Amalan rasuah bukan merupakan perkara baru kepada masyarakat. Pada zaman Rasulullah S.A.W lagi amalan ini telah wujud. Baginda S.A.W sendiri telah diuji dengan pelbagai ujian dalam usaha untuk menyebarkan risalah Islam. Salah satu daripada ujian tersebut ialah Baginda S.A.W ditawarkan dengan harta kekayaan oleh kaum Quraish supaya berhenti menyebarkan risalah Islam kepada penduduk Makkah, meninggalkan jihad dan meninggalkan perjuangan untuk membina masyarakat Rabbani. Walaupun pelbagai ujian dan sogokan yang ditawarkan kepada Rasulullah S.A.W, Baginda tetap dengan pendiriannya berdasarkan sabdanya:
"Sekiranya bulan diletakkan di tangan kananku dan matahari di tangan kiriku nescaya aku tidak akan sekali-kali meninggalkan tugas menyebarkan Islam ini."
Pilihan dan Keinginan dalam Isu Rasuah
Amalan rasuah memerlukan dua atau tiga pihak untuk menjayakannya. Oleh itu, setiap pihak mempunyai pilihan sama ada menerima atau menolak amalan tersebut. Islam memberi ruang kepada penganutnya untuk membuat pilihan selagi mana tidak bertentangan dengan syariat. Pilihan merupakan hak seseorang untuk melakukan sesuatu, sekuat mana tekanan yang diterima untuk menerima atau memberi rasuah jika seseorang memilih untuk menolaknya kerana lebih takutkan pilihan yang diberikan Allah S.W.T di akhirat kelak maka perkara tersebut dapat menjauhkan mereka daripada amalan rasuah. Terdapat dua pilihan dalam isu rasuah iaitu pilihan yang baik (menolak) dan buruk (menerima). Manakala keinginan pula melihat kepada kehendak seseorang dalam melakukan sesuatu sama ada berpandukan hukum atau mengikut hawa nafsu.
Kesedaran terhadap konsep amanah dan jujur dalam melaksanakan sesuatu menjadi kekuatan kepada mereka untuk menolak unsur-unsur negatif yang datang kepada mereka. Rasulullah S.A.W memberi penekanan dosa rasuah adalah sama dengan dosa-dosa besar yang lain seperti berzina dan meminum arak. Selain itu, dosa rasuah bukan hanya kepada penerima rasuah malah kepada pemberi dan perantara yang melakukan perbuatan tersebut juga diberikan.
Memilih menerima amalan rasuah?
Tanggapan bahawa amalan rasuah perlu diterima dalam keadaan-keadaan tertentu. Orang yang melakukan amalan rasuah sering kali menyatakan masyarakat perlu menerima amalan-amalan ini dalam sesetengah perkara. Jika tidak melakukannya sesuatu keputusan dan biroksasi yang harmoni tidak dapat diwujudkan. Hal ini kerana, rasuah memerlukan persetujuan bersama dan janji setia kedua pihak untuk melaksanakannya.
Berdasarkan tanggapan-tanggapan tersebut, timbul persoalan adakah benar amalan rasuah mempunyai perkara positif? Walaupun terdapat sesetengah pihak menyatakan terdapat kesan positif dalam amalan rasuah namun sebagai umat Islam kita perlu berpegang teguh kepada hukum yang telah ditetapkan iaitu sejauh mana kepentingan seseorang untuk menerima rasuah syarak telah menetapkan “sesuatu matlamat tidak menghalalkan cara”. Walaupun matlamat melakukan rasuah adalah baik, jika jalan yang ditempuh untuk mendapatkannya adalah salah dan dilarang keras oleh agama maka perbuatan tersebut hendaklah ditinggalkan.
Memilih untuk menolak?
Terdapat pihak yang menolak rasuah dalam bentuk wang tetapi menerima hadiah dan upah. Adakah hadiah juga boleh dikira sebagai rasuah? Hadiah adalah pemberian yang tidak mengharapkan kepada sebarang balasan malah Rasulullah S.A.W juga menerima hadiah. Dalam kes Ibnul Utbiah yang dihantar oleh Rasulullah S.A.W kepada satu kabilah untuk mengutip zakat dan beliau membawa balik kutipan zakat berserta pemberian hadiah daripada kabilah tersebut dan ditegur oleh Rasulullah S.A.W. Rasulullah S.A.W bersabda:
"Mengapa kamu tidak tinggal dirumah bersama ayah dan ibu kamu menantikan hadiah itu sampai kepada kamu, sekiranya kamu memang benar orang yang jujur."
Amalan rasuah ditolak apabila seseorang individu mempunyai sikap amanah dan jujur dalam melaksanakan tanggungjawab. Setiap tanggungjawab yang diberikan terutamanya melibatkan pihak pengurusan atau organisasi telah disediakan gaji untuk pekerjaan mereka, pemberian atau pengharapan kepada upah-upah sampingan sepatutnya tidak berlaku. Penerimaan lain setelah menerima gaji adalah dilarang, ini berdasarkan sabda Rasulullah S.A.W:
“Barangsiapa yang telah kami ambil untuk melakukan sesuatu kerja, dan telah ditetapkan baginya sesuatu rezeki (gaji atau upah), maka apa yang diambilnya selepas itu adalah ghulul (pengkhianatan)”
(Riwayat Abu Daud)
Keinginan individu
Keinginan adalah sesuatu yang berasal daripada hasrat (nafsu) atau harapan seseorang untuk mencapai sesuatu dan memenuhi kepuasan dalam hidupnya. Timbul persoalan adakah semua keinginan boleh diikuti? Keinginan manusia adalah tidak terbatas, namun manusia bukan hanya hidup secara individu dalam dunia ini. Kehidupan manusia melibatkan masyarakat, alam dan yang lebih utama adalah sebagai hamba kepada Allah S.W.T. Perkara ini berdasarkan firman Allah S.W.T:
“Tidaklah Aku ciptakan jin dan manusia kecuali agar mereka beribadah kepada-Ku.”
(Adz-Dzariyat,51: 56).
Kesimpulan
Oleh demikian, tanggungjawab yang diberikan bukan sahaja melibatkan amanah yang diberikan oleh majikan atau pihak kerajaan, malah melibatkan amanah yang diberikan oleh Allah S.W.T. Oleh itu, kekuatan iman sahaja yang mampu mencegah seseorang daripada amalan ini.
Disunting : Mohamad Fauzi Husin
No comments:
Post a Comment