Showing posts with label Integriti. Show all posts
Showing posts with label Integriti. Show all posts

Tuesday, 19 January 2016

Jadilah Orang Yang BERINTEGRITI

Walau apa pun yang ingin kita jadi, sama ada pemimpin, pengurus, pentadbir, peniaga, ahli politik, pekerja, peladang atau apa pun kita, jadilah seorang yang berintegriti. Orang yang berintegriti akan sentiasa mengamalkan dan menghayati nilai-nilai moral seperti kepercayaan kepada Tuhan, amanah dan jujur.

     Integriti berkait dengan akhlak. Ia sesuatu yang sempurna yang mendukung sifat-sifat amanah, jujur, ikhlas, tulus dan telus. Berkelakuan mulia juga merupakan sikap berintegriti.

     Kebanyakan kita mengaitkan kelemahan integriti hanya dalam soal rasuah, penipuan, penyelewengan, salah guna kuasa atau yang berkait dengan wang ringgit, walhal integriti merangkumi seluruh urusan kehidupan. Apa juga yang kita lakukan semestinya yang sentiasa mencerminkan integriti.

     Seseorang penjawat awam yang menjaga amanah majikannya, tidak menyalahgunakan aset pejabat, tidak membuang masa, datang dan pulang mengikut masa yang ditetapkan, tidak meminta orang lain tolong punchcard disebabkan selalu sampai lewat, adalah contoh elemen integriti yang dituntut dalam kehidupan kita.

     Sentiasa menjaga tatasusila, berakhlak dan berkelakuan mulia juga merupakan satu sikap berintegriti.

     Integriti suatu sifat murni yang sering dikaitkan dengan kejujuran dan kejituan. Seseorang yang sentiasa menghormati undang-undang, gemar membantu orang lain, tidak rasuah, tidak menyeleweng harta yang diamanahkan, cenderung kepada keadilan dan menghormati hak-hak asasi kemanusian akan menyumbang kepada sahsiah yang berintegriti.

     Nilai integriti perlu diamalkan oleh semua peringkat dalam organisasi atau komuniti tanpa mengira kedudukan atau pangkat. jika semua orang di dalam sesebuah organisasi itu berintegriti, maka mudahlah bagi kita membentuk sebuah komuniti nasional yang bersatu padu.

     Jika ini dapat dilakukan, dengan sendirinya gejala rasuah, penyelewengan, salah guna kuasa, rompak, cabul, langgar lampu merah atau apa juga yang menjurus kepada salahlaku negatif tidak akan berleluasa. Dalam pentadbiran pula, sistem penyampaian perkhidmatan bertambah cekap, tadbir urus dan etika perniagaan dapat dipertahankan manakala institusi keluarga, komuniti dan kualiti hidup masyarakat akan lebih sejahtera.

     Masalahnya, untuk membina sebuah masyarakat yang beretika dan berintegriti dimana warganya mempunyai nilai-nilai keagamaan dan kerohanian yang utuh dan ditunjangi budi perkerti yang mulia bukanlah semudah kata-kata.

     Seperti mana sukarnya membanteras rasuah dalam masa singkat, Membina masyarakat berintegriti juga memerlukan kesabaran dan semangat kental dengan setiap individu harus ada kecenderungan untuk menjadikan integriti sebagai cara hidup.

     Menerapkan integriti di kalangan orang dewasa pula jauh lebih sukar berbanding memupuk nilai-nilai baik ini kepada kanak-kanak yang belum boleh berfikir. Justeru, membina integriti perlu dilakukan bersama dan berlandaskan asas yang kukuh dimana melibatkan institusi keluarga, komuniti seterusnya masyarakat sivil.

   Malah di tengah masyarakat yang semakin rakus dan mementingkan kebendaan, selain usaha yang sentiasa dilakukan Institut Integriti Malaysia melalui Pelan Integriti Nasional, pelbagai institusi lain dan badan-badan bukan kerajaan harus bersama menyumbang tenaga dan idea dalam membantu memantapkan integriti, khususnya di kalangan kepemimpinan politik, pengurus, pentadbir, kakitangan awam dan swasta seterusnya orang ramai.

