Perkataan ‘rasuah’ berasal dari bahasa Arab yang bermaksud ‘Al-Risywah’. Ia dikaitkan dengan perkataan ‘batil‘ yang disebutkan dalam Al-Quran, bermaksud perbuatan memperolehi harta dengan cara yang tidak halal seperti mencuri, merompak, rasuah dan menipu. Selain itu, menurut kamus Arab Al-Nihayat (1963:234), rasuah ialah suatu tujuan untuk mencapai matlamat dengan segala cara, asalkan tujuan tersebut tercapai. Ianya mempunyai perkaitan dengan ‘Ar-Rasyi’ [orang yang memberi sesuatu(perasuah)], ‘Raisy’ [pihak kedua(penerima rasuah)] dan ‘Al-Murtasyi’ (perantara di antara pemberi dan penerima rasuah).
Dalam kamus bahasa Inggeris, Cambridge International Dictionary (1997:308) memberi makna ‘corruption’ iaitu ‘dishonesty using your position or power to your own advantage especially for money’.
Menurut kamus Dewan Bahasa (1984:409), perkataan rasuah bermaksud pemberian untuk menumbuk rusuk iaitu dengan menyogok atau menyuap; wang tumbuk rusuk ialah sogok atau suap dengan wang atau benda berharga. Manakala perkataan ‘suap’ bermaksud wang sogok atau rasuah.
Tokoh ilmuan Islam seperti Syeikh Abdul Aziz (1987:56) mendefinisikan jenayah rasuah sebagai; “Memberi harta kepada seseorang sebagai imbalan atau upah kerana perlaksanaan maslahat iaitu tugas atau kewajipan yang mana tugas itu harus dilaksanakan tanpa menunggu imbalan atau wang komisen”.
Manakala Yusof Al-Qardawi (1991:123) mendefinisikan jenayah rasuah sebagai; “ Sesuatu yang diberikan kepada seseorang yang mempunyai kekuasaan atau jawatan untuk memenangkan kesnya dengan menewaskan lawan-lawannya sesuai dengan apa yang ia inginkan atau memberikan peluang kepadanya atau menyingkirkan saingannya”.
Pengertian rasuah dari segi undang-undang di Malaysia tidak dinyatakan secara khusus. Perbuatan rasuah merangkumi perspektif yang lebih luas dan tidak hanya memberi makna ‘memberi’ atau ‘menerima’ suapan wang rasuah sahaja. Mengikut undang-undang di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta SPRM 2009 telah mendefinisikan pengertian ‘suapan’ merangkumi :
a) wang, derma, alang, pinjaman, hadiah, cagaran berharga, harta atau kepentingan mengenai harta, iaitu apa-apa jenis harta, sama ada harta alih atau tidak alih atau apa-apa manfaat seumpama itu yang lain;
b) apa-apa jawatan, kebesaran, pekerjaan, kontrak, perkhidmatan dan apa-apa perjanjian untuk memberi pekerjaan atau memberikan perkhidmatan atas apa-apa sifat;
c) apa-apa bayaran, pelepasan, penunaian atau penyelesaian pinjaman, obligasi atau liabiliti lain,
sama ada keseluruhannya atau sebahagian daripadanya;
d) apa-apa balasan berharga, apa-apa diskaun, komisen, rebat, potongan atau peratusan;
e) apa-apa perbuatan menahan diri daripada menuntut apa-apa wang atau nilai wang atau benda berharga;
f) apa-apa jenis perkhidmatan atau pertolongan lain seperti perlindungan dari apa-apa penalti atau tindakan mahkamah;
g) apa-apa tawaran, aku janji atau janji, sama ada bersyarat atau tidak mengikut pengertian mana-mana perenggan (a) hingga (f) di atas.
Di dalam Akta SPRM 2009 turut menjelaskan empat jenis kesalahan utama suapan rasuah. Pertamanya ialah suapan rasuah melibatkan kesalahan di bawah Seksyen 16(a)(A) dan 17(a) Akta SPRM 2009 secara umum menjelaskan mengenai mana-mana orang atau ejen secara rasuah meminta atau menerima atau bersetuju menerima suapan rasuah seperti wang, barang berharga atau apa-apa perkhidmatan sebagai dorongan atau upah untuk melakukan atau tidak melakukan apa-apa berkaitan dengan transaksi tersebut atau berkaitan urusan rasmi majikan atau prinsipal berkenaan adalah suatu kesalahan.
