Sunday, 17 January 2016

ISU INTEGRITI PENJAWAT AWAM :

PENYAKIT ROHANI PERLU
DITANGANI SEGERA

Secara umumnya, Integriti adalah berhubungkait dengan kejujuran, sifat amanah, berdisiplin dan bertanggungjawab.  Integriti adalah bersangkut paut dengan sikap, nilai dan keimanan. Sebagai contoh, isu-isu rasuah, pecah amanah, tipu, ponteng kerja, salahguna harta kerajaan dan pelbagai lagi pelanggaran tatatertib.  Ini sebahagian dari contoh masalah integriti yang wujud dalam kalangan penjawat awam sejak dari dulu lagi.  Bukan setakat itu sahaja, di luar tugas rasmi penjawat awam pula mereka terdedah dengan gejala sosial seperti  maksiat, berfoya-foya,  penyalahgunaan dadah,  krisis rumah tangga dan sebagainya yang membawa masuk imej buruk kepada perkhidmatan awam.

Apabila diteliti masalah-masalah yang dikaitkan dengan integriti, dapatlah dibuat kesimpulan bahawa ia adalah masalah yang boleh diklasifikasikan sebagai masalah iman. Masalah “penyakit rohani” dalam kalangan orang dewasa yang ada kuasa. Tidak mengira berpangkat besar atau kecil dalam sesebuah organisasinya. Iman yang lemah, hati yang sakit dan kefahaman yang kurang tentang matlamat hidup sebenar, Allah S.W.T mencipta manusia menjadi antara faktor kewujudan masalah integriti dalam kalangan manusia, khususnya penjawat awam beragama Islam.

Saya sebenarnya cuba kaitkan dengan masalah dan cabaran yang berlaku dalam proses perjalanan tugas dan tanggungjawab harian penjawat awam itu sendiri.  Apa masalah yang dimaksudkan?  Apabila  diberi taklifan sebagai penjawat awam sama ada sebagai ketua jabatan atau pegawai bawahan, salah satu elemen penting selain tugas hakiki sebagai penjawat awam ialah sekiranya beliau seorang muslim,  tugas penting beliau ialah memikul tanggungjawab sebagai  khalifah Allah S.W.T  menegakkan amanah dan kebenaran perintah Allah S.W.T yang bersifat adil dan saksama serta sesuai pengaplikasiannya kepada semua manusia tanpa mengira agama, kaum dan bangsa. Allah S.W.T berfirman bermaksud;
 
 

Proses melahirkan penjawat awam  yang mampu memikul amanah dengan penuh integriti amat sulit dan merumitkan sekiranya tiada mekanisme yang kukuh dan terancang. Proses ke arah melahirkan penjawat awam yang berintegriti sukar  dicapai jika konflik dalaman diri penjawat awam seperti rendah akhlaknya dan lemah pegangan agama  sukar dikikis serta  masih berlaku dalam kalangan penjawat awam itu sendiri.  Dalam hal ini, konsep pengorbanan dan tentang kesedaran tanggungjawab kerja sebagai ibadah, menegakkan hubungan antara sesama manusia dan hubungan manusia dengan Allah S.W.T amat penting untuk meletakkan maruah penjawat awam begitu tinggi di sisi Allah S.W.T dan kaca mata masyarakat.

Saya menimbulkan isu ini kerana saya bimbang sekiranya suatu hari nanti, perkhidmatan awam di negara ini bakal  melahirkan penjawat awam  yang tandus integritinya  walaupun mempunyai tahap pendidikan tinggi dan  kemahiran profesional dalam bidang pengkhususan masing-masing yang dicanangkan sesuai untuk meningkatkan mutu perkhidmatan awam keseluruhannya
 
Anjakan paradigma perlu berlaku dalam kalangan penjawat awam dalam pemantapan integriti sama ada disukai atau tidak. Sama ada penjawat awam itu benci mendengar perkataan “integriti” atau apa-apa polisi atau peraturan untuk memantapkan intgeriti dalam organisasi masing-masing. Itu tidak sepatutnya menjadi halangan. Sebaliknya jika penjawat awam tidak bersedia atau tidak mahu berubah, pintu sentiasa terbuka untuk beliau keluar dari perkhidmatan awam. Sebetulnya tiada siapa yang memaksa beliau memasuki atau keluar dari perkhidmatan awam di negara ini.   Saya amat yakin bahawa masih  ramai lagi bakal calon-calon yang sanggup memikul tanggungjawab yang akan ditinggalnya itu.
 
Ada ketikanya ketua jabatan perlu bertegas ke atas mana-mana penjawat awam yang melakukan pelanggaran tatatertib serius dan melakukan jenayah rasuah atau fraud.  Ada masanya sebagai ketua kita perlu menggunakan ubat paling mujarab walaupun menyakitkan iaitu “ buang kerja” sekiranya penjawat awam itu termasuk dalam golongan mereka yang layak diambil tindakan sedemikian itu. Demi untuk kemaslahatan umum iaitu menjaga maruah perkhidmatan awam keseluruhannya.
 
Walaupun masalah jenayah rasuah  hanya sebahagian kecil daripada bepuluh-puluh isu  integriti yang wujud dalam kalangan penjawat awam, masalah ini  perlu diubati segera;  kerana usaha meningkatkan integriti adalah ramuan mujarab walaupun  pahit ditelan,  perlu diperhebatkan dan diterima oleh setiap penjawat awam  bermula dari teladan oleh pegawai atasan kepada pegawai bawahan. Ada ketikanya pegawai bawahan perlu memainkan peranan melaporkan isu integriti melibatkan pihak atasan kepada pihak berkuasa.  Biarlah ada elemen “ check and balance” dalam perkhidmatan awam.  Ungkapan menyatakan ketua sentiasa betul sudah berlalu. Oleh itu bersedialah, banyak lagi ilmu pengetahuan dan kemahiran membina keyakinan diri dan kekuatan keimanan yang perlu dicari dan dihadam oleh penjawat awam sebagai persediaan untuk membina nilai integriti penjawat awam agar sentiasa mendapat keredhaan Allah S.W.T dalam setiap pekerjaannya,  meningkatkan keyakinan masyarakat ke atas perkhidmatan  awam dan membina sebuah negara yang bertamadun tinggi dan disegani.




Oleh : Mohamad Fauzi  Bin Husin


 

No comments:

Post a Comment