     Mutakhir ini, saban hari kita dihidangkan dengan berita yang mengaitkan skandal koporat, rasuah skala besar, penyelewengan dana, ketirisan bantuan, pecah amanah, penipuan peruntukan dan pembelian malah banyak lagi jenayah moden yang menggambarkan wujudnya ciri-ciri masyarakat maju, tetapi tidak berintegriiti.
      Apakah ini petanda elemen integriti di kalangan kita semakin lemah. Orang tidak lagi merasa malu melakukan rasuah. Malah melakukannya secara terbuka. Tidak takut dengan hukuman. Bahkan sesetengahnya merasa bangga jika perlakuan buruknya tidak dapat dibuktikan.
      Disesetengah sempadan dan pelabuhan negara. Diesel, petrol, beras, minyak masak, gula dan pelbagai barangan bersubsidi kelihatan sangat mudah keluar dari negara ini angkara wujudnya manusia tidak berintegriti.
     Malah seorang Pegawai Pendakwa dari sebuah Jabatan Agama Islam di sebuah negeri tergamak meminta dan menerima rasuah RM5,000 dari seorang anggota polis yang disyaki berkhalwat dengan pasangannya.
  Itu sekadar beberapa contoh jenayah yang dilakukan oleh manusia yang tidak berintegriti. Bunyinya seperti tidak ada apa-apa dan tidak memudaratkan, tetapi memberi kesan sangat buruk kepada orang lain, menjejas kesejahteraan hidup, menggugat keselamatan, keharmmonian dan pertumbuhan ekonomi.
    Orang yang tidak berintegriti sebenarnya tidak boleh dipercayai. Orang yang tidak berintegriti sentiasa berkemungkinan melanggar peraturan dan undang-undang, mengkhianati amanah, mungkir janji, mementingkan diri sendiri, bersikap kurang ajar, tidak menghormati orang lain dan sebagainya.
     Sebab itu integriti penting bagi kita. Ia bukan sekadar persoalan akademik. Ia berkait dengan nilai murni, ketelusan, akauntabiliti, etika dan sebagainya. Ia perlu ada pada setiap orang. Ia patut menjadi amalan hidup. Integriti adalah tunjang penting dalam kehidupan seharian terutamanya dalam melakukan tanggungjawab.

 
INTEGRITI 
adalah melakukan perbuatan yang baik dan betul, 
walaupun tiada mata yang memandang.
Jadilah orang yang sentiasa berintegriti.
Tidak rugi jadi orang yang berintergriti



Oleh: Muhammad Yusof Bahir



Monday, 18 January 2016

S.A.R.T. SEBAGAI MEDIUM TINGKATKAN INTEGRITI MOA

PENGENALAN

Sistem Aduan Rasuah Dan Tatakelakuan (S.A.R.T.) Unit Integriti, Kementerian Pertanian Dan Industri Asas Tani  merupakan saluran untuk warga Kementerian/ Agensi  dan orang awam menyalurkan maklumat atau aduan berkaitan perlakuan jenayah rasuah atau pelanggaran tatakelakuan. Walaupun kewujudannya nampak seolah-olah untuk mencari salah atau menimbulkan  masalah kepada mereka yang “bermasalah” .  Sebaliknya kepada warga kerja atau orang awam yang berakhlak dan berintegriti tinggi, ianya adalah medium yang memberi ruang dan peluang kepada mereka untuk membuat aduan atau memberi maklumat menyatakan rasa tidak puashati dengan tatakelakuan segelintir warga kerja yang melanggar peraturan kerja, tatatertib  atau melakukan jenayah rasuah yang boleh menjejaskan imej MOA dan agensinya. Kewujudan S.A.R.T. juga sebagai peringatan atau   amaran kepada mereka yang terlibat dengan tatakelakuan atau rasuah agar tidak mengulangi perbuatan tersebut.


