Monday, 18 January 2016

Mendidik Jiwa: Biar Rezeki Sedikit Tapi Halal

Sekiranya ditakdirkan kita memperolehi perkerjaan yang tidak sebaik kita harapkan atau berjawatan lebih rendah dari kelulusan yang ada atau kerja sudah bertahun-tahun lamanya tetapi tidak naik pangkat; namun kita perlu terus berusaha sedaya mungkin untuk meningkatkan kerjaya kita, tambahkan usaha agar rezeki yang sedikit itu akan bertambah secara bertahap-tahap walaupun memakan masa panjang. Biar sedikit tetapi halal dan diberkati Allah SWT itulah lebih baik daripada banyak tetapi rezeki haram dan mudarat. Justeru itu, pada usia yang muda atau baru memasuki alam perkerjaan kita perlu mendidik jiwa kita agar membiasakan diri dengan wang yang sedikit dan dari sumber yang halal. Apabila sudah memegang jawatan yang lebih tinggi nanti atau sudah  berkeluarga dan mempunyai tanggungan ramai kita akan terbiasa dengan nilai-nilai amanah, berintegriti tinggi dan ihsan terhadap orang lain.

Kita perlu ingat bahawa nilai-nilai kebaikan dan berintegriti tinggi dalam diri bukan satu kebetulan tetapi suatu kebiasaan atau amalan yang dihasilkan dari apa yang dipraktik sebelum ini.  Begitu juga dengan amalan jahat atau perangai buruk seperti suka mengambil rasuah, mencuri atau pecah amanah bukan kerana keterlanjuran tetapi satu kebiasaan yang telah lama berakar umbi.  Majikan yang beriman akan sentiasa mengingatkan pekerjanya agar berkerja bersungguh-sungguh bukan sahaja untuk mendapat gaji setiap bulan tetapi untuk mendapatkan keredhaan Allah SWT di atas rezeki yang diterima.

Oleh itu, dalam konteks pencarian rezeki yang halal, konsep membudayakan “Roh Qanaah” iaitu sentiasa puas dengan rezeki halal yang diperolehi walaupun sedikit atau sekadar cukup makan perlu ditanamkan dalam jiwa setiap muslim.

Hadis riwayat Ibn Majah, Rasullulah SAW bersabda;

Wahai manusia, bertakwalah kepada Allah dan perbaiki dalam mencari harta dunia. Sesungguhnya manusia tidak akan puas sebelum rezekinya dipenuhi, walaupun rezeki itu terlambat datangnya. Takutilah kepada Allah dan perbaiki cara mencari rezeki. Ambillah rezeki yang halal menurut syariat dan tinggalkan yang haram”




Bagaimanapun, kehidupan di dunia ini adalah sementara sahaja.  Yang abadi itu adalah kehidupan Akhirat. Kita seharusnya memahami bahawa manusia hendaklah berlaku adil ke atas dirinya dalam kehidupan duniawi. Jika tidak, kehidupan duniawi pasti bertukar menjadi fitnah dan penipuan yang merugikan manusia sendiri. Imam Abu Nu`aim meriwayatkan daripada Sayyidina Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah SAW  bersabda bermaksud;

“Sesiapa yang mencari rezeki halal di dunia untuk menghindarkan dirinya dari mengemis (meminta-minta), untuk mencukupkan keperluan keluarganya dan untuk berbuat baik terhadap jirannya, Allah akan membangkitkannya di hari kiamat dengan wajah seperti bulan purnama. Sesiapa yang mencari rezeki halal di dunia untuk membanyakkan harta semata-mata, untuk berbangga-bangga dan untuk menunjuk-nunjuk (riya`), dia akan menemui Allah di hari Kiamat dalam keadaan Dia murka kepadanya”
Berdasaskan hadis tersebut dapatlah dirumuskan bahawa walaupun kita mengumpul kekayaan harta dari rezeki yang halal sekadar niat memperbanyakkan harta tanpa untuk kemaslahatan umum seperti berzakat, bersedekah atau infak pun Allah SWT murka, apatah lagi sekiranya kita mengumpulkan harta dari sumber rezeki yang haram. Oleh itu, sentiasalah  perbaiki niat kita, agar segala usaha dan titik peluh kita diberkati dan diredhai Allah SWT. Carilah rezeki yang halal dengan niat kerana Allah SWT semata-mata.

Konsep pematuhan syariat berasaskan keimanan kepada Allah SWT  dapat mendidik jiwa kita agar memastikan sumber rezeki diterima dari sumber halal walaupun sedikit. Orang yang beriman akan memandang serius perbuatan rasuah, curi tulang, curi masa, curi harta pejabat atau syarikat walaupun sekecil pensil atau sekeping kertas dan pelbagai lagi mencuri semasa menjalankan kerja samada di sektor awam atau swasta. Orang beriman tidak akan melakukan kerja peribadi  seperti MLM (multi level marketing) dalam waktu pejabat. Seorang pengarah jabatan kerajaan yang beriman kepada Allah SWT tidak akan menerima suapan rasuah daripada kontraktor yang berurusan dengannya untuk mendapatkan projek, seorang anggota penguatkuasa undang-undang yang beriman kepada Allah SWT tidak akan menerima rasuah dari tauke judi, penyeludup atau pengedar dadah semata-mata untuk tidak mengambil tindakan undang-undang kerana terlibat dengan kegiatan haram. Begitu juga jika dia seorang jurutera yang beriman dan berpegang teguh kepada syariat yang berkerja menggunakan ilmu dan kepakarannya menyelia pembinaan bangunan awam dan tidak bersekongkol untuk melakukan perbuatan rasuah , penipuan, curi bahan binaan dan pelbagai macam kemungkaran lain. Pada akhirnya bangunan itu dapat disiapkan dengan jayanya, beliau bukan sahaja mendapat gaji yang halal tetapi ganjaran pahala di sisi Allah SWT di atas perkerjaannya itu.

Sebagai hamba Allah SWT, sama-samalah kita  sentiasa berdoa dan bertawakal  serta bersangka baik kepadaNya. Kita hendaklah sentiasa berdoa agar setiap pekerjaan dan rezeki yang kita terima hasil pekerjaan walaupun sedikit, kita sentiasa di berkati Allah SWT dan sentiasa memohon kepada Allah SWT agar kita diberi kekuatan dan hidayah agar dijauhi dari sumber rezeki haram dan subahat

Oleh:  Mohamad Fauzi Bin Husin

No comments:

Post a Comment