Ramadhan adalah bulan yang paling istimewa dalam kalendar Islam. Pada bulan ini umat Islam diwajibkan berpuasa. Objektif pengsyariatan puasa adalah untuk melahirkan hamba Allah yang bertaqwa. Firman Allah s.w.t:
“Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang yang terdahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa”.(Al-Baqarah:183)
Memasuki fasa Ramadhan dengan penuh keinsafan mampu melahirkan manusia terbaik, manusia unggul dan berkualiti. Ramadhan boleh dikatakan sebagai bulan ‘recharge’ semula semangat jihad. Di tengah kesibukan manusia dengan dunia, Ramadhan merupakan anugerah Ilahi yang harus kita dapatkan, sehingga kita keluar dari bulan Ramadhan ini benar-benar menjadi manusia terbaik.
Puasa bukan sahaja bulan untuk kita hanya menahan makan dan minum pada siang hari, tetapi ianya lebih dari itu. Puasa adalah perisai yang ampuh untuk menghadapi serangan-serangan yang mendatang.
Serangan nafsu shahwat yang menggila, cintakan pangkat, harta dan kedudukan, panjang angan-angan dan tamak haloba, semuanya akan dapat dikawal jika amalan puasa dibuat mengikut peraturan yang telah ditetapkan oleh Allah s.w.t. Dalam suasana kehidupan masyarakat kita yang masih amat jauh dari nilai-nilai Islam, peranan puasa Ramadhan menjadi sesuatu yang amat mendasar dalam membentengi jiwa umat dalam menghadapi godaan-godaan syaitan yang tiada henti sehinggalah hari kiamat.
Tarbiah dalam bulan Ramadhan
Bulan Ramadhan selalu disebut sebagai “madrasah Ramadhan”. Madrasah ialah tempat seorang murid mendapat didikan dan tarbiyyah. Di sini murid akan belajar ilmu, peradaban, menyemai akhlak-akhlak mahmudah dan lain-lain pelajaran. Madrasah Ramadhan adalah satu institusi tarbiyyah yang direncanakan oleh Allah s.w.t. kepada hamba-Nya. Sebab itu amat rugi dan tercela jika seseorang memasuki Ramadhan kemudian keluar daripada Ramadhan dalam keadaan noda dan dosa belum terampun bahkan semakin bertimbun. Orang ini gagal dalam madrasah Ramadhan.
Antara didikan dan tarbiyyah daripada Ramadhan ialah puasa mendidik manusia supaya pandai menjaga diri. Keistimewaan ibadat puasa ialah ianya sangat berkait dengan keimanan seseorang. Seseorang boleh saja mengaku dirinya sedang berpuasa, walaupun sebenarnya tidak. Puasa mendidik kita agar kita menumpukan kehidupan akhirat lebih daripada kehidupan dunia. Sebab itu seseorang yang betul-betul berpuasa rela meninggalkan nikmat dunia yang sementara untuk merebut balasan di akhirat. Jiwa yang terdidik dengan iman akan mendambakan kehidupan akhirat.
Bulan muhasabah diri
Tarbiyyah Islamiyah bukan sekadar membentuk seseorang itu menjadi mukmin untuk dirinya, beramal dan bertaqwa seorang diri sahaja. Bahkan ia bertujuan melahirkan mukmin yang sedia berkhidmat, memberi sumbangan kepada Islam dan berjihad pada jalan Allah s.w.t. Ada banyak nilai tarbiyyah Ramadhan yang akan kita peroleh, khususnya dari ibadah puasa. Pemahaman tentang masalah ini perlu kita ingat dan segarkan kembali agar ibadah puasa Ramadhan pada tahun ini boleh kita manfaatkannya secara optimum.
Ramadhan dianggap sebagai bulan yang terbaik untuk muhasabah diri khususnya dari segi akhlak dan tingkah laku. Sebagai contohnya, jika kita seorang penjawat awam, sudah tentulah bulan Ramadhan menjadi bulan yang tepat untuk kita meningkatkan integriti. Amalan dan perbuatan yang merupakan kesalahan yang pernah dilakukan seperti ponteng kerja, menggunakan peralatan pejabat untuk kepentingan peribadi, menyuruh rakan mengetik kad perakam waktu dan banyak lagi kesalahan yang mana bukan sahaja salah di sisi undang-undang malah akan mengundang dosa. Apatah lagi kesalahan yang besar seperti rasuah, palsu dokumen, menyalahgunakan kuasa dan sebagainya yang terang-terang berdosa. Oleh itu, sewajarnya diinsafi jika perbuatan ini pernah dilakukan dan hendaklah menyemai dalam diri supaya amalan ini tidak sekali-kali akan dilakukan. Jika kita boleh meninggalkan makan dan minum pada siang hari kerana perintah Allah, maka begitulah juga kita hendaklah meninggalkan dosa ini bukan sahaja pada siang hari, tetapi malamnya bahkan sampai bila-bila pun dosa hendaklah ditinggalkan dan dijauhi kerana ianya juga merupakan perintah Allah.
Hikmah ujian integriti ini akan mendidik kita supaya ikhlas dalam mengerjakan ibadah ini tanpa pengawasan oleh individu yang lain dan tanpa perlu ada orang lain untuk menyempurnakan ibadah puasa kerana individu muslim yang taat akan berpuasa kerana Allah S.W.T. Ini adalah satu didikan rohani selama 30 hari dalam setahun untuk membentuk jiwa yang ikhlas dan hati yang telus. Didikan ini dapat menjadikan individu muslim ini beretika dalam urusan duniawi. Andainya dia boleh melakukan ibadah puasa dengan ada sebarang pengawasan, sudah pasti dia juga boleh melakukan tugasan lain dalam tahap yang sama. Dan jika ini dapat dicapai, insya-Allah semoga kita tergolong dalam orang yang bertakwa pada Allah S.W.T.
Dengan demikian jika kita gagal mengambil kesempatan untuk membuat perubahan dan transformasi akhlak dalam bulan yang mulia ini, maka puasa yang diamalkan silih berganti pada setiap tahun tidak memberi apa-apa kesan kepada diri sendiri, keluarga, masyarakat bahkan Negara. Kita juga adalah insan yang rugi jika hanya bertungkus lumus berjuang pada bulan bulan Ramadhan sahaja akan tetapi kembali semula kepada tabiat lama ababila tamatnya Ramadhan. Oleh itu, marilah kita menjadikan bulan Ramadhan sebagai platform untuk kita meningkatkan ketaqwaan sebagai hamba Allah untuk kesejahteraan hidup di dunia dan akhirat.
Disunting : Luqman Mahadi
No comments:
Post a Comment