PANDUAN MENYALURKAN ADUAN RASUAH DAN PELANGGARAN TATAKELAKUAN
 
Bagi maksud tersebut, aduan atau maklumat rasuah dan pelanggaran tatakelakuan boleh diklasifikasikan seperti berikut:

Salah laku iaitu apa-apa perbuatan yang melanggar tatakelakuan di bawah Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan Dan Tatatertib) 1993 dan peraturan-peraturan lain yang berkuatkuasa;

Salahguna kuasa iaitu apa-apa ketidakpatuhan kepada peraturan/ Arahan Tetap/ Prosedur semasa menjalankan kuasa di bawah  undang-undang atau peraturan yang berkuatkuasa di bawah Kementerian dan agensi-agensi di bawah kementerian;

Jenayah Rasuah iaitu termasuklah apa-apa kesalahan meminta, menawarkan atau menerima suapan rasuah, kesalahan tuntutan palsu, kesalahan salahguna jawatan atau kedudukan untuk mendapat suapan rasuah  dan lain-lain kesalahan ditetapkan di bawah  Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

BAGAIMANA S.A.R.T. BERFUNGSI

Secara umumnya, S.A.R.T. akan menilai aduan atau maklumat  diterima untuk tindakan selanjutnya iaitu;

Sekiranya aduan atau maklumat berkaitan tatakelakuan melibatkan salah laku dan salahguna kuasa di bawah Peraturan Pegawai Awam (Tatakelakuan Dan Tatatertib) 1993 atau undang-undang atau peraturan berkuatkuasa di kementerian dan agensinya akan diambil tindakan oleh Seksyen Penyiasatan, Unit Integriti.

Sekiranya maklumat itu mencukupi  berkaitan dengan jenayah rasuah akan dirujuk segera kepada SPRM dan

Pengadu atau Pemberi Maklumat akan dimaklumkan status aduan atau maklumat yang disalurkan.

KAEDAH PENYALURAN ADUAN

Sehubungan itu, mana-mana  warga kementerian/agensi dan orang awam boleh menyalurkan aduan atau maklumat rasuah dan pelanggaran tatakelakuan kepada  Unit Integriti  melalui saluran Portal Rasmi www.moa.gov.my dan klik ke Sistem Aduan Rasuah Dan Tatakelakuan (S.A.R.T.).

Walau bagaimanapun saluran aduan  lain juga diterima iaitu;

(a) Menghadirkan diri di pejabat Unit Integriti, Kementerian Pertanian Dan Industri   

 Asas Tani di alamat:

Unit Integriti

Kementerian Pertanian Dan Industri Asas Tani

Aras 4, Blok Podium 1B-4G1

Wisma Tani, Presint 4, 62624 Putrajaya
           
(b)  Menulis surat ke alamat di atas;

(c)  Menghubungi telefon : 03-88701640

(d)  E-Mel: integriti@moa.gov.my

PANDUAN MEMBERI  MAKLUMAT  BERKUALITI

Sila pastikan aduan atau maklumat itu tidak terlalu umum untuk membolehkan pihak Unit Integriti atau SPRM bertindak sewajarnya. 

Kumpulkan maklumat diperolehi dan sampaikan isi penting seperti:

· Bila kejadian berlaku (When)

· Dimana kesalahan dilakukan (Where)

· Siapa yang terlibat dan yang boleh membantu (Who)

· Apa kesalahan yang dilakukan (What)

· Kenapa kesalahan dilakukan (Why)

· Bagaimana transaksi rasuah atau pelanggaran tatakelakuan tersebut dilakukan  sekiranya ada (How)

Sekiranya aduan atau maklumat disalurkan melalui S.A.R.T., maklum balas status aduan atau maklumat akan dimaklumkan.  Unit Integriti tidak dapat bertindak ke atas  maklumat tidak lengkap atau terlalu umum dan tiada maklumat perhubungan untuk mendapatkan maklumat lanjut.

