Monday, 18 January 2016

Kaya Hati 'vs' Kaya Harta

Apabila seseorang Muslim itu dapat memahami dengan mendalam tujuan hidup duniawi, dia dapat melaksanakan etika pencarian dan pemilikan harta mengikut kehendak Islam.  Harta dalam Islam adalah suatu amanah Ilahi.  Harta itu pada hakikatnya adalah milik Allah S.W.T., bukan milik manusia. Manusia hanya pemegang amanah-Nya sahaja. Harta adalah milik Allah S.W.T. dan masyarakat juga mempunyai saham yang besar didalamnya. Justeru itu Islam mewajibkan pencarian rezeki halal dan mengeluarkan zakat sekiranya cukup syaratnya. Harta juga boleh bertukar menjadi suatu “Fitnah ”. Itu sebabnya Al-Quran mengingatkan para penganutnya supaya jangan lalai dalam hidup di dunia ini kerana mengejar harta sehingga lupa kepada Allah S.W.T.   Allah S.W.T. Berfirman (Surah Al-Anfal : 28) bermaksud:

“ Dan ketahuilah bahawa harta dan anak-anakmu hanyalah sebagai ujian dan sesungguhnya di sisi Allah pahala yang besar”.

      Setiap individu Muslim perlu menyedari bahawa rezeki itu sudah ditentukan oleh Allah S.W.T..  Dialah yang memberikan dan menentukan had rezeki manusia sesuai dengan iradah-Nya.  Sebagai hambaNya, kita hanya berusaha atau berikhtiar untuk mendapatkan rezeki dengan sebaik mungkin.  Maka setiap Muslim seharusnya berbaik sangka dan yakin terhadap kemurahan Tuhannya.  Semuanya sudah diaturkan sedemikian rupa oleh Allah S.W.T, janganlah memaksa diri dengan melanggar segala peraturan. Allah S.W.T. berfirman dalam Surah Asy-Syura : 27) bermaksud:

“ Dan apabila Allah melapangkan rezeki kepada hamba-hamba-Nya tentulah mereka melampaui batas di muka bumi tetapi Allah menurunkan apa yang dikekehendaki-Nya dengan ukuran.  Sesungguhnya Allah mengetahui keadaan hamba-hamba-Nya lagi maha Melihat”.

      Ayat tersebut memberi contoh kepada kita bahawa belum tentu harta yang melimpah itu berguna bagi kehidupan, tetapi kadang-kadang sebaliknya.  Realitinya menunjukkan bahawa semakin banyak harta seseorang itu semakin kedekut dan tamakkan harta. Sebenarnya tidak selalu betul persepsi masyarakat yang mengatakan “wang mencerminkan kekayaan”. Buktinya  ramai dalam kalangan orang yang kaya harta benda tetapi masih berkeinginan dan tamak untuk memiliki harta orang lain dengan berbuat salah seperti melakukan penipuan, pecah amanah, rasuah dan sebagainya untuk memperolehi kontrak atau saham. Dia tidak merasa puas dengan apa yang dimilikinya. Hakikat sebenar kekayaan yang dimiliki oleh seseorang ialah orang yang merasa cukup dan puas hati dengan apa yang ada ditangannya, kemudian bersyukur kepada Allah di atas kurnia yang diberikan kepadanya. Rasullah S.A.W. bersabda sebagaimana diriwayatkan oleh Bukhari Muslim bermaksud:

“ Orang kaya bukanlah orang yang banyak hartanya,  akan tetapi hakikat orang kaya adalah  orang yang kaya hatinya”.

 Mengambil berat soal sumber rezeki dituntut oleh syariat. Kita perlu melihatnya secara tersirat. Harta atau rezeki yang diperolehi secara halal akan mempengaruhi segala aspek kehidupan diri dan keluarga kita. Rezeki  yang haram atau tidak halal sama ada cara memperolehi atau cara menfaatkannya akan mempengaruhi kehidupan seseorang itu atau sekiranya harta itu digunakan untuk keperluan makan, pakaian atau tempat tinggal keluarga akan mempengaruhi pembentukan keperibadian ke arah yang buruk atau mendorong kepada kemaksiatan di samping Allah S.W.T tidak menerima amalan seseorang itu sekiranya rezeki yang diperolehi dari sumber haram. Menurut para ulama, perlakuan seseorang anak adalah ditentukan oleh faktor dan peranan ibu bapa, guru-guru, corak pendidikan yang diberikan, persekitaran dan sumber rezeki yang digunakan untuk membesarkannya. Allah S.W.T berfirman dalam Surah Al-Baqarah, Ayat 168 bermaksud;

“ Wahai sekalian manusia, makanlah dari apa yang ada di bumi yang halal lagi baik dan janganlah kamu ikut jejak langkah syaitan kerana sesungguhnya syaitan itu ialah musuh yang terang nyata bagi kamu”

      Rasulullah S.A.W telah menguatkan lagi hakikat bahawa sumber rezeki memberi kesan kepada  iman kita atau perilaku anak-anak yang memakan makanan dari sumber rezeki yang haram. Hadis diriwayatkan oleh At-Tabrani, Rasulullah S.A.W bersabda bermaksud;

“ Sesungguhnya daging yang tumbuh dari perkara yang haram, maka nerakalah yang lebih utama untuknya”

      Sejarah membuktikan hakikat larangan ini telah menjadi ikutan kepada para sahabat Rasullah S.A.W kerana takut sumber rezeki yang haram atau shubhah walaupun sedikit akan memberi kesan besar terhadap ibadat dan dosa yang dipikul nanti. Sayidina Abu Bakar pernah memuntahkan semula susu yang diminumnya apabila mengetahui sumber wang untuk membeli susu itu dari hasil kerja bertenung nasib. Khalifah Umar Ibn Aziz mengorek semula epal sedekah untuk rakyatnya  yang sedang dikunyah oleh anaknya. Allah S.W.T berfirman dalam Surah Al-Mu’min, Ayat 60 bermaksud;

“Dan Tuhanmu berfirman: "Berdoalah kepada-Ku, nescaya akan Kuperkenankan bagimu. Sesungguhnya orang-orang yang menyombongkan diri dari menyembah-Ku akan masuk neraka Jahannam dalam keadaan hina dina”.”

      Apabila kita mengharapkan sesuatu agar mempermudahkan perjalanan hidup kita agar sentiasa di dalam perlindungan Nya dan keredhaanNya, berdoalah dan berusahalah bersungguh-sungguh  tanpa ada rasa putus asa dan  yakinlah dengan janjiNya.   Allah S.W.T berfirman dalam Surah Al-Baqarah, Ayat 186 bermaksud;

“Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu tentang Aku, maka (jawablah), bahawasanya Aku adalah dekat. Aku mengabulkan permohonan orang yang berdoa apabila ia memohon kepada-Ku, maka hendaklah mereka itu memenuhi (segala perintah-Ku) dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku, agar mereka selalu berada dalam kebenaran.”

     Kesimpulannya, kita hendaklah sentiasa mengharapkan kepada Allah S.W.T sahaja, berdoalah dan kepadaNya lah kita berserah sama ada doa kita dimakbul cepat atau lambat itu di dalam pengetahuanNya sahaja. 

 
Disunting Oleh : Mohammad Fauzi Husin

No comments:

Post a Comment