Showing posts with label Luqman Mahadi. Show all posts
Showing posts with label Luqman Mahadi. Show all posts

Monday, 18 January 2016

JENAYAH RASUAH DARI SUDUT ISLAM

Apabila kita becakap mengenai rasuah, sudah tentulah kita mengetahui dan memahami bahawa ia merupakan satu perbuatan jenayah yang salah, kotor, hina dan jijik. Bagi orang Islam yang mengaku beriman kepada Allah dan Rasulnya sudah pasti meyakini bahawa perbuatan ini merupakan satu dosa. Perkataan rasuah tidak di sebut secara langsung dalam al-Quran, akan tetapi Allah s.w.t menerangkan kepada kita mengenai dosa amalan memakan harta orang lain secara batil (salah) menerusi firman-Nya dalam Surah Al-Baqarah ayat 188 yang bermaksud :

 “Dan janganlah sebahagian dari kamu memakan harta sebahagian yang lain di antara kamu dengan jalan yang batil dan janganlah kamu menghulurkan harta kamu (memberi rasuah) kepada hakim-hakim kerana hendak (mengambil) sebahagian dari harta orang lain itu dengan jalan berbuat dosa, padahal kamu mengetahui (salahnya).    


Perkataan ‘memakan harta’ bermaksud mendapatkan harta dengan menyalahgunakan kuasa dan kedudukan untuk mendapatkan keuntungan dengan melakukan perbuatan rasuah, menipu, merompak, memeras ugut dan sebagainya. Dalam ayat tersebut juga melarang kita memberi wang atau sogokan kepada penguasa atau pegawai  supaya tidak menjatuhkan hukuman atas kesalahan yang dilakukan atau hukuman tersebut mendatangkan keuntungan kepada pesalah.


Dari sudut as-Sunnah pula, terdapat beberapa hadith Nabi yang berkaitan dengan jenayah rasuah ini. Antaranya ialah hadith yang diriwayatkan oleh Ibn Ahmad, Rasulullah s.a.w bersabda:


“ Allah melaknat orang yang memberi dan menerima rasuah serta orang yang memberi jalan terhadap kedua-duanya (perantara)”.


Manakala di dalam hadith yang diriwayatkan oleh Ibn Mas’ud, Rasulullah s.a.w bersabda:

“ rasuah dalam pentadbiran adalah kufur, rasuah dalam kalangan manusia adalah haram”.


Berdasarkan dalil daripada al-Quran dan hadith tersebut jelaslah bahawa rasuah bukan sahaja perbuatan jenayah malah merupakan satu dosa. Allah s.w.t mengharamkan perbuatan rasuah kerana ia menjadi penyebab kezaliman kepada masyarakat, orang yang tidak bersalah dihukum bersalah, menghapuskan peluang kepada mereka yang layak melakukan sesuatu tugas atau pekerjaan, berleluasanya amalan penipuan dan juga sebagai permulaan kepada perbuatan jenayah lain yang lebih dasyat.

Dalam konteks sebagai penjawat awam, secara umumnya dapatlah dirumuskan bahawa pelakuan jenayah rasuah adalah satu bentuk penyalahgunaan kuasa atau jawatan yang diamanahkan untuk kepentingan peribadi atau saudaranya atau sekutunya. Jenayah rasuah juga merangkumi kesalahan mengemukakan tuntutan palsu, memberi atau menerima suapan rasuah sama ada berbentuk wang, hadiah, komisen, diskaun, apa-apa harta atau perkhidmatan sebagai balasan untuk mendapatkan sesuatu di luar saluran yang sah dari segi undang-undang dan moral. Semua kesalahan yang dinyatakan ini adalah haram dan berdosa.

Mereka yang terlibat dengan perbuatan rasuah ini selain daripada mendapat laknat Allah, juga akan menerima azab yang pedih di akhirat kelak sebagaimana disebutkan dalam hadith yang diriwayatkan oleh At-Tabrani dari Ibnu Umar, Rasulullah s.a.w bersabda :


 “Pemberi rasuah dan penerima rasuah akan masuk kedalam neraka”.