PERLINDUNGAN KEPADA PEMBERI MAKLUMAT

Seksyen 65(1)(2), Akta SPRM 2009 memperuntukan perlindungan kepada pemberi maklumat dan kandungan maklumat tidak boleh didedahkan oleh mana-mana orang termasuk tidak boleh didedahkan atau diperintahkan supaya didedahkan dalam mana-mana prosiding mahkamah, tribunal atau pihak berkuasa lain.

Seksyen 7,8 dan 9, Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 memperuntukkan seseorang pemberi maklumat yang telah mendedahkan perlakuan tidak wajar termasuk rasuah atau salahguna jawatan kepada SPRM atau penguatkuasa lain hendaklah diberi perlindungan maklumat sulit, kekebalan dari tindakan sivil atau jenayah atau tindakan tatatertib dan perlindungan terhadap tindakan memudaratkan.

KEWAJIPAN ANDA MELAPOR RASUAH

Jika anda adalah Pegawai Badan Awam, adalah menjadi kewajipan anda melaporkan pemberian, janji atau tawaran suapan  rasuah oleh mana-mana orang.  Anda bersalah jika tidak melaporkan sogokan rasuah.  Jika disabitkan, anda boleh didenda tidak melebihi RM100,000.00 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya – Sek. 25(1), Akta  SPRM 2009.

Jika anda adalah orang awam,  adalah menjadi kewajipan melaporkan segera  daripadanya suapan rasuah diminta atau diperoleh secepat mungkin.   Anda bersalah jika tidak melaporkan segera suapan  rasuah itu.   Jika disabitkan anda boleh dihukum penjara tidak lebih 2 tahun atau denda tidak lebih RM10,000.00 atau kedua-duanya  - Sek. 25(3) Akta SPRM 2009.





Oleh: Mohamad Fauzi Bin Husin

Jenayah Rasuah Dari Perspektif Undang-Undang

Perkataan rasuah berasal dari bahasa Arab yang bermaksud ‘Al-Risywah’. Ia dikaitkan dengan perkataan ‘batil‘ yang disebutkan dalam Al-Quran, bermaksud perbuatan memperolehi harta dengan cara yang tidak halal seperti mencuri, merompak, rasuah dan menipu. Selain itu, menurut kamus Arab Al-Nihayat (1963:234), rasuah ialah suatu tujuan untuk mencapai matlamat dengan segala cara, asalkan tujuan tersebut tercapai. Ianya mempunyai perkaitan dengan ‘Ar-Rasyi’ [orang yang memberi sesuatu(perasuah)],  ‘Raisy’ [pihak kedua(penerima rasuah)] dan ‘Al-Murtasyi’ (perantara di antara pemberi dan penerima rasuah).

Dalam kamus bahasa Inggeris, Cambridge International Dictionary (1997:308) memberi makna ‘corruption’ iaitu ‘dishonesty using your position or power to your own advantage especially for money’.

Menurut kamus Dewan Bahasa (1984:409), perkataan rasuah bermaksud pemberian untuk menumbuk rusuk iaitu dengan menyogok atau menyuap; wang tumbuk rusuk ialah sogok atau suap dengan wang atau benda berharga. Manakala perkataan ‘suap’ bermaksud wang sogok atau rasuah.

Tokoh ilmuan Islam seperti Syeikh Abdul Aziz (1987:56) mendefinisikan jenayah rasuah sebagai; “Memberi harta kepada seseorang sebagai imbalan atau upah kerana perlaksanaan maslahat iaitu tugas atau kewajipan yang mana tugas itu harus dilaksanakan tanpa menunggu imbalan atau wang komisen”.

