Sistem Aduan Rasuah Dan Tatakelakuan (S.A.R.T.) Unit Integriti, Kementerian Pertanian Dan Industri Asas Tani merupakan saluran untuk warga Kementerian/ Agensi dan orang awam menyalurkan maklumat atau aduan berkaitan perlakuan jenayah rasuah atau pelanggaran tatakelakuan. Walaupun kewujudannya nampak seolah-olah untuk mencari salah atau menimbulkan masalah kepada mereka yang “bermasalah” . Sebaliknya kepada warga kerja atau orang awam yang berakhlak dan berintegriti tinggi, ianya adalah medium yang memberi ruang dan peluang kepada mereka untuk membuat aduan atau memberi maklumat menyatakan rasa tidak puashati dengan tatakelakuan segelintir warga kerja yang melanggar peraturan kerja, tatatertib atau melakukan jenayah rasuah yang boleh menjejaskan imej MOA dan agensinya. Kewujudan S.A.R.T. juga sebagai peringatan atau amaran kepada mereka yang terlibat dengan tatakelakuan atau rasuah agar tidak mengulangi perbuatan tersebut.
PANDUAN MENYALURKAN ADUAN RASUAH DAN PELANGGARAN TATAKELAKUAN
Bagi maksud tersebut, aduan atau maklumat rasuah dan pelanggaran tatakelakuan boleh diklasifikasikan seperti berikut:
Salah laku iaitu apa-apa perbuatan yang melanggar tatakelakuan di bawah Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan Dan Tatatertib) 1993 dan peraturan-peraturan lain yang berkuatkuasa;
Salahguna kuasa iaitu apa-apa ketidakpatuhan kepada peraturan/ Arahan Tetap/ Prosedur semasa menjalankan kuasa di bawah undang-undang atau peraturan yang berkuatkuasa di bawah Kementerian dan agensi-agensi di bawah kementerian;
Jenayah Rasuah iaitu termasuklah apa-apa kesalahan meminta, menawarkan atau menerima suapan rasuah, kesalahan tuntutan palsu, kesalahan salahguna jawatan atau kedudukan untuk mendapat suapan rasuah dan lain-lain kesalahan ditetapkan di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.
BAGAIMANA S.A.R.T. BERFUNGSI
Secara umumnya, S.A.R.T. akan menilai aduan atau maklumat diterima untuk tindakan selanjutnya iaitu;
Sekiranya aduan atau maklumat berkaitan tatakelakuan melibatkan salah laku dan salahguna kuasa di bawah Peraturan Pegawai Awam (Tatakelakuan Dan Tatatertib) 1993 atau undang-undang atau peraturan berkuatkuasa di kementerian dan agensinya akan diambil tindakan oleh Seksyen Penyiasatan, Unit Integriti.
Sekiranya maklumat itu mencukupi berkaitan dengan jenayah rasuah akan dirujuk segera kepada SPRM dan
Pengadu atau Pemberi Maklumat akan dimaklumkan status aduan atau maklumat yang disalurkan.
KAEDAH PENYALURAN ADUAN
Sehubungan itu, mana-mana warga kementerian/agensi dan orang awam boleh menyalurkan aduan atau maklumat rasuah dan pelanggaran tatakelakuan kepada Unit Integriti melalui saluran Portal Rasmi www.moa.gov.my dan klik ke Sistem Aduan Rasuah Dan Tatakelakuan (S.A.R.T.).
Walau bagaimanapun saluran aduan lain juga diterima iaitu;
(a) Menghadirkan diri di pejabat Unit Integriti, Kementerian Pertanian Dan Industri
Asas Tani di alamat:
Unit Integriti
Kementerian Pertanian Dan Industri Asas Tani
Aras 4, Blok Podium 1B-4G1
Wisma Tani, Presint 4, 62624 Putrajaya
(b) Menulis surat ke alamat di atas;
Sila pastikan aduan atau maklumat itu tidak terlalu umum untuk membolehkan pihak Unit Integriti atau SPRM bertindak sewajarnya.
Kumpulkan maklumat diperolehi dan sampaikan isi penting seperti:
· Bila kejadian berlaku (When)
· Dimana kesalahan dilakukan (Where)
· Siapa yang terlibat dan yang boleh membantu (Who)
· Apa kesalahan yang dilakukan (What)
· Kenapa kesalahan dilakukan (Why)
· Bagaimana transaksi rasuah atau pelanggaran tatakelakuan tersebut dilakukan sekiranya ada (How)
Sekiranya aduan atau maklumat disalurkan melalui S.A.R.T., maklum balas status aduan atau maklumat akan dimaklumkan. Unit Integriti tidak dapat bertindak ke atas maklumat tidak lengkap atau terlalu umum dan tiada maklumat perhubungan untuk mendapatkan maklumat lanjut.
PERLINDUNGAN KEPADA PEMBERI MAKLUMAT
Seksyen 65(1)(2), Akta SPRM 2009 memperuntukan perlindungan kepada pemberi maklumat dan kandungan maklumat tidak boleh didedahkan oleh mana-mana orang termasuk tidak boleh didedahkan atau diperintahkan supaya didedahkan dalam mana-mana prosiding mahkamah, tribunal atau pihak berkuasa lain.
Seksyen 7,8 dan 9, Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 memperuntukkan seseorang pemberi maklumat yang telah mendedahkan perlakuan tidak wajar termasuk rasuah atau salahguna jawatan kepada SPRM atau penguatkuasa lain hendaklah diberi perlindungan maklumat sulit, kekebalan dari tindakan sivil atau jenayah atau tindakan tatatertib dan perlindungan terhadap tindakan memudaratkan.
KEWAJIPAN ANDA MELAPOR RASUAH
Jika anda adalah Pegawai Badan Awam, adalah menjadi kewajipan anda melaporkan pemberian, janji atau tawaran suapan rasuah oleh mana-mana orang. Anda bersalah jika tidak melaporkan sogokan rasuah. Jika disabitkan, anda boleh didenda tidak melebihi RM100,000.00 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya – Sek. 25(1), Akta SPRM 2009.
Jika anda adalah orang awam, adalah menjadi kewajipan melaporkan segera daripadanya suapan rasuah diminta atau diperoleh secepat mungkin. Anda bersalah jika tidak melaporkan segera suapan rasuah itu. Jika disabitkan anda boleh dihukum penjara tidak lebih 2 tahun atau denda tidak lebih RM10,000.00 atau kedua-duanya - Sek. 25(3) Akta SPRM 2009.
Oleh: Mohamad Fauzi Bin Husin
No comments:
Post a Comment