Contoh kesalahan seperti Pegawai awam meminta atau menerima suapan rasuah dari orang awam berupa wang, tiket kapal terbang atau barang kemas sebagai balasan atau upah meluluskan kontrak pembinaan atau pembekalan peralatan, mengelak dari disaman atau ditahan.
Manakala keduanya ialah suapan rasuah di bawah Seksyen 16(b)(B) dan 17(b) Akta SPRM 2009 pula secara umumnya menyatakan mana-mana orang atau ejen secara rasuah menawar atau memberi atau bersetuju memberi suapan seperti wang, barang berharga atau apa-apa perkhidmatan sebagai dorongan atau upah untuk melakukan atau tidak melakukan apa-apa berkaitan dengan transaksi tersebut atau berkaitan urusan rasmi majikan atau prinsipal berkenaan adalah melakukan suatu kesalahan. Contohnya pegawai awam menawarkan atau memberi suapan rasuah kepada pengawai penguatkuasa sebagai balasan untuk tidak ditahan atau disaman kerana kesalahan jenayah.
Ketiganya di bawah Seksyen 18, Akta SPRM 2009 yang menjelaskan perbuatan mana-mana orang memberikan kepada ejen atau ejen memberi kepada prinsipal atau majikannya, suatu dokumen yang diketahuinya mengandungi butir-butir matan yang palsu yang mana prinsipal atau majikannya mempunyai kepentingan dengan niat hendak memperdayakan/mengelirukan majikannya adalah melakukan suatu kesalahan. Sebagai contoh, pegawai awam bersubahat dengan kontraktor mengemukakan tuntutan palsu dengan mengesahkan kerja ubahsuai pejabat atau pembekalan peralatan disiapkan atau dibekalkan sepenuhnya sedang bekalan atau kerja belum siap. Pegawai awam terlibat membuat tuntutan palsu elaun perjalanan, kerja lebih masa atau penginapan hotel.
Akhir sekali, suapan rasuah di bawah Seksyen 23, Akta SPRM 2009 menjelaskan mana-mana pegawai badan awam menggunakan jawatan atau kedudukan untuk mendapatkan suapan rasuah dengan membuat apa-apa keputusan atau mengambil tindakan berkaitan dengan apa-apa keputusan atau mengambil tindakan berkaitan dengan apa-apa perkara mengenainya di mana pegawai itu, saudara maranya atau sekutunya ada kepentingan secara langsung atau tidak langsung adalah melakukan kesalahan. Contohnya pegawai awam mempengerusikan atau mengambil bahagian dalam meluluskan kontrak tender, sebutharga atau pembelian peralatan kepada syarikatnya sendiri atau isterinya atau kroninya yang dia ada kepentingan.
Hukuman bagi kesalahan suapan rasuah di bawah Seksyen 16, 17, 18 dan 23 Akta SPRM 2009 ini memperuntukkan hukuman penjara selama tempoh tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali nilai suapan atau RM10,000.00 yang mana lebih tinggi. Harta hasil dari perbuatan jenayah rasuah boleh dilucuthakkan.
Berdasarkan kepada pelbagai definisi yang diberikan kepada jenayah rasuah, secara umumnya dapatlah dirumuskan bahawa perlakuan jenayah rasuah adalah suatu bentuk penyalahgunaan kuasa atau jawatan yang diamanahkan untuk kepentingan peribadi atau saudaranya atau sekutunya. Jenayah rasuah juga merangkumi kesalahan mengemukakan dokumen atau tuntutan palsu, memberi atau menawarkan suapan rasuah dan menerima atau meminta suapan rasuah sama ada berbentuk wang, hadiah, komisen, diskaun, apa-apa harta atau perkhidmatan sebagai balasan untuk mendapatkan sesuatu di luar saluran yang sah dari segi undang-undang atau moral.
Oleh: Mohamad Fauzi Bin Husin
No comments:
Post a Comment