Manakala Yusof Al-Qardawi (1991:123) mendefinisikan jenayah rasuah sebagai; “ Sesuatu yang diberikan kepada seseorang yang mempunyai kekuasaan atau jawatan untuk  memenangkan kesnya dengan menewaskan lawan-lawannya sesuai dengan apa yang ia inginkan atau memberikan peluang kepadanya atau menyingkirkan saingannya”.

Pengertian rasuah dari segi undang-undang di Malaysia tidak dinyatakan secara khusus. Perbuatan rasuah merangkumi perspektif yang lebih luas dan tidak hanya memberi makna ‘memberi’ atau ‘menerima’ suapan wang rasuah sahaja. Mengikut undang-undang di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta SPRM 2009 telah mendefinisikan pengertian  ‘suapan’  merangkumi :

a) wang, derma, alang, pinjaman, hadiah, cagaran berharga, harta atau kepentingan mengenai harta, iaitu apa-apa jenis harta, sama ada harta alih atau tidak alih atau apa-apa manfaat seumpama itu yang lain;
b) apa-apa  jawatan, kebesaran, pekerjaan, kontrak, perkhidmatan dan apa-apa perjanjian untuk memberi pekerjaan atau memberikan perkhidmatan atas apa-apa sifat;
c)  apa-apa bayaran, pelepasan, penunaian atau penyelesaian pinjaman, obligasi atau liabiliti lain,
sama ada keseluruhannya atau sebahagian daripadanya;
d) apa-apa balasan berharga, apa-apa diskaun, komisen, rebat, potongan atau peratusan;
e) apa-apa   perbuatan menahan diri  daripada menuntut apa-apa wang atau nilai wang atau benda berharga;
f) apa-apa jenis perkhidmatan atau pertolongan lain seperti perlindungan dari apa-apa penalti atau tindakan mahkamah;
g) apa-apa tawaran, aku janji atau janji, sama ada bersyarat atau tidak mengikut pengertian mana-mana perenggan (a) hingga (f) di atas.
 
 
Di dalam Akta SPRM 2009 turut menjelaskan empat jenis kesalahan utama suapan  rasuah.  Pertamanya ialah suapan rasuah melibatkan kesalahan di bawah Seksyen 16(a)(A) dan 17(a) Akta SPRM 2009 secara umum menjelaskan mengenai mana-mana orang atau ejen secara rasuah meminta atau menerima atau bersetuju menerima suapan rasuah  seperti wang,  barang berharga atau apa-apa perkhidmatan sebagai dorongan atau upah untuk melakukan atau tidak melakukan apa-apa berkaitan dengan transaksi tersebut atau berkaitan urusan rasmi majikan atau prinsipal berkenaan adalah suatu kesalahan.

Contoh kesalahan seperti Pegawai awam meminta atau menerima suapan rasuah dari orang awam berupa wang, tiket kapal terbang atau barang kemas sebagai balasan atau upah meluluskan kontrak pembinaan atau pembekalan peralatan,  mengelak dari disaman atau ditahan.

Manakala keduanya ialah suapan rasuah di bawah Seksyen 16(b)(B) dan 17(b) Akta SPRM 2009 pula secara umumnya menyatakan mana-mana orang atau ejen secara rasuah menawar atau memberi atau bersetuju memberi suapan seperti wang, barang berharga atau apa-apa perkhidmatan sebagai dorongan atau upah untuk melakukan atau tidak melakukan apa-apa berkaitan dengan transaksi tersebut atau berkaitan urusan rasmi majikan atau prinsipal berkenaan adalah melakukan suatu kesalahan. Contohnya pegawai awam menawarkan atau memberi suapan rasuah kepada pengawai penguatkuasa sebagai balasan untuk tidak ditahan atau disaman kerana kesalahan jenayah.

