang Usaha Membanteras Rasuah

Dimana-mana negara pun di dunia ini, menegakkaan kebenaran dan melaksanakan undang-undang khasnya yang berkaitan dengan  jenayah, akan sentiasa berhadapan dengan cabaran dan kesukaran.
 
Bagi pelbagai agensi penguatkuasa yang diberi kuasa menguatkuasakan undang-undang, senarionya adalah sama. Anggotanya bukan sahaja berhadapan dengan pelbagai kesukaran dalam membuktikan berlakunya sesuatu jenayah, bahkan berdepan dengan cercaan, ugutan dan ancaman.
 
Begitu juga halnya dalam menangani jenayah rasuah, selain cercaan dan ketidakyakinan khalayak terhadap kemampuan agensi yang menjalankan tanggungjawab, persepsi negatif menjadi satu lagi musuh kepada misi memerangi jenayah itu.
 
Kecanggihan teknologi dan kepantasan maklumat yang disebarkan melalui pelbagai media, menjadikan perkara yang paling sukar untuk diurus kini ialah persepsi. Apatah lagi yang berkait secara langsung dengan kepentingan awam.
 
Segelintir masyarakat kita amat mudah percaya kepada khabar angin dan fitnah yang disebarkan. Malah cepat  membuat kesimpulan, dengan apa yang didengar sering disalah tafsir dan dianggap sebagai benar yang akhirnya sebati dalam ruang persepsi walau pun tanpa asas yang kukuh.
 
Akhirnya, persepsi berupaya membentuk pemikiran, pegangan dan keputusan terutamanya ketika berhadapan dengan sesuatu krisis. Maka jadilah ia penjajahan minda yang menjadi punca masyarakat sukar mengubah persepsi negatif terhadap sesuatu perkara. Penjajahan minda yang menjadikan masyarakat menerima dan mempercayai apa sahaja cerita yang disogok kepada mereka.
 
Kegilaan memutarbelitkan fakta, mengkritik, membuat kecaman dan sewenang-wenangnya mengeluarkan kenyataan terhadap usaha membanteras rasuah atau jenayah lain oleh mereka yang ingin mengaut keuntungan politik, menjadikan masyarakat mempunyai persepsi pelbagai dan bercelaru mengikut fahaman politik masing-masing.
 
Persepsi negatif sebenarnya merugikan semua pihak. Ia menjadi penghalang kepada usaha membanteras rasuah. Persepsi sedemikian menyebabkan anggota masyarakat lebih suka berdiam diri. Orang ramai akan beranggapan melaporkan kes rasuah hanya sia-sia kerana tidak ada tindakan selanjutnya. Ini menjadikan proses memerangi rasuah menjadi lebih sukar.
 
Walaupun sukar tetapi bukan mustahil untuk dicapai. Persepsi boleh tangani dan diurus dengan baik. Secara berhemah dan sabar. Rakyat akan menerima sekiranya mereka faham dan mengetahui perkara yang sebenar.
 
Hari ini tanda-tanda positif itu sudah mula dirasai. Komitmen kerajaan membanteras rasuah semakin menjadi perhatian umum. Parti-parti politik baik kerajaan mahupun pembangkang, agensi kerajaan, swasta dan pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan mula memperlihatkan kesungguhan untuk bersama memerangi rasuah.
 
Bahkan sudah sampai masanya masyarakat juga berpersepsi baik. Bijak untuk menilai antara yang benar dengan yang palsu, menyelidik setiap fakta yang diberi dan tidak menerima begitu sahaja setiap berita yang diterima, terutamanya dari mereka yang licik memanipulasi sesuatu isu demi kepentingan peribadi.
 
 
Bebaskan minda kita dari penjajahan persepsi negatif dan penipuan. Sebaliknya warga Malaysia tidak kira siapa pun kita perlu bersatu dan bangkit memerangi rasuah. Beri sokongan kuat supaya rasuah boleh dikawal walau pun tidak dapat dihapuskan seratus peratus.
 
Rasuah adalah racun dan barah yang menjejas pembangunan dan kesetabilan negara. Ibu kepada segala jenayah. Rasuah menggalakan aktiviti kongsi gelap, penyelewengan diesel, penipuan bekalan, pengedaran dadah, pelacuran, dan pemerdagangan manusia, kebanjiran pendatang tanpa izin dan seribu macam lagi jenayah yang menyebabkan ketidakselesaan, ketakutan, kebimbangan dan rasa tidak selamat dalam kalangan rakyat.
 
Membanteras rasuah bukan sesuatu yang sukar sekiranya wujud kesungguhan semua pihak terutamanya orang awam, ahli perniagaan, kalangan industri, pertubuhan bukan kerajaan dan ahli politik. Rasuah sifar dapat dicapai sekiranya setiap rakyat Malaysia menolak, membenci dan tidak
 
 
 
Disunting:Mohamad Ridzuan Suhaimi

No comments:

Post a Comment