 
Oleh kerana perbuatan rasuah ini haram dan berdosa besar, maka wajib taubat nasuha dengan segera sama ada pemberi, penerima mahupun sesiapa sahaja yang berkaitan dalam interaksi rasuah tersebut. Jika sampai melibatkan individu tertentu yang teraniaya, tidak memadai hanya dengan taubat nasuha sahaja tanpa memohon kemaafan atau membayar gantirugi kepada mereka seperti orang yang mencuri yang mana tidak memadai hanya memohon ampun atas kesalahan yang dilakukan tanpa memulangkan kembali barang yang dicuri tersebut. Perlu diingat bahawa hasil dari rasuah tidak akan mendapat keberkatan dan setiap daging yang tumbuh dari sumber yang haram maka nerakalah yang layak untuknya.
Adalah jelas menunjukkan betapa Islam melarang keras perbuatan rasuah.  Perbuatan rasuah bukan sahaja bertentangan dengan ajaran Islam serta nilai-nilai dan tatasusila murni kemanusiaan, tetapi juga boleh menjejaskan imej negara dan integriti Perkhidmatan Awam.
 
 



Disunting:Luqman Bin Mahadi



Sunday, 17 January 2016

Ramadhan—Bulan Tarbiyyah Diri


Ramadhan adalah bulan yang paling istimewa dalam kalendar Islam. Pada bulan ini umat Islam diwajibkan berpuasa. Objektif pengsyariatan puasa adalah untuk melahirkan hamba Allah yang bertaqwa. Firman Allah s.w.t:


“Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang yang terdahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa”.(Al-Baqarah:183)

Memasuki fasa Ramadhan dengan penuh keinsafan mampu melahirkan manusia terbaik, manusia unggul dan berkualiti. Ramadhan boleh dikatakan sebagai bulan ‘recharge’ semula semangat jihad. Di tengah kesibukan manusia dengan dunia, Ramadhan merupakan anugerah Ilahi yang harus kita dapatkan, sehingga kita keluar dari bulan Ramadhan ini benar-benar menjadi manusia terbaik.


Puasa bukan sahaja bulan untuk kita hanya menahan makan dan minum pada siang hari, tetapi ianya lebih dari itu. Puasa adalah perisai yang ampuh untuk menghadapi serangan-serangan yang mendatang.

Serangan nafsu shahwat yang menggila, cintakan pangkat, harta dan kedudukan, panjang angan-angan dan tamak haloba, semuanya akan dapat dikawal jika amalan puasa dibuat mengikut peraturan yang telah ditetapkan oleh Allah s.w.t. Dalam suasana kehidupan masyarakat kita yang masih amat jauh dari nilai-nilai Islam, peranan puasa Ramadhan menjadi sesuatu yang amat mendasar dalam membentengi jiwa umat dalam menghadapi godaan-godaan syaitan yang tiada henti sehinggalah hari kiamat.


Tarbiah dalam bulan Ramadhan

Bulan Ramadhan selalu disebut sebagai “madrasah Ramadhan”. Madrasah ialah tempat seorang murid mendapat didikan dan tarbiyyah. Di sini murid akan belajar ilmu, peradaban, menyemai akhlak-akhlak mahmudah dan lain-lain pelajaran. Madrasah Ramadhan adalah satu institusi tarbiyyah yang direncanakan oleh Allah s.w.t. kepada hamba-Nya. Sebab itu amat rugi dan tercela jika seseorang memasuki Ramadhan kemudian keluar daripada Ramadhan dalam keadaan noda dan dosa belum terampun bahkan semakin bertimbun. Orang ini gagal dalam madrasah Ramadhan.