Ketiganya di bawah Seksyen 18, Akta SPRM 2009  yang menjelaskan perbuatan mana-mana orang memberikan kepada ejen atau ejen memberi kepada prinsipal atau majikannya, suatu  dokumen yang diketahuinya mengandungi butir-butir matan yang palsu yang mana prinsipal atau majikannya mempunyai kepentingan dengan  niat hendak memperdayakan/mengelirukan  majikannya adalah melakukan suatu kesalahan. Sebagai contoh, pegawai awam bersubahat dengan kontraktor mengemukakan tuntutan palsu dengan mengesahkan kerja ubahsuai pejabat atau pembekalan peralatan disiapkan atau dibekalkan sepenuhnya sedang bekalan atau kerja belum siap. Pegawai awam terlibat membuat tuntutan palsu elaun perjalanan, kerja lebih masa atau penginapan hotel.

Akhir sekali, suapan rasuah di bawah Seksyen 23, Akta SPRM 2009 menjelaskan mana-mana pegawai badan awam menggunakan jawatan atau kedudukan untuk mendapatkan suapan rasuah dengan membuat apa-apa keputusan atau mengambil tindakan berkaitan dengan apa-apa keputusan atau mengambil tindakan berkaitan dengan apa-apa perkara mengenainya di mana pegawai itu, saudara maranya atau sekutunya ada kepentingan secara langsung atau tidak langsung adalah melakukan kesalahan. Contohnya pegawai awam mempengerusikan atau mengambil bahagian dalam meluluskan kontrak tender, sebutharga atau pembelian peralatan kepada syarikatnya sendiri atau isterinya atau kroninya yang dia ada kepentingan.

Hukuman bagi kesalahan suapan rasuah di bawah Seksyen 16, 17, 18 dan 23 Akta SPRM 2009 ini memperuntukkan hukuman penjara selama tempoh tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali nilai suapan atau RM10,000.00 yang mana lebih tinggi. Harta hasil dari  perbuatan jenayah rasuah boleh dilucuthakkan.

Berdasarkan kepada pelbagai definisi yang diberikan kepada jenayah rasuah, secara umumnya dapatlah dirumuskan bahawa perlakuan jenayah rasuah adalah suatu bentuk penyalahgunaan kuasa atau jawatan yang diamanahkan untuk kepentingan peribadi atau saudaranya atau sekutunya. Jenayah rasuah juga merangkumi kesalahan mengemukakan dokumen atau tuntutan palsu, memberi atau menawarkan suapan rasuah dan menerima atau meminta suapan rasuah sama ada berbentuk wang, hadiah, komisen, diskaun, apa-apa harta atau perkhidmatan sebagai balasan untuk mendapatkan sesuatu di luar saluran yang sah dari segi undang-undang atau moral.



Oleh: Mohamad Fauzi Bin Husin

Sunday, 17 January 2016

Teladan INTEGRITI


Khalifah Umar bin Abdul Aziz : Integriti di Persada Keagungan

Pengajaran serta iktibar yang sering dikaitkan adalah kisah Khalifah Umar bin Abdul Aziz yang bertemu dengan puteranya. Pada suatu malam, tatkala baginda sedang tekun bekerja di biliknya, tiba-tiba seorang puteranya masuk untuk membincangkan sesuatu hal. Baginda bertanya, “urusan kerajaankah? Atau urusan keluarga yang hendak kamu bincangkan?” Jawab anakandanya, “urusan keluarga, ayahanda.”

Tiba-tiba baginda memadamkan lampu yang terletak di mejanya yang digunakan untuk menerangi bilik kerjanya itu. Puteranya merasa hairan melihat sikap ayahnya itu seraya bertanya: “Kenapa ayah padamkan lampu itu?”

Maka jawab ayahnya: “Benar kata kau wahai anakku, tetapi kau harus ingat lampu yang sedang ayah gunakan untuk bekerja ini kepunyaan kerajaan. Minyak yang digunakan itu dibeli dengan menggunakan wang kerajaan, sedang perkara yang hendak anakanda perbincangkan dengan ayahanda adalah perkara keluarga.” Lantas baginda meminta pembantunya membawa lampu lampu dari bilik dalam.

Kemudian baginda pun berkata kepada puteranya: “Sekarang lampu yang baru kita nyalakan ini adalah kepunyaan keluarga kita, minyak pun kita beli dengan wang kita sendiri. Sila kemukakan apa masalah yang anakanda perbincangkan dengan ayahanda.”

Demikianlah besarnya sifat amanah dari seorang pemimpin berkaliber selaku seorang raja yang berjiwa besar.





 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
Disunting : Norlihana Mohammad Husaini




Apa Itu Integriti?

APA ITU INTEGRITI?

Sering kali kita mendengar orang menyebut integriti dan boleh dikatakan saban hari juga ungkapan ini terbit dari bibir si penutur atau paling tidak, kita akan menemuinya ketika sedang membaca surat khabar, majalah, buku dan bahan bacaan ilmiah lain.  Malah di mana-mana sahaja sering dibualkan tentang kurangnya integriti dalam kalangan orang ramai, pekerja di sektor awam, swasta atau dalam kalangan ahli politik.

Apakah yang dimaksudkan atau boleh difahami dengan integriti?. Apakah istilah ini mencerminkan sifat atau berkait rapat dengan keperibadian seseorang?. Mengikut kamus dwibahasa Dewan Bahasa Dan Pustaka (DBP) 1985 ialah “kejujuran dan ketulusan”, kesempurnaan, ‘keutuhan’. Ini bermaksud integriti adalah sifat “jati diri” yang merangkumi  juga keikhlasan, keterbukaan, ketelusan, amanah, benar, berpegang  kepada prinsip, tidak mudah dipengaruhi, boleh dipercayai, boleh pegang cakapnya dan lain-lain.

Secara ringkasnya, integriti ada dua bahagian iaitu integriti individu dan integriti  organisasi. Integriti individu  merujuk kepada himpunan kualiti unggul yang wujud dalam kalangan individu dan kualiti ini berteraskan kepada prinsip berpegang teguh kepada kejujuran dan amalan bermoral tinggi. Ini bermakna, integriti ialah keselarasan di antara tindakan dengan prinsip moral, etika dan undang-undang serta keselarasan di antara kepentingan diri dengan kepentingan umum.

Integriti organisasi pula tercermin dalam perumusan dan perlaksanaan kod etika, piagam pelanggan atau sistem dan proses kerja serta pematuhan kepada amalan terbaik. Kod etika berkenaan ditegaskan, diulangi dan dihayati oleh anggota organisasi berkenaan sehingga menjadi kebiasaan dan akhirnya menjadi budaya organisasi (corporate culture).

Mengapa integriti ini sukar dicapai? Bagaimanakah pula seseorang dikatakan berintegriti dan tidak berintegriti?. Perlukah integriti dicari atau membiarkannya datang bergolek sendiri dan bagaimana ia meresap ke dalam diri serta membentuk sifat jati diri yang teguh?. Lazimnya kita mudah membuat pengukuran mengenai tahap integriti seseorang berdasarkan perwatakan dan apa yang dilakukannya sama ada bersifat baik yang menyenangkan atau buruk lagi menjengkelkan.

Di kesempatan yang terhad ini, saya ingin kongsikan bersama isu-isu mengapa integriti sukar dicapai malah masalah tiada integriti masih menjadi masalah utama kepada penjawat awam di negara ini.  Kita sering mendengar bagaimana segelintir penjawat awam meminta atau  menerima rasuah untuk memudahkan sesuatu proses yang melibatkan kepentingan umum. Rasuah untuk mendapatkan tender atau sebut harga, rasuah untuk memotong giliran, rasuah untuk mengelak dari dikenakan hukuman dan macam-macam lagi. Pada satu tahap amalan tidak berintegriti seperti memberi dan menerima rasuah ini, seakan-akan sudah menjadi sebahagian dari budaya yang diamalkan oleh sebilangan ahli masyarakat.