Antara didikan dan tarbiyyah daripada Ramadhan ialah puasa mendidik manusia supaya pandai menjaga diri. Keistimewaan ibadat puasa ialah ianya sangat berkait dengan keimanan seseorang. Seseorang boleh saja mengaku dirinya sedang berpuasa, walaupun sebenarnya tidak. Puasa mendidik kita agar kita menumpukan kehidupan akhirat lebih daripada kehidupan dunia. Sebab itu seseorang yang betul-betul berpuasa rela meninggalkan nikmat dunia yang sementara untuk merebut balasan di akhirat. Jiwa yang terdidik dengan iman akan mendambakan kehidupan akhirat.



 
Bulan muhasabah diri
Tarbiyyah Islamiyah bukan sekadar membentuk seseorang itu menjadi mukmin untuk dirinya, beramal dan bertaqwa seorang diri sahaja. Bahkan ia bertujuan melahirkan mukmin yang sedia berkhidmat, memberi sumbangan kepada Islam dan berjihad pada jalan Allah s.w.t. Ada banyak nilai tarbiyyah Ramadhan yang akan kita peroleh, khususnya dari ibadah puasa. Pemahaman tentang masalah ini perlu kita ingat dan segarkan kembali agar ibadah puasa Ramadhan pada tahun ini boleh kita manfaatkannya secara optimum.
Ramadhan dianggap sebagai bulan yang terbaik untuk muhasabah diri khususnya dari segi akhlak dan tingkah laku. Sebagai contohnya, jika kita seorang penjawat awam, sudah tentulah bulan Ramadhan menjadi bulan yang tepat untuk kita meningkatkan integriti. Amalan dan perbuatan yang merupakan kesalahan yang pernah dilakukan seperti ponteng kerja, menggunakan peralatan pejabat untuk kepentingan peribadi, menyuruh rakan mengetik kad perakam waktu dan banyak lagi kesalahan yang mana bukan sahaja salah di sisi undang-undang malah akan mengundang dosa. Apatah lagi kesalahan yang besar seperti rasuah, palsu dokumen, menyalahgunakan kuasa dan sebagainya yang terang-terang berdosa. Oleh itu, sewajarnya diinsafi jika perbuatan ini pernah dilakukan dan hendaklah menyemai dalam diri supaya amalan ini tidak sekali-kali akan dilakukan. Jika kita boleh meninggalkan makan dan minum pada siang hari kerana perintah Allah, maka begitulah juga kita hendaklah meninggalkan dosa ini bukan sahaja pada siang hari, tetapi malamnya bahkan sampai bila-bila pun dosa hendaklah ditinggalkan dan dijauhi kerana ianya juga merupakan perintah Allah.

Hikmah ujian integriti ini akan mendidik kita supaya ikhlas dalam mengerjakan ibadah ini tanpa pengawasan oleh individu yang lain dan tanpa perlu ada orang lain untuk menyempurnakan ibadah puasa kerana individu muslim yang taat akan berpuasa kerana Allah S.W.T. Ini adalah satu didikan rohani selama 30 hari dalam setahun untuk membentuk jiwa yang ikhlas dan hati yang telus. Didikan ini dapat menjadikan individu muslim ini beretika dalam urusan duniawi. Andainya dia boleh melakukan ibadah puasa dengan ada sebarang pengawasan, sudah pasti dia juga boleh melakukan tugasan lain dalam tahap yang sama. Dan jika ini dapat dicapai, insya-Allah semoga kita tergolong dalam orang yang bertakwa pada Allah S.W.T.
Dengan demikian jika kita gagal mengambil kesempatan untuk membuat perubahan dan transformasi akhlak dalam bulan yang mulia ini, maka puasa yang diamalkan silih berganti pada setiap tahun tidak memberi apa-apa kesan kepada diri sendiri, keluarga, masyarakat bahkan Negara. Kita juga adalah insan yang rugi jika hanya bertungkus lumus berjuang pada bulan bulan Ramadhan sahaja akan tetapi kembali semula kepada tabiat lama ababila tamatnya Ramadhan. Oleh itu, marilah kita menjadikan bulan Ramadhan sebagai platform untuk kita meningkatkan ketaqwaan sebagai hamba Allah untuk kesejahteraan hidup di dunia dan akhirat.
Disunting : Luqman Mahadi