Sebenarnya, isu integriti bukan sahaja masalah rasuah sebaliknya tatakelakuan melibatkan isu-isu  nilai, etika dan pegangan agama seseorang.  Kita tidak perlu melihat terlalu jauh atau besar tentang masalah lemahnya integriti. Tidak perlu untuk kita bincang bagaimana rasuah telah menjadi barah kepada si polan itu atau si polan ini atau di jabatan tertentu. Sebelum kita membincangkan tentang masalah integriti dalam kalangan orang lain, elok kita halusi diri kita sendiri.

Dalam tempoh waktu pejabat, berapa jam kita gunakan untuk urusan peribadi seperti bersembang di kantin, di pejabat atau keluar pejabat untuk urusan peribadi seperti ke bank, pasar tani, menggunakan telefon pejabat untuk urusan peribadi, membawa balik kertas atau pen pejabat, mengambil anak dari tadika dan pelbagai lagi. Ada ketikanya sewaktu di pejabat pula hampir setiap hari kita leka dengan urusan peribadi seperti bersembang di kantin, di pejabat atau keluar pejabat untuk urusan peribadi seperti ke bank, pasar tani, menggunakan telefon pejabat untuk urusan peribadi, membawa balik kertas atau pen pejabat, mengambil anak dari tadika dan pelbagai lagi. Ada ketikanya sewaktu di pejabat pula hampir setiap hari kita leka dengan telefon bimbit ditangan dengan WhatsApp atau layari internet dalam waktu pejabat.  Seolah-olah duduk di atas kerusi sedang buat kerja tetapi sebaliknya buat kerja peribadi yang melalaikan. Lebih ketara jika ketua pejabat bercuti atau ada tugasan di luar. Malah kita cukup berkira atau merunggut jika ketua mengarahkan kerja perlu disiapkan segera atau kerja lebih masa selepas tamat waktu bertugas, walaupun sekadar lebih 30 minit atau sejam sahaja. Ada ketikanya kita membuat kerja secara sambil lewa, cincai, kerja sepatutnya disiapkan pada hari sama, kita tangguh dan sambung keesokan harinya.

Begitu juga dengan gelagat segelintir ketua jabatan atau pegawai kanan yang tidak kurang hebatnya dengan alasan bertugas rasmi di luar tetapi urusan peribadi,  tidak menyelia tugas pegawai bawahan atau bersikap lepas tangan, tidak mengambil tindakan tegas ke atas pegawai bermasalah, salahguna kemudahan pejabat dan kenderaan jabatan, mengambil kesempatan mengarahkan pegawai bawahan untuk urusan peribadi dan sebagainya.

 Walau bagaimanapun, sekiranya beliau seorang Muslim, ia tidak dapat lari daripada penghayatan dan ketaatan kepada ajaran islam. Kepatuhan demikian menjadikannya seorang insan yang beriman dan bertakwa kepada Allah S.W.T dan RasulNya serta sentiasa bersyukur dan berhati-hati di dalam sebarang tindak-tanduk. Keimanan dan ketakwaan di dalam diri menjadi benteng dan jati diri yang kukuh daripada melakukan sesuatu perkara yang bertentangan dengan integriti. Hatta bagi mereka yang bukan Muslim sekalipun, setiap agama dianuti tidak pernah membenarkan penganutnya melakukan perkara yang bertentangan dengan norma-norma kehidupan atau di luar peradaban manusia.

Tidak keterlaluan mengatakan bahawa integriti sebenarnya boleh dicari malah dicapai melalui  ketinggian integriti seseorang seiring dengan keimanan di jiwa menjadi tonik paling mujarab bagi membentengi kita daripada terjebak dengan perkara-perkara yang merugikan diri sendiri, agama, organisasi dan negara. Marilah kita sama-sama menanamkan azam dan sematkan tekad untuk menjadi manusia yang hanya ingin menegakkan kebaikan dan mencegah kemungkaran di muka bumi Allah SWT ini kerana itulah antara kewajipan kita sebagai hamba-Nya.


Disunting : Mohamad Fauzi Husin